Menjelang 2020, semua premis perniagaan di Wilayah Persekutuan diwajibkan menggunakan produk biodegradasi bagi memelihara kelestrarian alam sekitar.

 

Langkah penguatkuasaan tersebut dibuat Menteri Wilayah Khalid Samad susulan keputusan yang diambil Jemaah Menteri pada 16 Julai lalu yang bersetuju penggunaan produk biodegradasi atau produk boleh kompos dikuatkuasa di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan.

Pelaksanaan tersebut bukanlah kali pertama dilaksana kerajaan malah sebelum ini juga penguatkuasaan itu sudah mula diperkenal pada 1 Jun 2016.

Namun, langkah tersebut dilihat masih belum mencapai sasarannya di mana peniaga dan masyarakat dilihat masih lagi menggunakan beg plastik jenis konvensional dan polisterin dalam kehidupan seharian mereka walaupun dikenakan bayaran 20 sen bagi setiap beg pastik yang hendak digunakan.

Sumber: Astro Awani

Bagaimanapun, langkah yang diambil Khalid Samad itu rata-ratanya menyambut baik cadangan tersebut malah turut sama memberi cadangan kepada kerajaan supaya turut sama melaksana penggunaan beg kertas seperti yang dilakukan di negara Barat yang lain.

 

 

Apa Itu Produk Biodegradasi?

Sumber: Harian Metro

Bukan sahaja Malaysia yang komited melaksanakan produk biodegradasi, malah negara barat juga dilihat sudah lama mengaplikasikan penggunaan produk ini dalam kehidupan seharian mereka.

Malah sehingga kini, isu mengenai penggunaan beg plastik juga menjadi perbualan hangat masyarakat di seluruh dunia dengan mendesak beberapa negara untuk melarang penggunaan beg plastik serta straw yang dilihat memberi ancaman kepada hidupan akuatik khususnya.

Bagi mereka yang masih kurang faham mengenai produk biodegradasi, penggunaan produk ini sangat mesra alam kerana ia merupakan proses menguraikan sesuatu bahan melalui proses biologi menerusi agen penguraian seperti mikrob, fungus dan proses kimia yang berlaku secara semulajadi.

Selain itu, biodegradasi juga merupakan proses penting dalam pereputan bahan bagi membolehkan bahan tersebut menjadi kompos serta mudah diurai untuk menjadi elemen semulajadi.

Selain daripada mesra alam, proses biodegradasi ini juga penting dalam bidang bioperubatan, pengurusan sisa dan juga kelestarian ekologi alam sekitar.

 

Mampu Jadikan Pengurusan Sisa Pepejal Lebih Cekap dan Sempurna

Sumber: Kosmo

Penggunaan beg plastik jenis konvensioanal dan jenis biodegradasi sememangnya mempunyai perbezaan yang sangat ketara dari segi kesannya terhadap alam sekitar.

Kelebihan penggunaan produk biodegradasi ini bukan sahaja memudahkan orang ramai mengurus sisa pepejal dengan sempurna malah plastik jenis ini juga dilihat mesra alam kerana proses pembuatannya tidak melibatkan karbon.

Malah, plastik biodegradasi ini juga didefinisikan sebagai plastik yang terurai secara biologi di mana ia boleh mereput sepenuhnya dalam tempoh tertentu selain mengambil masa yang singkat untuk terurai, lebih mudah untuk diperbaharui dan kitar semula malah ianya juga tidak bertoksik.

Sumber: Sinar Harian

Berbanding dengan plastik jenis konvensional, ia melepaskan karbon ketika proses pembuataan selain bahan pencemar lain seperti metana juga akan keluar daripada beg plastik tersebut apabila ia dikitar semula dan dibakar.

Jadi, sebagai rakyat Malaysia, sudah pastinya kita mahu memilih produk yang lebih mesra alam yang bukan sahaja memberi kebaikan kepada alam sekitar malah turut sama memberi kebaikan terhadap ancaman kesihatan juga.

 

Beg Plastik Konvensional Beri Ancaman Terhadap Kesihatan

Sumber: Utusan

Beg plastik jenis konvensional ini bukan sahaja menyebabkan pencemaran malah ia juga menghasilkan kimia yang boleh mengancam kesihatan manusia yang sering dikaitkan dengan pelbagai penyakit berbahaya terutamanya kanser.

Hal ini kerana, beg plastik tersebut dihasilkan dari pelbagai bahan kimia seperti xylene, ethylene oxide dan benzene yang sudah tentu memudaratkan alam sekitar serta memberi gangguan kepada kesihatan manusia.

Dari segi alam sekitar, bahan kimia tersebut dilihat boleh mencemarkan udara dan menjejaskan tumbuhan dan sumber air minuman di mana hampir keseluruhan beg plastik yang digunakan dalam kehidupan seharian kita adalah tidak mesra alam.

Jika pada manusia, berkemungkinan besar penggunaan beg plastik yang bertoksik ini boleh memberi kesan kanser, kecacatan bayi malah memberi kesan kepada masalah imun dan isu terhadap perkembangan kanak-kanak juga.

 

Mentaliti Rakyat Malaysia Masih di Bawah

Walaupun sudah pelbagai kempen yang dilakukan kerajaan untuk menyelamatkan alam sekitar, namun sikap dan mentaliti rakyat Malaysia masih sukar diubah.

Mereka hanya hebat di media sosial kononnya memberi sokongan kepada usaha kerajaan tetapi melakukan sebaliknya berlaku apabila mereka masih lagi tidak kisah mengenai perkara tersebut.

Bagaimana usaha ingin berjaya jika tiada perlaksanaan yang sempurna. Mampukah kerajaan mendidik rakyat Malaysia? Atau usaha mereka sia-sia? Hanya anda sendiri yang mempunyai jawapannya.

KATA ORANG

KATA ANDA

Adakah langkah kerajaan laksana penggunaan produk biodegradasi menjelang 2020 di seluruh Wilayah Persekutuan akan berjaya?
0 votes · 0 answers
Undi

MENINGGALKAN SUATU JAWAPAN