Percaya atau tidak, sekeping kad pengenalan Malaysia mampu mencecah harga RM350,000! Begitulah keuntungan yang diperoleh oleh pihak yang tidak bertanggungjawab dengan melakukan kerja-kerja tidak bermoral. Seolah-olah maruah dan kedaulatan negara boleh dibeli dengan nilai wang ringgit.

Sumber: Free Malaysia Today

Lebih menyedihkan lagi, kegiatan itu dilakukan sendiri oleh kakitangan kerajaan yang bergelar ‘pegawai’ di Jabatan Pendaftaran Negara. Tular baru-baru ini kisah wanita warganegara asing China yang berusia 25 hingga 30 tahun mendapat kewarganegaraan Malaysia.

Kantoi Tak Pandai Cakap Melayu

Kegiatan ini terbongkar susulan Jabatan Imigresen Pulau Pinang meragui status kerakyatan wanita tersebut. Wanita terbabit dikatakan mahu membuat passport Malaysia tetapi mempunyai masalah komunikasi dengan pegawai bertugas. Hal ini menimbulkan kemusykilan dalam kalangan anggota imigresen sehingga membuat laporan polis.

Memetik laporan Harian Metro, susulan kejadian tersebut beberapa pegawai kerajaan berpangkat tinggi telah ditahan bagi membantu siasatan berhubung penjualan MyKad kepada warga China di Pulau Pinang.

Sumber: Sinar Harian

Sikap ‘Makan Luar’ Pegawai Kerajaan Zaman Berzaman

Kisah sindiket penjualan MyKad bukan perkara baru. Ini kerana kegiatan haram penjualan MyKad sudah berlaku hampir setiap tahun. Yang menjadi kehairanan, mereka yang terlibat dalam sindiket haram ini tidak dibanteras sehabis-habisnya. Mana tidaknya, hari ini ditangkap, esok lusa akan ada pihak yang melakukan perkara sama.

Masalah ini seolah-olah seperti tidak berpenghujung. Sama ada hukuman yang dikenakan tidak begitu tegas atau mungkin penguatkuasaan undang-undang negara yang begitu longgar sehinggakan hak menjadi warganegara begitu mudah digadaikan.

Pendedahan Eksklusif Wartawan

Lebih menarik, pendedahan eksklusif yang dibuat oleh wartawan mStar pada 2017 telah berjaya membuktikan wujudnya sindiket penjualan MyKad oleh mereka yang berstatus pegawai kerajaan. Hasil lakonan wartawan mendapati pegawai terbabit dengan bangga memaklumkan, telah membantu ramai pendatang Indonesia dan Kemboja untuk mendapatkan MyKad.

Malah akan menawarkan harga diskaun yang lebih lumayan sekiranya berjaya membawa lebih ramai pelanggan yang ingin memohon. Jadi, di mana nilai integriti pegawai-pegawai kerajaan kita hari ini. Di saat orang awam sukar mendapat peluang pekerjaan, mereka dengan mudah mengaut keuntungan dengan cara yang salah.

Persoalannya, tidak cukupkah gaji yang diperuntukkan oleh kerajaan? Sudahlah gaji yang diterima sangat lumayan ditambah pula dengan elaun-elaun khas seorang pegawai kerajaan. Sudah pasti pendapatan itu lebih daripada cukup!

Apabila Manusia Bertuhankan Kepada Duit

Sehebat mana pun seseorang, sekiranya tindakan bertunjangkan kepada kehendak dan hawa nafsu, maka segala prinsip yang dipegang akan hilang sekelip mata. Kita sebagai orang awam, menerima kesan daripadanya.

Sumber: Nga Kor Ming

Ternyata, nilai kewarganegaraan negara kita begitu mudah untuk dijual-beli. Nyatakan harga dan tempoh masa, segala-galanya akan diuruskan oleh ‘pegawai kerajaan’. Itu baru di satu tempat. Belum lagi di tempat-tempat yang lain. Bayangkan sekiranya setiap tahun ribuan pendatang mendapatkan kewarganegaraan, apakah yang akan terjadi kepada Malaysia?

Cukuplah kisah-kisah Projek IC yang berlaku di Sabah suatu ketika dahulu. Kebanjiran pendatang asing yang diberi taraf warganegara bukan sahaja mengubah demografi negeri Sabah, bahkan mendatangkan masalah sosial kepada penduduk di sana sehingga ke hari ini. Adakah kita mengambil iktibar di sebalik peristiwa ini? Sudah tentunya tidak.

KATA ORANG

KATA ANDA

Apa hukuman sesuai dikenakan kepada mereka?
4 votes · 4 answers
Undi

MENINGGALKAN SUATU JAWAPAN