Legoland merupakan Taman Tema Lego pertama di Asia yang didirikan pada tahun 2012. Taman ini dibina dengan keluasan tanah seluas 76 ekar bersamaan dengan lebih daripada 50 padang bola sepak.

Sumber: The Vocket

Kajian Semula Aset Bukan Teras

Berdasarkan laporan daripada Bloomberg, Khazanah Nasional Berhad (Khazanah) sedang mempertimbangkan penjualan Legoland Malaysia Resort. Ia susulan sebagai sebahagian daripada kajian semula ke atas aset bukan terasnya. Taman tema ini dianggarkan bernilai RM1 bilion termasuk hutang yang dimiliki.

Legoland Malaysia dibuka secara rasmi oleh Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Johor dan Perdana Menteri Malaysia. Taman ini dibuka pada September 2012 dengan memaparkan sebanyak 15,000 model Lego yang dibuat daripada lebih 60 juta bata. Taman tema dan resort ini dioperasikan oleh Merlin Entertainments Plc.

Sejak dibuka dan selari dengan jumlah pengunjung yang semakin bertambah, Legoland terus ditambah baik dengan penambahan lebih banyak tarikan seperti Sea Life yang bakal dibuka pada bulan hadapan.

Sumber: Facebook Najib Razak

Bagi bekas Perdana Menteri, Dato Seri Najib Razak, beliau kesal penjualan tersebut. Dalam hantaran Facebook, beliau berkata, usaha Khazanah Nasional di bawah kerajaan BN untuk menwujudkan taman tema bertaraf antarabangsa adalah bertujuan untuk merancakkan industri pelancongan.

PH Gadai Aset Negara

Secara sinis, Najib menuduh pemerintahan Pakatan Harapan (PH) sedang menggadaikan aset-aset negara memandangkan penjualan dengan harga RM 1 bilion mampu dibeli oleh syarikat dari luar negara. Beliau menambah, banyak lagi aset negara yang boleh dijual oleh kerajaan PH.

Ini bukan pertama kali berlaku. Pada November tahun lalu, Khazanah telah menjual 16 peratus kepentingan mereka di dalam IHH Berhad iaitu kumpulan hospital Malaysia kepada pelabur Mitsui dari Jepun dengan harga RM8.42 bilion, sekaligus menjadikan Mitsui sebagai pemegang saham terbesar.

Begitu juga dengan usaha penjualan Menara FELCRA di Jalan Semarak. Penjualan aset tersebut dilakukan bagi memastikan aliran kewangan FELCRA stabil ekoran beban kewangan yang dihadapi oleh syarikat tersebut.

Sumber: Mknace Unlimited

Pada Oktober tahun lalu, Setiausaha Politik Menteri Kewangan, Tony Pua berkata, Khazanah dan Permodalan Nasional Bhd (PNB) akan menyemak semula dan melepaskan aset bukan-strategik sebagai sebahagian langkah kerajaan mengurangkan kos.

Khazanah Terus Rugi

Dalam Facebook Najib Razak, beliau turut membangkitkan kerugian yang dialami Khazanah. Beliau berkata nilai aset bersih Khazanah Nasional turun RM25 bilion (21.6%) kepada RM91 bilion pada akhir tahun 2018 berbanding RM116 bilion tahun 2017.

Khazanah juga turut merekodkan kerugian RM6.3 bilion untuk tahun 2018 berbanding untung RM2.896 bilion tahun sebelumnya di bawah BN. Secara sinis beliau berkata kejatuhan RM25 bilion bukan satu angka yang kecil. Boleh bayar hampir semua hutang 1MDB atau hampir setengah dari kos ECRL RM55b bilion.

Sampai Bila?

Penjualan satu demi satu aset negara dilihat sebagai sesuatu yang tidak sihat, malah mencerminkan permasalahan ekonomi negara pada masa kini. Meskipun sudah diwujudkan kementerian khusus yang menjaga hal ehwal ekonomi, namun belum menampakkan sebarang impak kepada ekonomi negara.

Penelitian yang rapi wajar dilakukan oleh kerajaan supaya mencari alternatif lain bagi menyelesaikan permasalahan yang berlaku. Jika tidak, sampai bila rakyat harus melihat satu demi satu aset negara digadaikan kepada orang luar.

 

KATA ORANG

KATA ANDA

Mungkinkah akan ada lagi penjualan aset-aset negara?
0 votes · 0 answers
Undi

MENINGGALKAN SUATU JAWAPAN