Berdasarkan laporan dari Utusan Online, Menteri Pembangunan Usahawan, Datuk Seri Mohd Redzuan Md. Yusof berkata, negara bakal mempunyai kereta terbang buat pertama kali.

Demonstrasi kereta terbang tersebut bakal diadakan tahun ini dan dijangka akan diadakan di tasik Putrajaya. Dianggarkan kos mencipta kereta tersebut menelan belanja sebanyak RM1.2 juta atau (USD 300,000).

Sumber: The Star

Dirasmikan Menteri

Berdasarkan laporan, impian rakyat Malaysia bagi menyaksikan kereta terbang pertama negara bakal direalisasikan. Kereta terbang tersebut bakal dipandu uji sendiri oleh Datuk Seri Mohd Ridzuan yang juga selaku Menteri Pembangunan Usahawan.

Kereta terbang tersebut berbentuk dron yang berkapasiti dua orang penumpang. Beliau berkata, dengan demonstrasi replika tersebut bakal menyedarkan usahawan Malaysia bahawa inilah industri yang dilihat di masa hadapan dan menggalakkan usahawan menceburi industri yang berpotensi besar tersebut.

Dalam masa yang sama, beliau turut mengusulkan kepada kerajaan bagi membangunkan pesawat tanpa pemandu (UAV) atau kereta terbang sebagai salah satu inisiatif menggalakkan industri dron negara.

Berdasarkan perbincangan dengan negara Jepun sebelum ini, Jepun dijangka bakal melancarkan kereta terbang pada tahun 2025.

Sumber: Free Malaysia Today

Jenama Mana Yang Mencipta?

Pun begitu, masih menjadi tanda tanya jenama kereta mana yang menghasilkan kereta terbang negara. Mengikut laporan tahun 2017, Ketua Pegawai Eksekutif Proton, Li Chunrong  mengatakan Proton bakal melancarkan kereta terbang menjelang tahun 2019.

Selain kereta terbang, Proton turut bercadang menghasilkan kereta berkuasa elektrik dan kereta pemanduan automatik pada tahun 2019. Sehingga hari ini masih belum ada apa-apa perkembangan yang dimaklumkan oleh pihak Proton.

Sumber: Utusan

Aeromobil Memulakan Industri Kereta Terbang

Kereta terbang pertama di dunia telah pun dicipta pada dua tahun lalu. Berdasarkan laporan, Aeromobil 3.0 merupakan kereta terbang pertama dicipta di bawah pengilang Aeromobil, iaitu syarikat pengeluar Slovakia. Ketua Pegawai Eksekutifnya, Juraj Vaculik berkata, pihaknya yakin dapat menjual kenderaan dua tempat duduk itu menjelang tahun 2019.

Aeromobil 3.0 menggunakan sistem petrol bahan api dengan kelajuan mampu mencecah sehingga 160 kilometer sejam di jalan raya dan mampu terbang dengan kelajuan sehingga 199 kilometer sejam.

Sumber: Paultan.org

Selain Aeromobil, syarikat jenama Volvo turut berjaya mengeluarkan kenderaan terbang pada September tahun lalu dengan menggunakan nama Transition.

Kenderaan ini menggunakan elektrik hibrid dengan dua tempat duduk yang boleh bertukar dari mod memandu ke mod terbang dalam masa kurang dari satu minit. Dikhabarkan kereta terbang ini sudah mula dijual pada bulan Oktober tahun lalu.

Saingan Jenama Lain

Sekiranya negara berjaya merealisasikan penciptaan kereta terbang pertama, Malaysia bakal mengejutkan industri automotif dunia dan mungkin akan memberikan saingan terhadap Transition, kereta terbang milik syarikat Volvo.

Sama ada kereta terbang negara menggunakan elektrik hibrid seperti mana Transition atau menggunakan teknologi tersendiri bakal terjawab tidak lama lagi.

KATA ORANG

KATA ANDA

Setujukah anda tentang penciptaan kereta terbang negara pertama?
0 votes · 0 answers
Undi

MENINGGALKAN SUATU JAWAPAN