Siapa yang pernah pergi ke Putrajaya pasti akan terpegun dengan keindahan pemandangannya yang cukup indah lebih-lebih lagi Tasik Putrajaya.

Bukan sahaja terkenal dalam kalangan masyarakat di Malaysia, nama tasik ini juga terkenal di peringkat antarabangsa.

Sebab itulah tasik ini kerap kali dipilih untuk menjadi tuan rumah bagi Kejohanan Dunia Ski Air pada tahun ini.

Namun, baru-baru ini, tular beberapa gambar di media sosial yang menunjukkan ada sekumpulan pembela haiwan dipercayai telah melepaskan seekor kura-kura jenis ‘aligator’ ke dalam tasik tersebut.

 

Buang Haiwan Di Tasik Kerana Mahu Dapat Tuah

Sumber: Facebook BigBoss

Menerusi beberapa hantaran yang tular di Facebook itu juga, difahamkan kura-kura aligator itu dibela untuk mendatangkan ‘tuah’.

Setelah reptilia itu makin membesar, pembela akan membuat keputusan untuk melepaskannya di tasik buatan tersebut.

Walaupun ia dikatakan membawa tuah, tindakan tersebut sama sekali telah mendatangkan kebimbangan kepada orang ramai terutamanya bagi pengiat sukan air yang sering menggunakan tasik itu sebagai aktiviti riadah mereka.

 

Mengapa Kura-Kura Jenis Ini Berbahaya?

Mesti ramai yang beranggapan, hanya seekor kura-kura je pun, apa yang bahayanya?

Jika kura-kura biasa, tidak mengapa lagi. Tetapi, kura-kura yang dilepaskan adalah sejenis kura-kura aligator yang boleh menganggu habitat asal di lokasi itu serta orang yang berada di sekitarnya.

Untuk pengetahuan anda, reptilia kura-kura aligator atau ‘Aligator Snapping Turtle’ ini cukup dikenali dengan rupa yang menyeramkan dan bersifat agresif.

Jangan ingat reptilia seperti buaya atau biawak sahaja boleh bersikap agresif. Kura-kura jenis ini juga boleh bersikap agresif dengan menyepit apa sahaja yang berada di hadapannya apabila merasa terancam.

Sumber: Facebook BigBoss

Malah, gigitan haiwan ini juga sangat kuat sehingga boleh mencengkam serta menghancurkan sesuatu dengan mudah.

Jangka hayat haiwan ini juga boleh mencecah sehingga 100 tahun yang mana reptilia ini akan menghabiskan sebahagian besar hidupnya di dalam air.

Haiwan ini juga mampu untuk berada di dalam air selama 40 hingga 50 minit sebelum menuju ke permukaan air bagi mendapatkan oksigen.

 

Antara Kejadian Lepaskan Reptilia Berbahaya

Sebelum ini, terdapat juga kes di mana ada individu yang tidak bertanggungjawab melepas reptilia berbahaya, iaitu anak buaya tembaga di kawasan tasik Shah Alam.

Namun, mujur anak buaya itu berjaya ditangkap oleh Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) yang memasang perangkap di kawasan tasik tersebut.

Sumber: Sinar Harian

Sekiranya tidak ditangkap, anak buaya itu pastinya akan memberi ancaman kepada keselamatan orang ramai yang beriadah di kawasan terbabit.

Dalam isu ini, tidak dinafikan peminat haiwan liar akan memelihara haiwan jenis ini lebih-lebih lagi spesis ini berasal dari Amerika Syarikat.

Namun, andai sudah tidak berminat lagi untuk menjaganya, janganlah bertindak melepaskannya ke kawasan tasik atau sungai kerana tindakan itu sama sekali boleh beri ancaman kepada orang awam dan juga hidupan lain yang sudah lama menetap di kawasan itu.

Apa-apa pun, andai ada orang awam yang menjumpai mana-mana individu atau reptilia liar sebegini boleh menghubungi talian hotline Jabatan Perhilitan di 1-800-88-5151 untuk tindakan sewajarnya.

KATA ORANG

KATA ANDA

Perlukah tindakan undang-undang yang lebih tegas dikenakan terhadap mana-mana individu yang melepaskan reptilia berbahaya di kawasan tasik?
4 votes · 4 answers
Undi

MENINGGALKAN SUATU JAWAPAN