Baru-baru ini, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah melantik seorang lelaki dengan penampilan wanita, Rania Zara Medina sebagai ahli jawatankuasa sebuah pertubuhan Country Coordinating Mechanism (CCM).

Sumber: PenangKini

Bagaimanapun, pelantikan itu menjadi perhatian ramai sehingga menimbulkan kontroversi seolah-olah menunjukkan kerajaan mengiktiraf komuniti mak nyah sehingga dilantik dalam sebuah pertubuhan di peringkat kebangsaan.

Keadaan menjadi lebih panas lagi selepas Rania Zara sendiri membuat pengesahan mengenai pelantikan itu di akaun Facebook miliknya dan memuat naik surat pelantikannya yang ditandatangani Timbalan Menteri Kesihatan, Dr Lee Boon Chye pada 25 Jun lalu.

Difahamkan, Rania Zara mewakili komuniti ‘mak nyah’ di negara ini dalam CCM untuk mendapatkan dana daripada sebuah badan kewangan antarabangsa iaitu GlobalFund yang komited melaburkan dana menghentikan epidemik HIV, AIDS, Tuberkulosis dan Malaria. 

 

Lantikan Ikut Prosedur

Meskipun pelantikan yang dibuat itu dipersoal pelbagai pihak, Timbalan Menteri Kesihatan, Dr Lee Boon Chye menyatakan bahawa pelantikan Rania Zara adalah mengikut prosedur sedia ada bagi penggal 2019 hingga 2021.

Sumber: MalaysiaGazette

Katanya, pelantikan itu dibuat berdasarkan wakil masyarakat penduduk sasar yang dipilih dalam kalangan penduduk berkenaan dan disahkan melalui surat lantikan oleh beliau sendiri.

Jelasnya, penduduk sasar itu termasuk mereka yang tergolong dalam kategori transgender, hubungan seks lelaki bersama lelaki (men-sex-with-men), pekerja seks wanita, penagih dadah dan orang yang hidup dengan HIV/AIDS (PLHIV).

 

Ramai Pihak Kesal Tindakan KKM Lantik Transgender

Sumber: The Rakyat Post

Walaupun sudah dijelaskan, pelantikan Rania Zara itu masih lagi dipertikai ramai pihak  termasuk Dewan Ulamak Pas Selangor (DUPNS). 

Ketua DUPNS, Rizuan Rahmat dilihat mempertikai mengapa jawatankuasa itu memilih kelompak dari golongan transgender bagi mewakili negara untuk menyediakan permohonan dan mendapatkan dana dari GlobalFund bagi merawat penyakit AIDS, malaria dan sebagainya sedangkan banyak lagi individu lain yang jauh lebih layak.

Tegasnya, jawatankuasa tersebut perlu memilih mereka yang mempunyai integriti yang boleh mewakili suara negara dengan bijak dan matang dan bukannya mengutamakan kelompok tersebut untuk mewakili suara negara. 

 

Lihat Aspek Positif, Jangan Cepat Kecam

Apabila difikirkan semula, siapa lagi yang secara sukarela mahu mengambil tempat ini selain daripada golongan ini untuk memberi nasihat mengenai pengambilan ubat dan rawatan. 

Perlu tahu, hanya golongan mereka sahaja yang boleh mendekati pesakit-pesakit sebegini berbanding golongan biasa yang sering ‘membuang’ mereka dari masyarakat menyebabkan mereka berasa tersisih dan sukar untuk mendapatkan rawatan disebabkan tanggapan negative masyarakat di sekeliling.

Sumber: Berita Harian

Jadi, hanya agensi serta badan bukan kerajaan (NGO) sahaja yang menjadi tempat mereka bergantung untuk bertukar pendapat dan masalah.

Meskipun statistik Kementerian Kesihatan Malaysia menunjukkan penurunan kes jangkitan HIV sebanyak 60 peratus sejak 2002 hingga 2017, dari 28.4 kepada 10.3 setiap 100,000 orang KKM tetap perlu mencari jalan penyelesaian bagi mengelak angka ini daripada meningkat.

Sekiranya tiada golongan sebegini untuk membantu KKM yang sejajar dengan Pelan Strategik Nasional untuk menangani wabak HIV dan AIDS di negara ini, siapa lagi yang boleh diharapkan untuk memberi pendedahan tentang pengambilan ubat dan rawatan kepada pesakit-pesakit ini selain golongan mereka sendiri? 

 

Bukan Transgender Pertama Yang Dilantik

Di Malaysia, Rania Zara bukanlah transgender pertama yang pernah dilantik menjadi ahli jawatankuasa sebuah pertubuhan di peringkat kebangsaan.

Sumber: www.kokonutlist.com

Sebelum ini, Vee Izhar pernah dilantik menjadi wakil di dalam CCM untuk membantu dan memberi konsultansi kepada KKM dan Malaysian Aids Council (MAC) melalui sokongan dana global bagi program berkaitan HIV dan AIDS.

Selain daripada mereka berdua, banyak lagi aktivis transgender lain yang berperanan membantu dan memperjuang komuniti ini antaranya Nisha Ayub, Hazreen Shaik Daud, Danisha Afandi Tahir, Minisha Deepu, Gisele Rimong Lidom, Abinaya Jayaraman dan Sulastri Ariffin.

KATA ORANG

KATA ANDA

Apa pandangan anda mengenai isu ini?
3 votes · 3 answers
Undi

MENINGGALKAN SUATU JAWAPAN