Baru-baru ini satu pendedahan telah mengejutkan kebanyakkan rakyat Malaysia berhubung kenyataan yang dikeluarkan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang mendakwa peratusan kemiskinan di Malaysia jauh lebih buruk daripada apa digambarkan kerajaan.

Sebelum ini dilaporkan pada 2016 kadar kemiskinan negara ialah 0.4 peratus iaitu hampir sifar namun Pelapor Khas PBB, Philip Alston mendakwa jumlah itu tidak tepat sebaliknya kadar sebenar hampir sama dengan negara lain iaitu pada kadar kira-kira 15 peratus.

Alston yang juga pakar hak asasi manusia PBB, berkata ia adalah hasil penemuannya selepas mengadakan lawatan ke negara ini selama 11 hari bermula 13 Ogos lalu.

Beliau telah mengadakan lawatan ke lima negeri iaitu Kuala Lumpur, Selangor, Sarawak, Sabah dan Kelantan, serta bertemu dengan pegawai kerajaan negeri dan Persekutuan, agensi antarabangsa, masyarakat Orang Asli, ahli akademik dan penduduk bandar serta luar bandar yang terkesan dengan kemiskinan.

Tambah Alston, apa yang dilaporkan kerajaan tidak menunjukkan realiti di peringkat akar umbi.

 

Kaedah Digunakan Tidak Sesuai

Menurut Alston, kaedah yang digunakan untuk menentukan kadar kemiskinan di Malaysia adalah tidak sesuai serta tidak memberikan gambaran sebenar tentang keadaan kemiskinan di negara kita.

Menurut beliau kaedah yang digunakan oleh kerajaan Malaysia adalah tidak wajar kerana berpandukan kepada garisan kemiskinan yang dianggap tidak realistik iaitu RM980 sebulan bagi satu keluarga yang mempunyai empat ahli.

Untuk pengetahuan, di negara lain, mereka menggunakan kaedah `kemiskinan relatif’ (relative poverty) di mana sesuatu keluarga dilabel sebagai miskin jika pendapatan adalah kurang dari jumlah 60 peratus dari pendapatan median di dalam negara tersebut.

Jika kaedah pengiraan yang sama digunakan di Malaysia, lebih kurang 20 peratus rakyat Malaysia adalah miskin kerana 60% peratus dari pendapatan median iaitu RM5,228 pada tahun 2016 adalah RM3,136. Sudah tentu ramai rakyat Malaysia berpendapatan bawah dari RM3,136.

 

Malaysia Kecewa Dengan Pelapor PBB

Malaysia seolah-olah tidak dapat menerima kenyataan yang dikeluarkan PBB itu apabila Menteri Hal Ehwal Ekonomi Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkeras dengan pendirian mengenai kadar kemiskinan tegar yang dilaporkan negara ini.

Dalam satu kenyataan beliau berkata, kadar kemiskinan ini dikira mengikut standard yang diterima antarabangsa berdasarkan kepada edisi kedua Canberra Group Handbook on Household Income Statistics (2011) yang diterbitkan oleh PBB.

Azmin menjelaskan bahawa Garis Pendapatan Kemiskinan (PLI) yang digunakan ketika ini diletakkan pada tahap RM980 di peringkat nasional, dan ia dikira berdasarkan kepada keperluan asas bagi isi rumah untuk hidup dengan sihat dan aktif, yakni lebih besar daripada PLI yang disasar dalam Matlamat Pembangunan Mampan 1 pada US$1.25 bagi tiap sehari.

Beliau berkata PLI ini juga ditetapkan tinggi bagi Sabah pada RM1,180 dan Sarawak RM1,020, bagi mengambil kira kos tambahan, seperti pengangkutan.

 Tegasnya, kerajaan komited dalam menangani isu kemiskinan serta kekurangan di seluruh rantau serta komuniti, dan sedang berusaha berkaitan peningkatakan kos sara hidup yang dihadapi oleh rakyat Malaysia, terutama kumpulan berpendapatan bawah 40 peratus.

 

Terima Dengan Positif

Ahli Parlimen Setiawangsa, Nik Nazmi Nik Ahmad berpendapat, sebagai kerajaan yang mendukung reformasi, Pakatan Harapan (PH) sepatutnya bersedia menerima kritikan terbuka atau maklum balas yang dibuat dengan tujuan yang baik terutama apabila menyentuh kebajikan rakyat Malaysia

Katanya, kerajaan harus menerima laporan kajian yang dilakukan oleh PBB dengan positif dan mencari jalan penyelesaian bagi masalah kemiskinan rakyat bukannya mempertahankan kenyataan Malaysia sebelum ini.

 Tegasnya pendirian kerajaan bahawa kurang daripada 25,000 isi rumah di Malaysia hidup dalam kemiskinan (atau 0.4 peratus) adalah tidak realistik dan metodologi rasmi menunjukkan kadar kemiskinan adalah lebih rendah.

Malah katanya, mustahil pada zaman ini untuk menyara keluarga dengan hanya RM980 sebulan tanpa mengira sama ada mereka tinggal di kawasan luar bandar atau bandar termasuklah untuk penerima Bantuan Sara Hidup (BSH).

Sekadar Gambar Hiasan

Selain itu katanya, rakyat Malaysia akan terus menderita sekiranya pemimpin terus berdegil dan mengabaikan kata-kata pakar dan bersembunyi di bilik pendingin hawa tanpa menyelesaikan masalah ini.

                                                                                                                                                                                                                                                                 

Perlu Ubah RM980 ke RM1200

Disebabkan masih ramai lagi golongan miskin yang perlu dibantu kerajaan, Menteri Besar Kedah, Mukhriz Mahathir mencadangkan supaya garis kemiskanan perlu digerakkan daripada RM980 kepada RM1,200 sebulan.

Jelasnya, langkah tersebut bukanlah bertujuan untuk menambah bilangan orang miskin dalam negara sebaliknya memberi manfaat buat mereka.

Sumber: MOHD RASFAN/AFP/Getty Images

Dalam pada masa sama, Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, kerajaan akan melihat keperluan sekiranya kaedah mengukur dan pembasmian kemiskinan diamalkan perlu disemak semula.

 

Anjur Kongres Cari Penyelesaian

Bagi menyelesaikan isu kadar kemiskinan di negara ini, PAS mencadangkan penganjuran kongres kebangsaan yang melibatkan semua pihak tanpa mengira pendirian politik.

Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man dalam satu kenyataan media berkata, su kemiskinan mesti dilihat satu perkara yang signifikan di samping memacu negara ke arah sebuah negara maju dan berpendapatan tinggi.

Malah, PAS berpendapat isu kemiskinan mesti dijadikan fokus utama supaya jurang kaya miskin antara bandar dan luar bandar termasuk antara kaum dapat diperbaiki. 

KATA ORANG

KATA ANDA

Adakah anda percaya dengan laporan Malaysia kadar kemiskinan hanya 0.4% atau laporan PBB 15%?
16 votes · 16 answers
Undi

MENINGGALKAN SUATU JAWAPAN