Semalam, kita dikejutkan dengan berita mengenai kematian dua wanita warga emas yang maut akibat sesak nafas ketika sedang mendapatkan kupon makanan percuma di Plaza Pudu ICC, Jalan Kijang, Kuala Lumpur.
Amat malang sekali apabila dua warga emas tersebut yang dikenali sebagai Law Ion Nang, 78, dan Ah Poh, 85, maut di tempat kejadian ketika sedang beratur mendapatkan kupon makanan bersama warga emas yang lain.
Walaupun penganjur mempunyai niat murni untuk membantu warga emas yang berusia 60 tahun ke atas sempena sambutan Tahun Baru Cina yang bakal disambut tidak lama lagi, namun semuanya bertukar kepada tragedi yang tidak diduga.
Walaubagaimanapun, sehingga ke hari ini, insiden tersebut terus menjadi perbualan masyarakat yang rata-ratanya dilihat mendesak pihak berkuasa untuk mengenakan tindakan undang-undang ke atas pihak pengajur atas kecuaian mereka sehingga menyebabkan kematian warga emas tersebut.
Masih Ramai Warga Kota Hidup Dalam Kemiskinan Bandar
Walaupun pihak penganjur hanya memperuntukkan sebanyak 200 kupon sahaja tetapi masih ramai warga emas yang lain dikatakan berpusu-pusu datang ke plaza tersebut melebihi sehingga 1,000 orang semata ingin mendapatkan kupon makanan.
Melihat kepada insiden ini, ia jelas sekali memperlihatkan masih ramai warga kota yang menetap di bandar dibelenggu dengan masalah kemiskinan untuk mendepani kos sara hidup yang tinggi di bandar.
Memang tidak dinafikan, di kawasan bandar, boleh dikatakan segalanya memerlukan semangat ikhtiar untuk hidup dalam mendepani kos hidup yang jauh lebih tinggi berbanding dengan kehidupan di luar bandar.
Boleh dikatakan hampir segalanya memerlukan wang sehingga menyebabkan ada sebilangan daripada mereka masih lagi bekerja dan mengambil upah kecil-kecilan.
Dalam hal ini, terdapat banyak kemungkinan yang mendorong warga emas untuk berpusu-pusu merebut kupon makanan tersebut.
Dan mungkin juga, ada di antara mereka mahu hidup berdikari tanpa terlalu bergantung kepada anak-anak dan keluarga.
Sistem Pengurusan Pengajur Perlu Ditambah Baik
Dalam insiden ini, semua pihak tidak boleh menuding jari kepada pihak penganjur semata-mata yang mahu membantu warga emas.
Malah usaha murni tersebut seharusnya dipuji untuk diikuti oleh badan penganjur yang lain namun perlu ditambah baik dari segi pengurusan.
Mereka masih lagi boleh membantu warga emas yang memerlukan namun perlu diingat bahawa kudrat warga emas tidak seperti kudrat orang muda yang masih lagi bertenaga.
Sekiranya mahu memberikan bantuan sekalipun, banyak lagi cara lain yang boleh dipraktikkan oleh pihak penganjur dengan cara yang lebih berhemah.
Pun begitu, walaupun niat penganjur tersebut hanya untuk membantu warga emas namun mereka juga perlu memikirkan segala kemungkinan yang bakal berlaku.
KATA ORANG
Pengurusan penganjur yg tidak kemas...warga emas perlu dilayan dgn berhemah dan penuh tanggungjawab. Moga dipermudahkan segala urusan
— cleaNcleaR (@zizak_63) January 28, 2019
Sedihnya baca berita warga emas mati sebab nak ambik kupon makanan percuma. Kita ni membazir bazir la makan ☹️
— five. (@aidahanizar) January 28, 2019
Anjuran pihak mane nii??? Mcmner blh jadii mcmni..spttnye hal sbgini blh dielakan jike pberian kupon tsebut kene dgn carenyer.. kalau main bagi jer mmg ginila jadiii nyer.. namer pun pmberian kupon mknan PERCUMA tentula org berasak² nak dapatkan.. alahaiiii kesiannyer 😢
— إِلَهِ النَّاسِ (@EilaEinas) January 28, 2019
harap penganjur tu bagi pampasan dan disenarai hitam, acah2 nak buat amal tapi ini jadinay
— silentreader (@mshma910) January 28, 2019