Benarlah kata pepatah yang kita selalu dengar, ibu seorang boleh menjaga 10 anak tapi anak 10 belum tentu boleh jaga ibu seorang.

Semakin hari semakin ramai anak-anak yang tidak kisah jika mereka bersikap derhaka terhadap ibu sendiri, seolah-olah ianya adalah perkara biasa yang tidak perlu diambil peduli.

Sedangkan syurga terletak di bawah telapak kaki ibu, terutamanya bagi anak lelaki. Apabila si ibu sudah tidak mampu bekerja mahupun menguruskan diri sendiri, tanggungjawab menjaga setiap keperluan si ibu jatuh ke atas mereka.

Isu pengabaian ibu bapa yang sudah lanjut usia bukan sahaja berlaku di negara kita malah ianya merupakan isu global yang sangat menakutkan.

Sudahlah kebajikan mereka tidak dijaga baik malah ada anak-anak yang tidak teragak-agak untuk menghalau ibubapa mereka kerana merasakan ibu bapa sebagai beban yang perlu ditanggung kerana terpaksa.

Kelmarin tular kisah seorang nenek tua yang dikatakan bertindak membawa diri untuk pulang ke kampung halamannya di Terengganu ekoran tindakan anaknya yang menuduh dirinya membela saka.

Ketika ditanya orang ramai, nenek tersebut menceritakan bahawa dia mempunyai masalah gastrik  yang teruk yang membuatkan dia sentiasa berasa lapar dan tidak boleh lewat makan.

Namun malangnya, permintaannya untuk meminta makanan itu disalah tafsir anaknya sehingga sanggup menuduh si ibu benda yang bukan-bukan.

Hati ibu mana yang tidak terguris apabila si anak memperlakukan mereka sebegitu.

 

Sikap Prihatin Orang Ramai, Nenek Selamat Bawah Jagaan JKM

Berkat keprihatinan dan pertolongan orang ramai nenek tersebut berjaya dibawa untuk menerima bantuan yang sepatutnya.

Ketika dalam perjalanan pulang ke Terengganu menaiki bas, keadaan nenek tersebut disedari seorang gadis yang turut berada di RnR tempat bas tersebut berhenti untuk berehat.

Walaupun tidak mampu berbuat banyak, namun sempat gadis tersebut menjadi tempat meluah isi hati yang sedih dan terguris dengan sikap anak-anaknya yang tidak bertanggungjawab dan berperikemanusian itu.

Malah nenek tersebut sempat diberi makan sebelum gadis tersebut terpaksa mengundur diri kerana mengejar masa untuk menaiki bas yang membawanya.

Namun dia sempat berkongsi kisah nenek tersebut melalui media sosial agar bantuan dapat diberikan kepada nenek tersebut jika ada insan lain yang terserempak dengannya.

Dan kini makcik tersebut dikatakan sudah berada di pusat JKM sementara menunggu dituntut oleh warisnya.

Namun yang menjadi persoalan adakah dia akan dituntut? Ataupun si waris hanya akan menutup sebelah sahaja?

 

Layanilah Mereka Sehabis Baik Selagi Ada Nyawa

Tidak dinafikan, semakin kita meningkat dewasa pasti semakin banyak komitmen lain yang akan wujud lebih-lebih lagi jika kita sudah mendirikan rumahtangga.

Namun, wajarkah itu menjadi alasan untuk kita mengabaikan ibu bapa yang dahulu pernah memerah segala keringat untuk kita?

Bukan harta dan kekayaan yang dipinta, cukup sekadar layanan yang baik dan penuh kasih sayang dari kita.

Masih ramai anak-anak yang mengambil mudah isu menjaga hati ayah dan ibu mereka yang sudah tua. Jika anda salah seorang daripada mereka, ubahlah selagi sempat ubahlah selagi mereka masih bernyawa.

 

 

 

 

 

 

KATA ORANG

KATA ANDA

Apa kata anda?
3 votes · 3 answers
Undi

MENINGGALKAN SUATU JAWAPAN