Istilah main kutu sering kali kita dengar dalam kalangan masyarakat kita khususnya masyarakat Melayu.

Sumber: Twitter Aqma Raif

Main Kutu merupakan satu sistem simpanan wang secara berkumpulan dalam jangka masa yang panjang.

Jika dahulu peserta permainan ini hanya dalam kalangan golongan wanita, namun begitu pada hari ini golongan lelaki juga telah mula turut serta.

 

Sejarah Main Kutu

Berdasarkan laporan dari Utusan, kaedah permainan ini sangat mudah. Peserta perlu mencabut undi untuk menentukan giliran mendapatkan wang yang akan dibayar oleh setiap pemain di dalam satu kumpulan.

Ibu kutu yang dilantik akan bertindak sebagai bendahari untuk mengutip sejumlah wang daripada setiap pemain dan disimpan sebelum diagihkan mengikut giliran pemain.

Permainan kutu akan tamat apabila pemain yang mendapat giliran terakhir mendapat habuannya pada bulan terakhir seperti mana perjanjian yang telah ditetapkan.

Tidak dapat dipastikan sejak bila permainan kutu ini bermula di Malaysia. Namun begitu, permainan kutu merupakan amalan sebahagian masyarakat Islam khususnya wanita di Timur Tengah dan Afrika. Di Timur Tengah permainan ini dipanggil ‘Jumu’iyyah’ manakala di Afrika (Nigeria), permainan ini dipanggil ‘Adashi’.

 

Bagaimana Boleh Jadi Kesalahan Jenayah?

Ramai yang tidak tahu sebenarnya main kutu adalah satu kesalahan di sisi undang-undang. Sesiapa yang bermain kutu boleh didenda tidak lebih daripada RM500,000 atau dipenjara tidak lebih sepuluh tahun atau kedua-duanya.

Berdasarkan laporan dari Berita Harian, menurut Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK), melalui laman Facebook (FB) Cyber Crime Alert Royal Malaysia Police, terdapat beberapa kes apabila penganjur atau ‘ibu kutu’ menghilangkan diri bersama wang yang dibayar peserta.

Sumber: Sinar Harian

Ini kerana di bawah Seksyen 3 Akta (Larangan) Kumpulan Wang Kutu 1971, adalah salah di sisi undang-undang menjalankan perniagaan menganjurkan kumpulan wang kutu. Namun begitu, bagi mereka yang menjadi mangsa kes kutu, boleh membuat laporan polis di balai polis berhampiran dan kes seperti ini akan dipindahkan kepada Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) untuk disiasat.

Kisah-kisah penipuan permainan kutu bukan suatu yang asing bagi kita. Malah kerap kali didengari. Kebiasaannya apabila tiba giliran peserta mendapat habuan, mereka akan menghilangkan diri dan tidak lagi mengikuti permainan sehingga tamat. Sudah pasti ia mendatangkan kerugian kepada peserta-peserta lain yang sabar mengikuti permainan.

 

Hukumnya Menurut Islam

Memetik artikel di muftiwp.gov.my, bermain kutu pada asalnya dibenarkan selagi mana jauh daripada riba, kezaliman dan unsur-unsur haram. Malah aktiviti memberi pinjaman dengan nilai dan jumlah yang sama adalah harus memandangkan tidak termasuk dalam bentuk faedah yang dilarang.

Ini kerana tidak berlaku sebarang kezaliman memandangkan kedua-duanya mendapatkan jumlah wang dan tempoh yang sama, cuma pada waktu yang berbeza sahaja.

Menurut Dr. Zaharuddin Abd Rahman pula, bagi memastikannya halal, peserta yang ingin menyertai perlu pastikan semua ahli kumpulan boleh dipercayai, dikenali dan membuat akad bertulis bagi kemaslahatan semua. Tanpanya permainan terdedah kepada berlakunya kes penipuan.

Sumber: Usim.edu

Disebabkan undang-undang negara telah memperuntukkan Akta (Larangan) Kumpulan Wang Kutu 1971 (https://www.ssm.com.my/acts/fscommand/ak0028.htm) maka adalah sewajarnya mengikuti peraturan yang telah ditetapkan.

Memang benar bermain kutu dapat membantu merancang simpanan dan perbelanjaan, tetapi jika tersalah langkah buruk padahnya. Dalam dunia hari ini orang yang nampak seakan baik pun liat untuk membayar hutang apatah lagi hal-hal berkaitan dengan wang kutu.

Apa pun segala-galanya terletak kepada kebijaksanaan individu. Yang pasti, kegiatan ini masih dijalankan oleh sebilangan kecil masyarakat dalam usaha mendapatkan wang dalam kadar segera kepada si pemain. Sekiranya anda sebagai peserta, anda perlu berhati-hati dalam sebarang urusan yang melibatkan wang.

 

 

 

KATA ORANG

KATA ANDA

Apa pandangan anda mengenai isu ini?
1 vote · 1 answer
Undi

MENINGGALKAN SUATU JAWAPAN