Kejadian bayi Adam Rayqal yang ditemui mati di dalam peti sejuk baru-baru ini telah menimbulkan debat dalam kalangan netizen sama ada ibubapa wajar menghantar anak-anak mereka ke rumah pengasuh atau menjaga mereka sendiri di rumah.

Pernahkah kita mendalami dan memahami industri mengasuh bayi? Pengasuh tidak berlesen memperoleh hanya sekitar RM500 sebulan (20 hari bekerja) bagi menjaga seorang bayi selama 8 jam, iaitu bersamaan RM3 sejam. Jumlah ini lebih rendah dari gaji minima yang ditetapkan kerajaan.

Kos ini mungkin dilihat kecil, namun mengapa ibubapa tetap berhadapan dengan dilema ini?

Statistik Ibu Bekerja 

Gaji dan upah di Malaysia,2016 (Sumber: DOSM)

Penyertaan wanita termasuk ibu yang mempunyai anak dalam sektor pekerjaan kini semakin meningkat kepada 54.3 peratus pada 2017 dimana ketika ini lebih 700,000 wanita bekerja dalam pelbagai sektor.

Berdasarkan laporan penyiasatan gaji dan upah 2016 oleh Jabatan Perangkaan Malaysia, purata gaji dan upah bulanan yang diterima pekerja adalah RM2,463.

Sekiranya mereka mempunyai tiga orang anak, jumlah kos RM1,500 (pada anggaran RM500 seorang) sebulan untuk pengasuh sudah cukup membebankan.

Malah, membayar kos asuhan adalah satu pembayaran jangka panjang kerana ibubapa cenderung menghantar anak-anak mereka ke pusat asuhan dari peringkat bayi sehingga mereka mencecah umur tujuh ke sepuluh tahun.

Ini kos bagi pengasuh yang tidak bertauliah. Bagi pusat asuhan yang berlesen seperti ‘playschool’, ibubapa harus membelanjakan lebih kurang RM1,000 sebulan untuk jagaan seorang anak.

Pengasuh Pekerjaan yang Berat? 

Memilih pekerjaan sebagai pengasuh adalah bukan kerja yang mudah. Mereka perlu menjaga anak-anak kadangkala sehingga 5 orang atau lebih dalam satu masa. Malah umur mereka pula bermula dari 3 bulan hingga 10 tahun.

Selalunya ibubapa akan menghantar anak mereka paling kurang 8 jam sehari tetapi kadang-kala menjangkau sehingga 10 jam sehari. Bukan itu sahaja terdapat juga ibu bapa yang menghantar anak-anak mereka ke rumah pengasuh pada hujung minggu.

Jangan memandang enteng kerja mengasuh bayi (Sumber: H Metro)

Kerja menjaga bayi dan anak-anak kecil yang tengah lasak bukan tugas yang mudah dan boleh dipandang ringan sahaja, tetapi memerlukan kerajinan dan kesabaran yang tinggi.

Di dalam kes Adam Rayqal, polis tidak menolak kemungkinan wujudnya unsur kecuaian oleh pengasuh yang telah ditahan reman

Kes di Bawah Jagaan Pengasuh 

Pusat jagaan tidak berdaftar ni banyak juga yang wujud sebenarnya, iaitu sebanyak 1,685 daripada pusat jagaan kanak-kanak dan taska diseluruh negara sejak tahun 2014

Sebanyak 581 kes penderaan kanak-kanak yang dilakukan pengasuh telah dilaporkan dari tahun 2015 hingga Jun 2017

Peningkatan kematian bayi di taska dipercayai berpunca daripada pusat jagaan atau taska yang beroperasi tanpa lesen serta penggunaan pengasuh yang tidak berkemahiran.

Bekas Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Rohani Abdul Karim pernah menyatakan pada tahun lalu, sebanyak 32 taska dikenakan tindakan arahan bertulis, 14 taska dikenakan tindakan kompaun, empat taska dikenakan tindakan tutup sementara, 52 taska dibatalkan pendaftaran dan dua taska lagi telah didakwa dalam tempoh tersebut.

Kesesuaian pengasuh mestilah dari segi kelayakan, pengalaman dan latihan. Mengikut peraturan Taska (Diinstitusi) 1985 (Pindaan 1993) pengasuh hendaklah berusia sekurang-kurangnya 18 tahun dan telah mengikuti Kursus Asas Asuhan Kanak-Kanak yang diiktiraf.

Undang-undang untuk mengawal selia industri pengasuh akan menyebabkan harga asuhan setiap bayi makin tinggi . Presiden Persatuan Wanita dan Ibu Tunggal Nur Iman Kuala Lumpur dan Selangor (Witus), Sheilla Tukimin memberitahu, tiada penetapan harga siling menyebabkan ramai ibu bapa yang kurang berkemampuan tidak menghantar anak ke pusat asuhan berdaftar.

Cabaran besar bagi masyarakat sekarang adalah bagaimana membina industri pengasuh yang tidak terlalu mahal tetapi bermutu.

Mungkin apa yang boleh dilakukan, kita melatih graduan yang menganggur dan berminat untuk menjadi pengasuh yang terlatih supaya dapat mengendalikan anak-anak ini dengan baik.

Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Hannah Yeoh juga mula menyasarkan semua agensi kerajaan supaya dapat mewujudkan pusat penjagaan kanak-kanak masing-masing menjelang 1 Januari tahun depan. Ketika ini, hanya 30 peratus syarikat di Malaysia yang menawarkan aturan kerja fleksibel kepada wanita yang mempunyai komitmen anak-anak dan keluarga.

KATA ORANG 

KATA ANDA 

Berbaloikah ibubapa menghantar anak ke rumah pengasuh kerana kedua ibubapa bekerja?
0 votes · 0 answers
Vote

MENINGGALKAN SUATU JAWAPAN