Bagi pasangan yang bercinta, pastinya impian untuk mengakhiri persahabatan dengan mengikat tali perkahwinan adalah impian yang diidam-idamkan.

Bukan sahaja untuk menimang cahaya mata, tapi untuk membukitkan cinta kita kepada pasangan.

Bagi masyarakat Melayu, selalunya lamaran yang dilakukan adalah melalui majlis merisik dimana keluarga belah lelaki akan datang berjumpa dengan keluarga si perempuan bagi menyampaikan hajat mereka untuk menyunting bunga yang sedang mekar di taman.

Dan selalunya, ianya akan disambung dengan majlis pertunangan dan akhirnya pernikahan kedua pasangan.

Barat Guna Cara Kreatif dan Ekstrim

Jika di barat pula, lamaran yang dilakukan mereka adalah lebih menarik, meriah dan kreatif. Ada yang melamar teman wanita mereka diatas gunung, di tepi pantai, di hotel mewah mahupun di dalam kapal terbang.

Malah ada yang cukup ekstrim merancang untuk melamar pasangan mereka ketika melakukan ‘sky-diving’. Gila bukan?

Namun apabila memilih untuk melakukannya dengan cara luar biasa, ianya juga mampu mengundang risiko yang tidak terduga malah mampu membahayakan nyawa pasangan tersebut sendiri.

Seperti kisah lamaran yang berlaku di pusat peranginan di Zanzibar, Tanzania apabila si lelaki yang membuat keputusan untuk melamar teman wanitanya di dalam air berakhir dengan tragedi apabila lelaki tersebut dikatakan lemas ketika terlalu lama berada di dalam air dan tidak sempat untuk membawa semula dirinya ke permukaan air.

Pasangan tersebut dilaporkan menginap di salah sebuah bilik dikenali sebagai ‘Underwater Room’ di rumah peranginan tersebut yang menampakkan kawasan dalam air dengan jelas kerana dindingnya dibina berasaskan kaca.

Malah, mangsa dikatakan sengaja memilih bilik berkenaan kerana sudah lama merancang untuk melamar teman wanitanya dengan cara tersebut.

“ Kami tidak mendapat peluang untuk menikmati dan meraikan permulaan hidup yang baru yang sama kerana ianya bertukar menjadi satu tragedi yang paling buruk, sebuah perubahan takdir yang tidak dapat digambarkan”, kata Antoine teman wanita mangsa.

 

Hanya Perlukan Beberapa Saat Untuk Lemas

Mengikut rekod dunia, setakat in David Blaine adalah individu yang paling lama mampu menahan nafas di dalam air iaitu selama 17 minit menggunakan teknik peralihan nafas yang dilatih selama berbulan-bulan.

Bukan semua orang mampu menahan nafas untuk tempoh masa yang lama di dalam air. Tanpa tong oksigen sebagai alat bantuan pernafasan pasti mustahil untuk anda menyelam ke laut dalam.

Ditambah pula dengan kadar oksigen yang semakin berkurang dan kadar tekanan yang tinggi di dalam air pasti memudahkan seseorang untuk lemas dan seterusnya berisiko untuk maut.

Tanpa bantuan alat pernafasan, hanya beberapa saat sahaja yang diperlukan untuk anda lemas malah jika anda memakai pakaian yang berat ketika itu, peluang untuk anda menimbulkan diri sendiri semula ke permukaan air juga semakin tipis.

Tindakan berani lelaki tersebut untuk melakukan lamarannya di dalam laut terbuka patut diberi pujian kerana pastinya bukan semua orang berani untuk berbuat demikian.

Namun malangnya, nasib tidak menyebelahinya dan akhirnya dirinya sendiri menjadi mangsa korban.

 

Elakkan Risiko Berbahaya Walaupun Demi Kenangan

Semakin hari pelbagai aksi-aksi pelik, aneh dan berbahaya menjadi ikutan orang ramai.

Samada ingin mengejar populariti mahupun mencabar diri sendiri dalam melakukan sesuatu yang baru.

Namun yang pastinya, pelbagai aspek perlu diambil kira sebelum kita melakukan sesuatu perkara yang jarang kita lakukan.

Kerana  jika tersilap langkah, nyawa sendiri boleh tergadai. Seperti trend menangkap gambar ‘selfie’ di bangunan-bangunan tinggi yang pernah menjadi ikutan seluruh dunia sebelum ini.

Bukan seorang dua malah puluhan orang sudah menjadi mangsa sehingga meragut nyawa mereka sendiri.

Fikir sehabis-baik sebelum membuat keputusan, jangan hanya demi mengejar keseronokan  kita sanggup membahayakan diri sendiri.

 

 

 

KATA ORANG

KATA ANDA

Apa kata anda?
0 votes · 0 answers
Undi

MENINGGALKAN SUATU JAWAPAN