Pencemaran yang berlaku di Pasir Gudang bukan sahaja mendatangkan kemarahan kepada rakyat Malaysia, dalam masa sama menimbulkan pelbagai kontroversi memandangkan kemelut yang sama berlaku sekali lagi selang beberapa bulan selepas episod pencemaran Sungai Kim Kim.

Suamber: Sinar Harian

Persoalan yang timbul ialah, apakah kerajaan negeri Johor dan pihak berkuasa tempatan tidak mempunyai senarai lengkap kilang-kilang yang beraktiviti di sekitar Pasir Gudang? Ini kerana, menjadi satu kemusykilan apabila si pelaku pencemaran kali ini masih tidak dapat dijejak. Sedangkan pencemaran yang berlaku sudah menjangkau hampir sebulan.

Kecaman Keras MP Pasir Gudang

Perkara ini pernah diperkatakan oleh Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Karim. Beliau berasa hairan di sebalik peristiwa yang berlaku di Sungai Kim Kim, kerajaan negeri masih tidak mampu menyenaraikan kesemua kilang industri di Pasir Gudang sehingga menyebabkan pencemaran yang berulang tidak dapat dikesan.

Sumber: Astro Awani

Dalam masa yang sama, beliau mempersoalkan kerajaan Pusat kenapa darurat tidak diisytiharkan di kawasan kejadian sedangkan tragedi tersebut sudah berlaku kali kedua. Ini soal nyawa, adakah kerajaan tidak mementingkan keselamatan penduduk setempat?

Tak Dapat Cari Kilang Perkenal Pula Alat Pengesan Gas

Sudahlah darurat tidak diisytiharkan, kerajaan pula memperkenalkan alat pengesan gas di sekolah-sekolah, yang merupakan satu langkah tidak praktikal. Ini kerana alat pengesan gas hanya sesuai digunakan di kawasan tertutup, bukan di kawasan terbuka seperti di sekolah. Yang pasti pemasangan alat ini lebih menguntungkan industri berkaitan berbanding menyelesaikan masalah.

Namun begitu, baru-baru ini pihak berkuasa Johor telah mengenal pasti 18 kilang haram di Pasir Gudang, itu pun setelah hampir sebulan pencemaran sama berlaku. Memetik laporan The Malaysian Insight, Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS) Johor, Wan Abdul Latiff Wan Jaafar telah mengenalpasti kilang-kilang haram yang kebanyakannya dibina di atas tanah milik kerajaan negeri Johor.

Antara kilang yang berjaya diserbu ialah kilang yang mengitar semula bahan terpakai seperti plastik, minyak terpakai, kilang berasaskan logam, kilang membuat pengasingan sisa pepejal dan pelbagai lagi.

Sumber: Bernama Radio

Tidak Sedar Kilang Haram Atas Tanah Kerajaan Negeri

Persoalannya, bagaimana kilang-kilang haram tersebut boleh didirikan di atas tanah kerajaan negeri? Adakah pihak berkuasa sebelum ini tidak turun padang atau ada pihak dalam kalangan kakitangan kerajaan yang ‘melindungi’ kegiatan kilang-kilang haram di Pasir Gudang? Adakah hasil keuntungan di sebalik kegiatan kilang haram ini turut disalurkan kepada kerajaan negeri?

Persoalan ini perlu dijawab secara bertanggungjawab oleh pihak kerajaan negeri dan pihak berkuasa. Yang pasti, aktiviti kilang haram tidak berlaku dalam masa setahun lalu berdasarkan keadaan kilang yang agak tua, mungkin 5, 10 atau 15 tahun yang lampau.

Justeru, adalah menjadi harapan agar kerajaan menitikberatkan soal keselamatan rakyat berbanding keuntungan di sebalik aktiviti industri. Kegagalan menguruskan situasi akan memberi implikasi buruk kepada imej semua yang terlibat. Perlu diingat, rakyat sedang memerhati di sebalik peristiwa yang berlaku.

KATA ORANG

KATA ANDA

Apa komen anda mengenai isu ini?
1 vote · 1 answer
Undi

MENINGGALKAN SUATU JAWAPAN