Kemenangan penyanyi Korea Selatan, Han Byul dalam sebuah program realiti televisyen (tv) Malaysia Big Stage musim kedua, telah menggembirakan para peminat. Seperti dijangka, aksi konsisten yang ditampilkan olehnya setiap minggu telah menyebabkan beliau memenangi pertandingan tersebut.

Sumber: Gempak

Menerusi artikel beautifulnara.com, dua buah judul lagu yang dibawa oleh Han Byul iaitu lagu Lose Yourself daripada Eminem serta ‘single’ terbaru berjudul Luka dan Bahagia telah memberi kemenangan kepada beliau.

Kemenangan ini membolehkan beliau membawa pulang hadiah wang tunai bernilai RM100,000, sebuah kereta Perodua Axia Style, telefon pintar Vivo V17 Pro, beserta trofi sumbangan Astro. Dalam kalangan warga maya ramai, yang memberikan komen positif terhadap kemenangan Han Byul. Ini memandangkan kehebatan dan kemerduan suara yang memukau para penonton.

 

Artis Korea Hebat Atau Artis Malaysia Memang Tiada Bakat?

Namun begitu, terdapat juga segelintir warga maya yang mempersoalkan kemenangan Han Byul. Ini memandangkan markah yang diberikan oleh juri kepada Han Byul lebih rendah berbanding Neeta, pemenangyang menduduki tempat kedua. Apa yang membezakan mereka ialah undian daripada peminat. 

Dengan rupa paras yang tampan, segak dan bergaya sudah tentu ini menjadi tarikan buat peminat-peminat Malaysia khususnya golongan wanita untuk mengundi Han Byul. Disinilah keadilan yang dipertikaikan ramai pihak.

Sumber: The Seoul Story

Perkara ini bukan perkara baharu, tetapi sudah acap kali berlaku dalam mana-mana pertandingan realiti tv. Tetapi, apa boleh dikatakan sudah nama pun realiti tv, kemenangan ditentukan oleh peminat.

Ada Yang Mahu Pertandingan Perlu Ditetapkan Untuk Peserta Tempatan Sahaja!

Mungkin tersentak dengan kemenangan penyanyi Korea, ditambah dengan kebanjiran industri K-Pop, ada dalam kalangan warga maya yang berpandangan agar syarat-syarat pertandingan realiti televisyen dihadkan, iaitu hanya kepada warganegara Malaysia. Ini bertujuan untuk memberi ruang kepada bakat-bakat muda tempatan untuk bersinar.

Sumber: 131

Namun begitu segala syarat pertandingan terletak kepada penganjur. Penganjur mempunyai hak dalam menentukan kriteria apa yang mereka inginkan, termasuklah syarat khas warganegara atau pun tidak. Tidak adil untuk menafikan bakat seseorang hanya semata-mata kerana mereka bukanlah warganegara Malaysia khususnya.

Bagi sesetengah penganjur, sudah pasti mereka mempunyai alasan tersendiri membuka penyertaan kepada peserta luar. Ia termasuklah menggunakan peserta luar sebagai platform bagi mempromosikan pertandingan di peringkat antarabangsa. Dan perkara ini telah dilakukan oleh banyak pertandingan di luar negara.

Artis Malaysia Pun Mampu Menonjol Di Luar Negara

Kalau penyanyi tempatan seperti Shila Amzah mampu memenangi pertandingan nyanyian di China, manakala Mugen Rao mampu memenangi pertandingan realiti Big Boss di India, kenapa tidak Han Byul untuk pertandingan di Malaysia? Kemenangan mereka diuji berdasarkan bakat, prestasi dan undian dari para peminat. Kita tidak boleh halang peminat untuk meminati sesiapa yang mereka minat, seperti mana di negara China dan India.

Sumber: Zaqwan Anuar

Justeru itu, industri seni perlu dilihat secara terbuka. Sekiranya seseorang penyanyi itu merupakan penyanyi tempatan tetapi tidak mendapat tempat di hati pendengar, adakah kita ingin memaksa peminat untuk menyokong penyanyi tempatan? Sudah tentu tidak.

Hendak atau tidak, setiap pihak perlu berlapang dada dan bertindak jujur dalam menerima keputusan yang telah ditetapkan. Memang tidak adil sekiranya kemenangan diperoleh menerusi ciri fizikal dan rupa paras yang cantik dan tampan. Tetapi harus diingat, inilah pertandingan. Kemenangan Han Byul bukan terletak di tangan juri semata-mata, tetapi bergantung juga kepada undian dari peminat.

KATA ORANG

KATA ANDA

Pada pandangan anda apakah yang menyebabkan Han Byul mampu memenangi pertandingan?
10 votes · 10 answers
Undi

MENINGGALKAN SUATU JAWAPAN