sumber: spmodels

Penggunaan sirih dalam kehidupan seharian bagi masyarakat Melayu semakin hari semakin dilupakan.

Mana  tidaknya, jika ditanya tentang kegunaan sirih kepada generasi muda, pasti ramai yang akan menjawab, ia hanya untuk kegunaan merisik dan juga di dalam majlis perkahwinan sahaja.

Bagi masyarakat Melayu terdahulu, sirih merupakan lambang rendah diri dan kehormatan seseorang seperti mana pokok sirih yang menjalar dan memanjat tanpa merosakkan tumbuhan perumahnya. 

Secara hakikatnya penggunaan sirih ini amat meluas bukan sahaja untuk kegunaan perkahwinan sahaja.

 

Penggunaan Sirih Dalam Penjagaan Kebersihan Wanita

Di dalam konteks perubatan masyarakat Melayu, sirih banyak digunakan untuk mengubati pelbagai jenis penyakit antaranya ialah asma, batuk, demam, keputihan, mulut berbau dan juga penyakit kelamin.

sumber: idn times

Namun, sirih amat sinonim dengan kaum wanita Melayu sehingga ke hari ini di mana mereka mengamalkan khasiatnya dalam penjagaan kewanitaan. Secara tradisionalnya, mereka menggunakan sirih ini sebagai basuhan khusus bagi wanita yang mengalami penyakit keputihan dan selepas bersalin. 

Jika anda perasan, kebanyakan rumah tradisional masyarakat Melayu dahulu ada menanam pokok sirih yang kebiasaannya di tanam di tepi telaga atau diperkarangan rumah bagi memudahkan penggunaannya.

Walaupun begitu, penggunaan sirih dalam perubatan tradisional Melayu ini tidak terhad kepada pengubatan penyakit yang bersifat fizikal sahaja malah turut digunakan dalam pemulihan semangat dan penyembuhan penyakit yang disebabkan gangguan makhluk halus.

 

Sebagai Lambang Seorang Yang Bergelar Melayu

Gabungan sirih dengan kapur, pinang, gambir, tembakau dan cengkih menjelaskan setiap ciri yang perlu ada sebagai seorang yang bergelar Melayu bagi masyarakat terdahulu.

Antara tafsiran elemen yang melengkapkan sirih ini ialah: 

Kapur– melambangkan hati yang bersih. Sekiranya berlaku provokasi, boleh berubah menjadi agresif dan boleh dilihat daripada asal kapur itu sendiri (hasil pemprosesan cengkerang kerang atau batu kapur yang berwarna putih bersih tetapi boleh memberi tindak balas yang melecurkan dalam keadaan tertentu)

Gambir– Sari gambir yang didapati daripada pemprosesan daun gambir yang kekuning-kuningan dan pahit melambangkan kecekalan hati dalam melalui cubaan dan juga dugaan.

Pinang– Buahnya jika dibelah menggambarkan keturunan orang yang baik budi pekerti dan tinggi darjatnya.

Tembakau– Daun tembakau yang pahit sifatnya boleh berubah menjadi boleh dimakan dan tahan lama jika disimpan apabila dihiris halus melambangkan sifat tabah dan bersedia berkorban dalam apa jua keadaan.

Cengkih– Sifatnya yang berbau wangi dan mempunyai rasa yang pedas menggambarkan sifat romantis dan cekal hati.

Bukan itu sahaja, lima elemen yang melengkapkan sirih ini turut dijadikan simbolik kepada orang Melayu supaya sentiasa mengingati lima rukun Islam yang perlu diamalkan bagi kehidupan yang aman dan damai.

 

Simbolik Ketika Bertandang 

Penggunaan sirih ini diperluaskan lagi dalam adat bertandang dan juga ziarah di mana sirih merupakan bahan penting yang perlu di bawa bersama. 

sumber: budaya melayu

Dahulu, jika seseorang datang ke rumah untuk tujuan ziarah ataupun bertandang, tuan rumah akan mempelawa tetamu tersebut untuk menjamah sirih dan pinang sebagai adat pembuka bicara.

Perkara ini jelas dilihat dalam rombongan merisik atau meminang, tetamu yang datang turut membawa sirih sebagai buah tangan dan tuan rumah pula akan membalasnya dengan menyuakan sirih mereka.

Seterusnya mereka akan makan bersama-sama sirih tersebut sebelum memulakan perbualan dan juga perbincangan, secara tidak langsung telah mencerminkan kelembutan adat budaya masyarakat Melayu kita sejak dari dahulu lagi.

 

Maksud Tersirat Dalam Sebuah Bekas Tepak Sirih

Sering menjadi persoalan, apakah sebenarnya peranan yang dibawa tepak sirih ini sehingga ia menjadi begitu penting ketika merisik, meminang dan juga berkahwin?

sumber: story.wedding.com

Semua yang dilakukan itu semuanya mempunyai sebab dan simbolik yang tersendiri antaranya sebagai alat komunikasi tanpa lisan ketika membuat sesuatu rundingan. 

Sekiranya pinangan si lelaki itu diterima, tepak sirih akan diserahkan kepada wakil perempuan dan jika pinangan ditolak, tepak sirih yang dibawa oleh pihak lelaki akan diterbalikkan oleh pihak perempuan dengan penuh tertib.

sumber: PNM

Untuk menyusun bahan-bahan di dalam tepak sirih juga ada caranya. Dimulakan dengan pinang dan diakhiri dengan daun sirih. Bagi masyarakat Melayu, sirih disusun begitu kerana menunjukkan tertib dalam mengapur sirih di mana yang dahulu didahulukan dan kemudian di kemudiankan. 

 

Wajib Ada Dalam Adat Perkahwinan

Ada yang tertanya-tanya, mengapa sirih junjung dan tepak sirih ini seperti wajib diselitkan dalam deretan hantaran dan merupakan suatu yang tidak boleh ditinggalkan?

sumber: wanista

Membawa tepak sirih dalam upacara meminang dan perkahwinan dianggap sebagai pembuka dan pelengkap sesuatu majlis yang mana tanpanya majlis tersebut dianggap sumbang dan tidak beradat. 

Bukan itu sahaja, ia penting dalam menjaga hubungan kedua-dua pihak sehingga setiap perlakuan semasa memberi dan menerima tepak sirih turut memberi maksud yang tersendiri.

Jika tidak dikekalkan adat ini, masyarakat Melayu akan semakin melupakan fungsi dan peranannya dalam sesebuah perkahwinan. Generasi akan datang yang tidak memahami adat ini akan merasakan ia tidak perlu dan tidak membawa apa-apa makna.

Mana tidaknya, majlis perkahwinan sekarang pun sudah semakin pelik dengan hantaran sebuah ‘sport rim’ dan KFC pula dijadikan tumpuan. Mungkin mahukan sesuatu kelainan, tetapi kalau bukan orang melayu sendiri yang perlu memelihara adat, siapa lagi yang mahu diharapkan?

KATA ORANG

KATA ANDA

Adakah anda seorang yang gemar memakan sirih?
2 votes · 2 answers
Undi

MENINGGALKAN SUATU JAWAPAN