Rumah merupakan keperluan asas bagi setiap manusia untuk berteduh dan berlindung dari hujan juga panas.

Di rumah jugalah tempat sesebuah keluarga tu menjalani kehidupan mereka dari kecil sehingga dewasa dikelilingi adik beradik dan ibu ayah.

Malangnya bukan semua mampu memiliki rumah idaman mereka, ada yang terpaksa menyewa malah memohon dan merayu bantuan kerajaan untuk menyewa di rumah-rumah kerajaan.

Ini kerana dengan kadar sewa yang lebih murah dapatlah mengurangkan beban mereka dan menanggung keperluan yang lain.

Namun isu yang sering diutarakan penduduk di rumah Program Perumahan Rakyat (PPR) adalah sikap pihak pengurusan yang begitu lambat menyelesaikan sesuatu isu mahupun aduan yang dibuat oleh penduduk.

Isu sampah, paip tandas dan air, isu sistem perparitan yang tersumbat dan yang paling banyak diadukan ialah isu lif.

Bukan satu atau dua, ada kala kesemua lif tidak dapat digunakan serentak sehinggakan menyusahkan penduduk lebih-lebih lagi bagi kanak-kanak dan warga tua.

Kalau kediaman mereka cuma 4, 5 tingkat boleh dipertimbangkan lagi, tapi bayangkan kalau sampai 40 tingkat.

Namun yang menjadi persoalan ialah adakah masalah ini terjadi kerana kurang mendapat perhatian dari pihak pengurusan atau sikap penduduk sendiri yang tidak pandai menjaga kemudahan yang telah disediakan.

Terbaru, seorang ibu anak tiga disahkan meninggal dunia kerana sesak nafas. Mangsa dikatakan terperangkap dengan tiga anaknya di dalam lif selama hampir sejam.

Pintu lif yang akhirnya terbuka di tingkat 6 memaksa mangsa dan anak-anak untuk menggunakan tangga untuk ke rumah mereka yang terletak di tingkat 11.

Mangsa yang dikatakan pitam selepas mandi meninggal dunia.

Apabila perkara sebegini berlaku, siapa yang harus dipersalahkan?

Menurut seorang penduduk disitu, PPR yang didiami mereka itu antara yang terbersih dan lifnya baru ditukar. Namun tidak berapa lama selepas itu asyik rosak balik dan sering tersangkut dipercayai kerana sikap pengguna yang tidak cermat ketika menggunakan lif.

 

Vandalisma Semakin Teruk

Pernah ke anda pergi ke kawasan rumah-rumah PPR dan lihat sendiri bagaimana kawasan persekitaran dan perumahan tersebut?

Rumah sampah yang tidak digunakan dengan betul, buang sampah sesuka hati tanpa meletakkan sampah ke tempat yang disediakan.

Malah ramai yang selalu sengaja membuat kerosakan terhadap fasiliti yang disediakan seperti lif, pili bomba,telefon, peti surat dan dinding-dinding banggunan.

Malah ada juga yang terlalu pengotor sehinggakan berani membuang air kecil di dalam lif mahupun di kawasan tangga sehingga mencemarkan kawasan tersebut dan mendedahkan orang lain kepada bahaya dan jangkitan penyakit.

Sikap anak-anak muda yang selalu menendang dan menyimbah air ke arah butang lif juga merupakan salah satu punca mengapa lif di kawasan perumahan terlalu cepat rosak walaupun sudah berkali-kali dibaiki.

 

Aduan Selalu Tak Diendahkan

Jika bercakap tentang isu keprihatinan pihak PPR pula dalam menyelesaikan setiap aduan penduduk memang ramai yang mengeluh kesal.

Isu seperti sinki tersumbat mahupun paip rumah atas pecah sehingga air kotoran mereka mengalir ke rumah bawah adalah isu biasa jika anda tinggal di perumahan PPR.

Namun, malangnya walaupun sudah diadu tetap tidak ada bantuan dan pertolongan untuk membaiki kerosakan dilakukan.

Setiap pembaikan bukannya percuma, penduduk perlu membayar untuk servis tersebut. Namun tetap responnya sangat menyedihkan, bayangkan anda perlu lalui hari-hari anda dengan titisan air kotor dari rumah atas.

Dengan bau yang tidak menyenangkan, siapa pun memang boleh hilang akal kalau berlaku pada diri mereka.

Adakah kerana bayaran sewa yang murah, aduan penduduk tentang kerosakan diambil mudah?

 

Penduduk Perlu Lebih Prihatin Dan Hargai Fasiliti Yang Disediakan

Mentaliti kelas ketiga, itulah ungkapan yang sering kita dengar tentang penduduk kawasan perumahan kos rendah.

Sikap yang selalu mementingkan diri sendiri sehingga tidak mempedulikan kepentingan orang lain.

Bayangkanlah, kerana sikap kita sendiri yang tidak menjaga baik lif yang disediakan, seorang ibu kehilangan nyawa dan anak-anak yang masih kecil menjadi yatim.

Bagaimanalah mereka ingin meneruskan kehidupan selepas ini?

Fikirlah sebelum anda melakukan sesuatu, ubahlah selagi berkesempatan. Demi kebaikan anda sendiri dan juga orang sekeliling.

KATA ORANG

KATA ANDA

Apa kata anda?
1 vote · 1 answer
Undi

MENINGGALKAN SUATU JAWAPAN