Hari ini, masyarakat Uighur masih lagi menangisi hari-hari mereka yang suram. Kebebasan yang diidamkan seperti etnik lain begitu sukar untuk mereka diperolehi hanya kerana mereka beragama Islam di China. Tinggal di wilayah penghujung China iaitu di Xinjiang, akses kepada pembangunan dan kemajuan buat mereka sangatlah jauh sekiranya dibandingkan dengan bandar-bandar lain seperti Beijing, Shanghai, Guanzhou atau lain-lain.
Ini bukanlah suatu perkara yang baharu, penindasan dan pendiskriminasian yang dialami mereka ini telah berlaku sejak sekian lama. Sama ada kuat atau tidak bagi mereka, hanya Tuhan sahaja yang tahu.
Media Antarabangsa Melaporkan
Media antarabangsa sudah lama melaporkan layanan kerajaan China yang sangat buruk terhadap masyarakat Uighur. Sungguhpun mereka merupakan warganegara China, dan salah satu etnik China, namun mereka tidak dibenarkan mengamalkan Islam sebagai ajaran agama mereka sendiri. Larangan berpuasa telah dikenakan kepada kakitangan kerajaan, pelajar dan guru.
Ini bukan kali pertama mereka tidak dibenarkan berpuasa. Perkara sama pernah berlaku dua tahun lalu. Bukan itu sahaja, mereka juga turut dilarang memasuki masjid dan melakukan apa-apa aktiviti keagamaan walaupun untuk bersembahyang. Bagi wanita, mereka tidak dibenarkan memakai hijab di tempat awam di Urumqi, ibu negeri Xinjiang.
Dianggap Pelampau Agama
Berdasarkan akhbar The Independent yang diterbitkan di United Kingdom, pemimpin Uighur dalam buangan, Dilxat Raxit berkata, kerajaan China menganggap semua penganut agama Islam di Xinjiang sebagai pelampau agama dan pengganas. Malah, kerajaan China turut mempersalahkan masyarakat Uighur sebagai punca serangan pengganas terhadap orang awam dan institusi kerajaan.
Menurut Pemantau Hak Asasi Manusia, etnik Uighur dipantau dengan sangat ketat dan perlu memberikan sampel biometrik serta asid deoksiribonukleik (DNA). Mereka ditahan di kem-kem tahanan, didera secara fizikal dan mental, dipaksa memakan khinzir dan membatalkan puasa, dan kebanyakan ahli keluarga mereka juga turut ditangkap dan diseksa.
Namun kerajaan China menafikan sekeras-kerasnya kewujudan kem-kem tahanan, sebaliknya berlindung di sebalik alasan memberikan ‘latihan vokasional’ kepada penduduk di Xinjiang.
Penafian China
Sungguhpun kutukan masyarakat antarabangsa semakin bertambah terhadap China, namun masih belum ada mana-mana negara lagi yang mengambil tindakan melebihi kenyataan bantahan terhadap mereka.
Kepentingan Ekonomi Mengatasi Kemanusiaan
Pakistan yang merupakan jiran terdekat wilayah Xinjiang hanya mampu melindungi 2,000 penduduk Uighur. Itupun tidak disenangi oleh China. Disebabkan pelaburan besar China sebanyak AS$62 bilion, dalam Koridor Ekonomi China-Pakistan (CPEC), yang menghubungkan Kashgar di Xinjiang dengan pelabuhan Gwadar di selatan Pakistan, tidak banyak yang mampu dilakukan oleh Pakistan.
Itu baru sahaja di Pakistan, belum lagi melihat kepentingan ekonomi China bagi negara-negara lain. Ternyata kepentingan ekonomi negara melebihi nilai kemanusiaan hari ini. Apa yang boleh kita lakukan, hanya berdoa dan mengharapkan nasib mereka tidak seteruk masyarakat lain di dunia seperti masyarakat Rohingya di Myanmar.
Wilayah Xinjiang yang digelar sebagai Turkestan Timur oleh aktivis Abdullah Mansour merupakan kawasan berautonomi penuh sejak tahun 1955. Masyarakat Uighur dianggarkan seramai 11 juta orang berada di bahagian barat China. Walaupun dikatakan sebagai kawasan autonomi, tetapi mereka tetap terus dikenakan sekatan oleh kerajaan China. Apakah ada sinar baru untuk mereka? Hanya waktu yang menentukan nasib mereka.Â
KATA ORANG
Apa masalah MCA kalau @mujahidrawa bertemu dengan etnik Uighur yang ditindas? Kita dah sampai tahap tak boleh jumpa wakil mereka yang tertindas di negara lain, atas alasan 'nasib orang Malaysia belum terbela'? https://t.co/aRHzgKvvxk
— Syahredzan Johan (@syahredzan) February 20, 2019
Lain cara tak nampak
— AlorSetarCityBoy (@ASCityBoy) December 14, 2018
...selain orang islam Uighur hijrah ke negeri umat islam macam malaysia indon....Komunis China sengaja buat bagi Uighur marah
X kan senyap je....mn dia hero2 malaya
— Kamarulzaman (@kzmayoi) December 14, 2018
Dizalimi china.mencari perlindungan di asia, juga diburu. Apala nasib muslim uighur n muslim2 yg lain di dunia ini.
— Faisal (@Faisal81048311) November 22, 2017