Bagi sesiapa yang pernah menjejaki kaki ke Singapura, pasti anda akan terbayangkan arca singa yang menjadi mercu tanda negara terbabit. Atau mungkin paparan seni bina bangunan-bangunan di Singapura yang sangat moden, jauh sekiranya ingin dibandingkan dengan negara kita. Di sisi lain ramai yang beranggapan negara terbabit sudah tidak lagi memaparkan ciri-ciri asal masyarakat Singapura.

Sumber: Today

Kalau dikatakan bahawa Singapura masih lagi terdapat kampung tradisional, mungkin ramai yang tidak akan percaya bukan? Mana mungkin negara pulau sekecil itu masih mengekalkan identiti kampung memandangkan jumlah penduduk yang sangat padat dan sistem perekonomian yang lebih moden.

Perkampungan Terakhir Di Pulau Besar Singapura

Hakikatnya, identiti perkampungan di Singapura masih lagi dikekalkan. Kampung tersebut dikenali sebagai Kampong Lorong Buangkok, terletak di kawasan Hougang. Dibina sekitar tahun 1954, perkampungan ini merupakan perkampungan tradisional terakhir di pulau besar yang terus dipertahankan oleh pemerintah di sana.

Sumber: Straits Times

Menariknya, kampung ini masih mengekalkan identiti bahasa Melayu bagi mercu tandanya seperti nama kampung dan nama sungai iaitu Sungei Punggol. Kampung ini terdiri daripada 18 keluarga masyarakat Cina dan 10 keluarga masyarakat Melayu dengan kebanyakannya merupakan warga tua yang mahu terus merasai suasana kehidupan yang tenang dan menyamankan.

Mengekalkan Tradisi Kejiranan Kampung

Jangan terkejut sekiranya setiap penghuni di sini masih mengenali sesama mereka, malah melakukan aktiviti kampung bersama-sama. Jelas semangat kejiranan di sini masih dikekalkan sama seperti masyarakat kampung tradisional. Disebabkan saling kenal-mengenali, setiap rumah di sini akan membiarkan pintu pagar mereka sentiasa terbuka di siang hari sebagai simbol keterbukaan dan mengalu-alukan kehadiran tetamu.

Sumber: The Smart Local

Memandangkan kampung ini agak luas, setiap pengunjung yang berkunjung ke sini boleh memperuntukkan sedikit masa menjelajah ke ceruk kampung dengan melihat suasana ladang, kedai-kedai dan masjid yang berdekatan.

Dikenali Kerana Banjir

Pun begitu, untuk mengekalkan identiti dan ‘survival’ kampung ini bukan mudah. Ini kerana kawasan tersebut sering mengalami masalah banjir ekoran kedudukannya yang berhampiran dengan pinggir laut dan berdekatan dengan kawasan sungai. Tidak hairan sekiranya kampung ini turut dikenali sebagai Kampung Selak Kain pada masa dahulu disebabkan kawasan ini yang mudah terdedah kepada banjir.

Sungguhpun pemerintah telah memperuntukkan sebanyak SD$10 juta untuk memperbaiki sistem saliran dan meninggikan kawasan tanah, namun projek tersebut telah digugurkan kerana dikatakan projek yang tidak berbaloi dari segi kos yang hanya membantu 28 buah keluarga.

Sumber: Today

Pernah Cadang Untuk Dihapuskan

Menurut artikel New York Times Januari 2009, pemerintah Singapura dikatakan telah bercadang untuk merobohkan perkampungan tersebut bagi memberi laluan kepada projek pembinaan sekolah dan laluan jalan raya yang menghubungkan Buangkok Drive dan Yio Chu Kang Road. Malah, setiap penduduk telah diperuntukkan unit-unit rumah pangsa yang dibina oleh pemerintah.

Sumber: Atlasobscura

Namun begitu rancangan pembangunan projek tersebut telah dimansuhkan dan digantikan dengan pelan pemulihan kampung pada tahun 2015 bagi terus mengekalkan satu-satunya identiti kampung tradisional di Singapura.

KATA ORANG

KATA ANDA

Adakah anda rasa kampung ini akan terus dipertahankan?
32 votes · 32 answers
Undi

MENINGGALKAN SUATU JAWAPAN