11 Oktober lalu, Kementerian Kesihatan memaklumkan larangan merokok di semua restoran dan premis makanan di negara ini akan berkuat kuasa mulai 1 Januari 2019.
Timbalan Menteri Kesihatan, Dr Lee Boon Chye menyatakan, cadangan berkenaan sudah pun diluluskan di peringkat parlimen dan akan mula dikuatkuasakan tahun depan.
Walaubagaimanapun, perkara itu menimbulkan rasa tidak senang hati beberapa pengusaha restoran yang menganggap tindakan tersebut akan menjejejaskan perniagaan mereka.
Betul ke orang awam tidak mahu ke restoran yang tidak membenarkan untuk merokok?
Hak Pengusaha Restoran
Tiga persatuan yang mewakili lebih 20,000 pengusaha restoran di negara ini mengadakan demonstrasi aman di depan bagunan Persatuan Pemilik Kedai Kopi Malaysia-Singapura (MSCSPGA) sebagai membantah larangan merokok di semua restoran dan premis makanan.
Tiga persatuan terbabit ialah MSCSPGA, Persatuan Pengusaha Restoran Muslim Malaysia (Presma) dan Persatuan Pengusaha Restoran India Malaysia (Primas).
Mereka menganggap keputusan yang dibuat kerajaan sebagai melucutkan hak mereka selaku pemilik perniagaan untuk membuat keputusan.
Presiden MSCSPGA, Ho Su Mong, berkata Kementerian Kesihatan sepatutnya mendapatkan pandangan mereka terlebih dulu sebelum membuat keputusan berkenaan.
Ini kerana katanya mereka membina perniagaan dengan penat lelah dan sebab itu pandangan mereka lebih penting daripada pihak-pihak tidak berkenaan.
Jelas Ho, mereka tidak menggalakkan pelanggan merokok, cuma mereka mahu semua pihak mendapat hak masing-masing termasuk hak untuk merokok.
Sementara itu Presiden Primas, T Mutusamy berkata, kerajaan perlu mengambil kira kesan yang akan diterima peniaga sekiranya melaksanakan larangan berkenaan dan berharap agar arahan tersebut dikaji semula.
Tambahnya lagi, di negara-negara luar, kerajaan mereka menyediakan tempat khusus bagi perokok tanpa diskriminasi selain turut membenarkan perokok merokok di kedai-kedai makan terbuka.
Hak Perokok
Isu ini turut mendapat perhatian peguam kanan Mohamed Haniff Khatri Abdulla. Beliau mempersoalkan adakah peraturan berkenaan boleh menjadi undang-undang tidak munasabah yang mencabar Perlembagaan Persekutuan yang menjejaskan kepentingan perokok sebagai satu golongan Rakyat Malaysia yang mempunyai hak asasi.
Beliau tidak menafikan bahawa merokok membahayakan kesihatan namun katanya, setakat ini tiada undang-undang yang digubal untuk mengharamkan aktiviti merokok itu sendiri.
Katanya, tiada undang-undang yang digubal yang mengharamkan terus aktiviti menjual rokok, mahupun aktiviti merokok itu sendiri, di kalangan rakyat Malaysia, mahupun di dalam negara Malaysia.
Jesteru katanya, isu ini wajar dikaji dan diteliti secara objektif dan rasional jika tanpa gubalan undang-undang yang mengharamkan aktiviti jualan mahupun aktiviti merokok itu sendiri , bolehkah pihak berkuasa wujudkan undang-undang yang secara terus-menerus mengekang hak perokok ke tahap ketiadaan peluang praktikal untuk merokok di kawasan awam sama sekali?
Larangan Merokok
Sebelum ini, pada 15 Oktober lalu, Kementerian Kesihatan mengisytiharkan seluruh bangunan parlimen termasuk tempat makan dan sudut merokok sebelum ini sebagai kawasan larangan merokok.
Menteri Kesihatan, Dr Dzulkefly Ahmad berkata, mereka yang ingin merokok boleh berbuat demikian di luar bangunan parlimen.
Tindakan menteri telah mendapat kritikan termasuk daripada anggota parlimen.
Malah sebelum itu, Dr Dzulkefly juga mengumumkan kenaikkan harga rokok yang dikatakan susulan pelaksanaan cukai jualan dan perkhidmatan (SST)
KATA ORANG
Nak larang merokok kawasan terbuka, sediakan la kawasan merokok.
— Khuzrin Kamarudin (@_Khuzrin_) October 12, 2018
Ni rokok jual, cukai sekali ganda, tapi tak bagi hisap. Apasal tak haramkan je terus rokok? Oh lupa, antara sumber besar pendapatan negara jugak khen. https://t.co/Z3pFkFw3u8
Nampak tak semakin lama kehidupan perokok semakin susah? Harga dahlah mahal, sekarang nak merokok sambil lepak di mamak pun dah tak boleh.
— 🗺HELENA (@AnnaSoeraya) October 12, 2018
Just stop smoking jerlah. pic.twitter.com/mCZv0IDRij
ye saya pernah sound satu group lelaki kat restoran..semua merokok pastu asap berkepul2..kami xlarang nak hisap rokok..byk mn pon lantak korang lah..at least hormat lah dgn org meja sebelah..
— akmar (@akma_as) October 13, 2018
Rasanya dulu pn hukum rm10, 000 ada tulis dkt sign kawasan dilarang merokok.. Mamak pn ada sign tu..
— 𝔉𝔞𝔯𝔦𝔡 𝔄𝔪𝔰𝔶𝔞𝔯 (@FaridAmsyar) October 12, 2018