Sumber: Bernama

Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali pada 19 Mac lalu telah meluluskan projek pembinaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kulim (KXP). Projek yang membabitkan pelaburan pihak luar tersebut berjumlah sebanyak RM1.6 bilion.

Kewujudan KXP dijangka mampu menjadi pemangkin kepada negeri Kedah untuk mencapai kemajuan setanding negeri maju yang lain. Ia memandangkan Kulim merupakan kawasan yang strategik, yang menjadi penghubung ketiga-tiga negeri di utara tanah air iaitu Kedah, Pulau Pinang dan Perak.

Sumber: Berita RTM

Idea Diusulkan Mukhriz 

Cadangan mewujudkan KXP bukan perkara baru. Cadangan ini diusulkan oleh Datuk Seri Mukhriz Mahathir sewaktu menjawat jawatan Menteri Besar Kedah semasa Barisan Nasional sebelum disingkirkan.

Cadangan ini telah diluluskan oleh Tun Dr Mahathir Mohamad ketika mempengerusikan Mesyuarat Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) pada Mac yang lalu.

Sumber: Malaysia Gazette

Walau bagaimanapun, idea ini ditentang hebat oleh kerajaan Pulau Pinang. Ketua Menterinya, Chow Kon Yeow berkata, berdasarkan laporan Bank Dunia, Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (PIA) masih mampu menampung jumlah berat kargo dalam masa yang panjang.

Sekiranya bertujuan melancarkan pergerakan penumpang, adalah lebih praktikal membesarkan PIA dengan membina terminal kedua penumpang berbanding membina KXP. Ini kerana langkah tersebut lebih menjimatkan kos, malah kemudahan infrastruktur PIA yang sedia ada boleh dimanfaatkan sepenuhnya.

Kerajaan Pulau Pinang Terus Menentang

Nada bantahan yang sama sekali lagi dizahirkan pada 6 Mei yang lalu. Timbalan Ketua Menteri II, P. Ramasamy  mendakwa KXP bakal menjejaskan ekonomi negeri tersebut. Beliau berkata tiada alasan yang kukuh untuk mewujudkan KXP memandangkan jarak Taman Perindustrian Kulim dengan PIA hanya kira-kira 50km.

Sumber: The Malaysian Insight

Ini kerana PIA yang terletak di Bayan Lepas merupakan lapangan terbang yang jauh lebih baik jika dibandingkan dengan Perak dan Kedah. Sekiranya projek KXP diteruskan, lapangan terbang tersebut bakal membunuh ekonomi Pulau Pinang. Malah, perkara tersebut turut bersandar kepada kajian.

Ramasamy Salahkan Kerajaan ‘Dominasi Melayu’ Kedah Dahulu

Beliau turut menyalahkan kerajaan Barisan Nasional Kedah yang ‘dominasi Melayu’ ketika itu kerana mengusulkan projek lapangan terbang ekoran cemburu melihat kejayaan ekonomi negeri Pulau Pinang.

Sumber: Bernama

Bagi pakar pengangkutan, Rosli Azad Khan, beliau berpandangan KXP bakal mengambil alih peranan PIA dan Lapangan Terbang Sultan Abdul Halim di Alor Setar. Ini memandangkan kedudukan Kulim yang lebih strategik berbanding PIA di Bayan Lepas yang berada di selatan pulau.   

Mampu Kurangkan Kesesakan Trafik Pulau Pinang

Disebabkan itu, kewujudan KXP bakal memberi kemudahan kepada empat negeri di utara dalam masa yang sama mampu mengurangkan kesesakan trafik di Pulau Pinang. Yang jelas KXP memainkan fungsi sama seperti Sepang untuk mengurangkan kesesakan di Kuala Lumpur.

Sumber: Bernama Radio

Bagi Dewan Perniagaan dan Perindustrian Cina Kedah (KCCCI), pembinaan KXP sudah pasti mengukuhkan ekonomi Kedah melalui produk perkhidmatan menerusi e-dagang. Ia disebabkan Kedah sebelum ini banyak bergantung kepada sektor pertanian seperti getah dan minyak sawit.

Selari Dengan RMK-11

Yang pasti kerajaan pusat mempunyai alasan tersendiri meluluskan projek KXP memandangkan ia merupakan salah satu daripada teras Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK 11).

Antara perkara yang terkandung dalam RMK 11 ialah merapatkan jurang antara wilayah yang meliputi Kelantan, Terengganu, Sabah, Sarawak, Kedah dan Perlis supaya tidak terpisah dari arus pembangunan.

KATA ORANG

KATA ANDA

Adakah anda bersetuju pembinaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kulim
15 votes · 15 answers
Undi

MENINGGALKAN SUATU JAWAPAN