Bermula tahun ini, semua kenderaan terbiar terutama di kawasan kediaman akan dilupuskan dalam masa sebulan selepas diberi notis satu minggu. Dengan cara ini ia sekali gus menyelesaikan masalah kesesakan depoh pengumpulan kereta terbiar dan tempoh masa setahun untuk menyelesaikan prosedur pelupusan sebelum ini.

Sumber: Harian Metro

Masalah Parkir Di Kawasan Perumahan

Masalah kenderaan terbiar ini telah menyebabkan masalah parkir di kawasan perumahan khususnya rumah pangsapuri. Menurut Harian Metro, seorang pekerja swasta yang tinggal di ibu negara, Norhayati Borhan, berkata sejak mendiami kawasan perumahan lima tahun yang lalu akan ada sahaja kereta yang ditinggalkan saban tahun.

Sikap tidak bertanggungjawab pemilik kenderaan yang membiarkan kenderaan lama menyebabkan kesukaran mendapat parkir. Bagi mereka yang pulang lewat dari tempat kerja terpaksa meletak kenderaan jauh dari kawasan perumahan. Masalah kereta terbiar bukan sahaja berlaku di kawasan perumahan tetapi juga berlaku di kawasan perniagaan seperti di lot-lot kedai.

Statistik dari tahun 2014 sehingga tahun 2017 menunjukkan sebanyak 15,000 kereta terbiar yang hanya melibatkan lapan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) iaitu Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ), Majlis Perbandaran Selayang (MPS), Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB), Majlis Perbandaran Kajang (MPKj), Majlis Bandaraya Ipoh (MPI) dan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA).

Sumber: Harian Metro

Pemilik Tidak Tahu Cara Lupus

Terdapat juga permasalahan dalam kalangan penduduk yang tidak tahu bagaimana cara untuk melupuskan kenderaan.

Ini kerana jika dilihat tiada pendedahan mengenainya dilakukan oleh pihak berkenaan.

Antara cadangan yang wajar diberi penekanan kepada penduduk di kawasan bandar ialah pendedahan dan penerangan berkenaan cara-cara melupuskan kenderaan terbiar serta pendaftaran kenderaan-kenderaan terbiar kepada pihak PBT.

Selain penduduk, penjual kereta khususnya kereta terpakai wajar diberikan taklimat dan penerangan tentang cara-cara melupuskan kenderaan supaya mereka dapat menyampaikan kepada pembeli cara-cara melupuskan kenderaan.

Masalah Lain

Selain menyebabkan masalah ruang parkir yang terhad, kenderaan-kenderaan terbiar telah menimbulkan risiko keselamatan jalan raya, menjadi sarang haiwan berbisa serta menjadi tempat pembiakan nyamuk Aedes.

Bukan itu sahaja, terdapat sesetengah kenderaan terbiar sudah dilitupi dedaun, ditumbuhi lalang dan pokok liar.

Sumber: Utusan Online

Kelulusan RUU Dari Dewan Rakyat

Pelupusan kenderaan terbiar oleh PBT kini lebih mudah selepas Dewan Rakyat sebulat suara meluluskan Rang Undang-undang (RUU) Akta Pengangkutan Jalan (Pindaan) 2018.

Pindaan telah dibuat dengan membabitkan Seksyen 66 Akta Pengangkutan Jalan 1987 memberi kuasa kepada Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Foke membangunkan satu kaedah khusus mengenai tatacara pembatalan pendaftaran kenderaan motor atas sebab munasabah.

PBT Terlibat

Dengan perkembangan ini, ia memberi kuasa kepada PBT melupus kenderaan terbiar. Antara PBT yang diberi kuasa berkenaan merangkumi majlis bandaraya di Ipoh, Alor Setar, Petaling Jaya, Shah Alam, Pulau Pinang, Johor Bahru, Melaka, Kuala Terengganu dan Iskandar Puteri.

Langkah kerajaan ini merupakan satu perkembangan positif bagi memastikan keselesaan penduduk di ibu negara di samping menyelesaikan masalah parkir yang amat terhad.

 

KATA ORANG

KATA ANDA

Pada pendapat anda, adakah tindakan kerajaan ini menyelesaikan masalah kenderaan terbiar secara menyeluruh?
2 votes · 2 answers
Undi

MENINGGALKAN SUATU JAWAPAN