Kementerian Dalam Negeri di dalam Dewan Rakyat 31 Julai lalu menyatakan, sejak 2008, 143 orang mati dalam tahanan polis. Walaubagaimanapun, April tahun lalu, Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) dalam laporannya menyatakan pada 2015-2016 lebih daripada 600 tahanan penjara mati.

Daripada jumlah ni, 521 kematian yang berlaku adalah dalam penjara, 100 kematian di pusat tahanan imigresen, dan 12 lagi dalam lokap polis.

 

Punca Kematian

Menurut Suhakam, setakat dua tahun ni (2015-2016), sebab utama kematian tahanan adalah disebabkan penyakit.

Datuk Seri Zahid Hamidi ketika menjadi Menteri Dalam Negeri pernah mendedahkan di parlimen penyakit yang dihidapi tahanan di dalam penjara adalah seperti HIV, kanser, masalah jantung, masalah darah, asma, dan juga batuk kering.

Perkara ni bukanlah sesuatu yang mengejutkan kerana penjara adalah tempat yang kotor dan sangat sesak, menyebabkan penyakit berjangkit macam tuberculosis (TB).

Dalam tempoh 24 jam selepas seorang tahanan memasuki penjara, mereka akan diperiksa oleh pegawai kesihatan. Sekiranya seseorang tahanan tu mempunyai penyakit, pegawai akan memulakan rawatan, selagi mereka berada di dalam tahanan.

Walaubagaimanapun, bekas Ahli Parlimen Padang Serai, N.Surendren pernah timbulkan persoalan mengenai kematian tahanan akibat penyakit ni kepada bekas Menteri Dalam Negeri sebelum ini.

Sumber: Times of India

Katanya, kebanyakan penyakit ni boleh dirawat. Kematian mereka tidak akan berlaku jika dikendalikan secara betul.

Selain itu, terdapat juga kes tahanan yang mati akibat bunuh diri semasa di dalam penjara. Berdasarkan laporan Suhakam, 30 kes bunuh diri direkodkan sejak 2000 sampai 2014.

Suhakam merasakan yang kes bunuh diri ni boleh dielakkan jika pihak penjara pantau tahanan dengan teliti. Suhakam turut mengesyorkan supaya autopsi yang betul dijalankan untuk kes bunuh diri.

 

Salah Polis?

Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) mendapati kematian dua tahanan di lokap polis tahun lalu berpunca daripada kecuaian pengurusan ubat dan penggunaan kekerasan fizikal oleh polis.

Pengerusi EAIC, Datuk A Aziz Rahim, berkata kematian tahanan S Balamurugan, 44, di lokap IPD Klang Utara, Selangor pada 7 Februari 2017 adalah akibat penggunaan kekerasan fizikal.

Beliau menjelaskan, laporan bedah siasat kedua daripada Pakar Perubatan Forensik Hospital Kuala Lumpur pada 18 Februari 2017 mendapati kematian Balamurugan berpunca daripada ‘Coronary Artery Disease With Multiple Blunt Force Injuries’.

Sebuah lagi insiden berlaku pada 2013 dan mendapat liputan berita dimana N. Dharmendran, 31, dijumpai mati dalam selnya. EAIC menyimpulkan yang Dharmendran dipukul sampai mati oleh pegawai polis yang menyiasatnya.

Sumber: Malaysian Review

Kematian Dharmendran adalah disebabkan 52 kesan lebam akibat trauma dipukul dengan bahan keras yang tumpul, yang mengakibatkan kehilangan darah yang serius dan kejutan hipovolemik. Kedua-dua telinganya juga didapati distapler semasa masih hidup.

Hakim Mahkamah Rayuan yang bersara, Mohd Noor Abdullah menyifatkan Jabatan penjara perlu buat penjara sebagai tempat yang tak selesa sehingga tahanan menyesal melakukan apa yang mereka buat, dan tidak mahu ke penjara lagi.

Sebagai contoh katanya, sel penjara kena ada nyamuk, tikus dan lipas yang boleh mengganggu tahanan.

Namun Suhakam berpandangan menjadi kewajipan dan tanggungjawab jabatan penjara untuk melindungi orang yang ditahan dari apa-apa kemudaratan yang dilakukan oleh dirinya sendiri atau orang lain.

Malah, perlu juga meningkatkan penjagaan kesihatan dan kualiti penjagaan, kerana penyakit adalah punca utama kematian dalam tahanan.

Walaubagaimanapun, kita perlu menangani masalah kematian banduan dalam tahanan dengan serius kerana jumlah semakin meningkat dan ia melibatkan kehidupan manusia.

Meskipun pegawai penjara atau pihak polis mempunyai kuasa tetapi perlu mengikut undang-undang dan mengetahui batas untuk memperlakukan seseorang banduan tu seperti seorang manusia.

KATA ORANG

KATA ANDA

Siapa yang patut dipersalahkan di atas kematian tahanan di penjara?
0 votes · 0 answers
Undi

MENINGGALKAN SUATU JAWAPAN