Kemelut Laporan Majlis Penasihat Kerajaan (CEP) terus menjadi persoalan. Perkara ini ditimbulkan semula oleh Datuk Zaid Ibrahim selepas Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Mohamed Hanipa Maidin memaklumkan kepada Dewan Rakyat bahawa laporan itu akan dilindungi di bawah Akta Rahsia Rasmi (OSA) 1972.

Sumber: Malaysiakini

Zaid yang juga bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri bahagian undang-undang membidas tindakan kerajaan dan menganggap tindakan tersebut sebagai gila. Katanya, kerajaan perlu telus dalam membendung rasuah dan penyalahgunaan kuasa.

Selain Zaid, Presiden Gerakan, Dominic Lau turut mengkritik tindakan tersebut memandangkan Tun Daim dan Lim Kit Siang pernah berkata laporan itu perlu diumumkan. Dalam masa yang sama beliau mempersoalkan keperluan meletakkan laporan tersebut di bawah Akta Rahsia Rasmi.

NGO Turut Gesa Dedah Laporan

Di pihak lain, difahamkan sebanyak 50 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) menggesa pihak kerajaan agar mendedahkan laporan CEP kepada umum. Tindakan kerajaan meletakkan laporan tersebut di bawah OSA dilihat mencurigakan seperti sedang menyembunyikan sesuatu.

Sumber: Free Malaysia Today

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail dalam satu kenyataan berkata kerajaan akan mempertimbangkan cadangan mengeluarkan laporan CEP daripada Akta Rahsia Rasmi selepas berbincang dengan kabinet.

Walau bagaimanapun pada Sabtu yang lalu, Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamed berkata kerajaan tidak boleh mendedahkan laporan CEP kepada umum memandangkan ada beberapa perkara di dalamnya masih di peringkat rundingan.  

Sumber: Malaymail

Menyedari kerajaan dituduh tidak telus tentang pendirian itu, Mahathir tetap menjelaskan pihaknya memerlukan sedikit masa sebelum membuat keputusan.

Wajarkah didedah?

Bagi penganalisis politik negara, laporan CEP wajar didedahkan tetapi dengan cara yang cermat. Tindakan kerajaan meletakkan laporan tersebut di bawah Akta OSA dibuat atas pertimbangan tertentu yang melibatkan kepentingan negara.

Berdasarkan laporan Malaysiakini, Prof. Mohd Azizuddin Mohd Sani dari Universiti Utara Malaysia berkata, orang ramai ingin mengetahui apa yang dilakukan oleh CEP. Beliau berpandangan mungkin terdapat isi kandungan yang tidak sesuai untuk didedahkan kepada umum  namun mempersoalkan sampai bila laporan itu perlu diklasifikasikan sebagai sulit?

Bagi Prof Kartini Aboo Talib Khalid dari Universiti Kebangsaan Malaysia, menyifatkan ada perkara sensitif yang terkandung dalam laporan CEP melibatkan isu hubungan antara kaum yang perlu dijaga bagi mengelakkan kontroversi.

Prof Jeniri Amir
Sumber: Berita Harian

Pun begitu, hujah yang lebih jelas disuarakan oleh Prof Jeniri Amir daripada Universiti Malaysia Sarawak. Beliau mempersoalkan kewajaran meletakkan laporan tersebut di bawah OSA selepas mewawancara pakar daripada pelbagai bidang.

Sebaiknya, laporan itu perlu dibawa ke parlimen untuk dibahaskan terutama hal-hal berkaitan kepentingan awam dan ekonomi bagi memperbaiki kehidupan rakyat. Ia memandangkan sudah begitu banyak masa diperuntukkan dengan melibatkan pelbagai pihak untuk mendapatkan input, maka sewajarnya laporan tersebut didedahkan.

Perlu Ada Tempoh Yang Jelas

Sewajarnya kerajaan perlu meletakkan tempoh tertentu bagi memastikan rakyat tidak terus tertanya-tanya. Rakyat perlu tahu isi kandungan laporan CEP kerana melibatkan kepentingan wam dan tertanya-tanya pembaharuan yang ingin dilakukan.

Laporan tersebut tidak harus diketahui hanya oleh Perdana Menteri sahaja dan ‘disembunyikan’ daripada pengetahuan rakyat dalam era Malaysia Baharu memandangkan tempoh CEP telah lama tamat. Malah ia tidak mencerminkan usaha kerajaan dalam mereformasikan institusi.

KATA ORANG

KATA ANDA

Pada pandangan anda, adakah wajar laporan CEP dibentangkan kepada umum?
0 votes · 0 answers
Undi

MENINGGALKAN SUATU JAWAPAN