Hampir setiap hari, isu pembaziran makanan di kalangan masyarakat negara ini dilihat semakin membimbangkan dan berada pada peringkat kritikal.

Mana tidaknya, rakyat Malaysia dilaporkan membuang tidak kurang 3,000 tan metrik makanan yang masih boleh dimakan setiap hari yang mana jumlah tersebut akan bertambah menjelang musim perayaan.

Melihat kepada masalah tersebut, kerajaan kini sedang mempertimbangkan untuk mengenakan denda ke atas pelanggan di hotel dan restoran yang membazirkan makanan.

Pada masa sama, kerajaan juga sedang mengkaji dan meneliti keperluan menggubal Akta Pembaziran Makanan dari pelbagai sudut.

Keputusan tersebut dibuat oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail yang mahu cadangan itu diambil termasuk menerusi Program Food Bank Malaysia yang dilaksanakan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), di mana lebihan makanan yang diperoleh daripada pasar raya besar seperti roti, sayur dan buah-buahan diagih kepada mereka yang memerlukan.

Selaras dengan cadangan itu, netizen di media sosial rata-ratanya dilihat menyokong cadangan tersebut dan mahu kerajaan untuk mewujudkan garis panduan dan polisi berhubung pembaziran makanan dan menubuhkan satu jawatankuasa untuk mengendalikannya.

 

Wajarkah Kerajaan Laksana Denda Pada Pelanggan Yang Membazir

Sumber: Free Malaysia Today

Soal denda kepada mereka yang membazirkan makanan ini bukan satu perkara baru, malah beberapa restoran di dalam negara juga dilihat mengambil langkah sama dalam melaksanakan denda kepada pelanggan mereka yang membazir.

Jika di restoran steamboat misalnya, kalau anda perasan, mereka akan mengenakan caj denda sebanyak RM10 kepada 100 gram (g) makanan yang dibazirkan oleh pelanggan mereka.

Dari situ, pelanggan sudah diberikan amaran untuk tidak membazirkan makanan di mana mereka perlu mengambil makanan dalam kuantiti yang sederhana.

Dalam perkara ini, mungkin ada sesetengah pihak melihat ia tidak adil sekiranya denda hanya dilaksana kepada pelanggan sahaja.

Malah, ada yang menuntut supaya pihak hotel dan restoran yang membazir juga perlu turut sama dikenakan denda sama seperti denda yang dikenakan terhadap pelanggan mereka.

Sumber: The Rakyat Post

Hal ini kerana, setiap kali menjelang Ramadhan, pengusaha hotel dan restoran dilihat akan menyediakan makanan pada kuantiti yang banyak untuk pelanggan mereka menerusi tawaran hidangan bufet dan sebagainya.

Memang sudah menjadi trend, setiap kali bulan puasa, akan berlakunya pembaziran makanan yang dilakukan pengusaha hotel disebabkan banyak makanan tidak dapat dihabiskan oleh pelanggan mereka.

Jadi, mungkin selepas ini pihak hotel harus membuat kiraan tepat dalam menghidangkan makanan berbentuk bufet pada pelanggan mereka setiap hari bagi mengelak isu pembaziran makanan daripada terus berlaku.

 

Beberapa Aktivis Sudah Lama Memperjuangkan Isu Ini

Dalam perkara ini, Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan dilihat sering memperjuangkan isu pembaziran makanan di kalangan rakyat Malaysia di mana sejak 2014, beliau turut menggesa kerajaan mewujudkan polisi baharu dengan mengenakan denda dalam usaha menangani sikap pembaziran yang dilihat membimbangkan.

Katanya, polisi seperti itu perlu diguna pakai terhadap semua pihak termasuk pengusaha kedai makanan, hotel dan industri, malah turut sama dikenakan terhadap individu yang didapati terbabit dalam pembuangan makanan dalam kuantiti yang banyak.

Sementara itu, Timbalan Presiden Fomca, Mohd Yusof Abdul Rahman turut bersependapat agar kerajaan mewujudkan polisi yang boleh memberi kesedaran dalam menghapuskan tabiat pembaziran makanan.

Namun, apabila bercakap soal kesedaran, walaupun pihak hotel dan restoran dilihat meletakkan label ‘do not waste your food’, sehingga kini masyarakat dilihat masih tidak sedar walau menyedari perkara itu.

 

Kos Pengurusan Sisa Pepejal Juga Melibatkan Berbilion Ringgit

Sumber: Utusan Online

Menurut statistik Solid Waste Corporation of Malaysia (SWCorp), setiap hari terdapat peningkatan kira-kira 4,000 tan metrik makanan yang dibazirkan, termasuk makanan yang tidak disentuh dari hotel, penjaja, penduduk kediaman dan sumber lain.

Untuk pengetahuan, lagi banyak sisa makanan yang dibazirkan, bertambah banyak kos pengurusan sisa pepejal yang perlu ditanggung kerajaan untuk menguruskannya hingga berbillion ringgit.

Hal ini kerana sisa makanan adalah komponen tertinggi dalam skala komposisi sisa pepejal.

Malah kos perbelanjaan untuk pengurusan sisa-sisa pepejal di negeri-negeri bawah seliaan pihak Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (PPSPPA) juga mencecah RM1.6 billion pada 2013.

Maka, tidak hairan pihak berkuasa kini sudah melancarkan beberapa program transformasi minda untuk mengubah minda masyarakat supaya tidak membuang makanan sesuka hati mereka.

KATA ORANG

KATA ANDA

Adakah dengan mengenakan denda terhadap pelanggan yang membazirkan makanan di hotel dan restoran mampu menyelesaikan isu pembaziran makanan di negara ini?
0 votes · 0 answers
Undi

MENINGGALKAN SUATU JAWAPAN