Bermula hari ini, tindakan kapit tayar di sekitar ibu negara tidak lagi dilakukan pihak swasta di seluruh ibu negara. Menteri Wilayah, Khalid Abdul Samad berkata, tindakan menamatkan perkhidmatan syarikat swasta itu dilakukan bagi mengelak rakyat daripada terus terbeban berikutan pihak swasta mempunyai kuota sebanyak 1,000 kapit tayar sebulan.

Hal itu sekaligus menyebabkan mereka mengejar kuota tersebut dengan mengenakan bayaran sebanyak RM100 kepada warga kota.

Walaubagaimanapun, pengumuman yang dibuat Khalid ketika menggulung perbahasan Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-11 (RMKe-11) itu jelas sekali mendapat respon positif dalam kalangan netizen di media sosial dengan ramai yang menyokong tindakan tersebut.

 

Rakyat Terbeban Dengan Tindakan Kapit Tayar

Sumber: Oh! Media

Bagi warga kota, sudah pastinya kita tidak suka sekiranya tayar kereta kita diapit tanpa diberi amaran untuk mengalihkan kenderaan terlebih dahulu.

Sudah lah tayar dikapit, kena pula bayar RM100 untuk membuka alat pengapit tersebut.

Sumber: Harian Metro

Maka tidak hairan banyak kes di mana warga kota dilihat sering bertengkar dengan pegawai penguat kuasa DBKL hingga ada yang mengeluarkan besi pengunci stereng (stereng lock) untuk mengugut mereka.

Khalid Samad juga berpendapat bahawa keputusan yang dibuat itu adalah bagi mengelak konflik di antara penguat kuasa dengan warga kota yang rata-ratanya beranggapan tindakan itu sebagai satu tindakan yang mengautkan keuntungan semata-mata.

Selain itu, isu ini juga kerap kali menimbulkan pelbagai persoalan daripada masyarakat di mana DBKL dilihat hanya lepas tangan dan beri lampu hijau kepada pihak swasta dalam melaksanakan operasi kapit tayar di seluruh kawasan ibu negara.

Ahli Parlimen Kepong sebelum ini pernah menyuarakan kebimbangannya terhadap isu tersebut yang mengatakan kontraktor terlibat dalam operasi kapit tayar seperti perompak yang datang pada waktu siang dengan mengetuk pintu rumah orang lalu pergi begitu sahaja tanpa sebarang amaran.

Beliau berpendapat, pihak terbabit sekurang-kurangnya perlu memberi amaran kepada pemilik kenderaan supaya mereka berpeluang mengalihkan kenderaan mereka atau sekurang-kurangnya mengenakan kompaun terlebih dahulu sebelum mengapit tayar.

Dalam isu ini, DBKL sememangnya mempunyai banyak tenaga kerja untuk menguruskan tempat letak kenderaan di ibu kota tetapi mengapa kontrak kerja tersebut diberi kepada syarikat swasta yang dilihat memperoleh begitu banyak peranan dan kuasa.

Sumber: Berita Harian

Itu belum lagi dengan mengambil kira isu di mana syarikat swasta yang menguruskan kira-kira 40,000 parkir di bawah DBKL yang turut didakwa mencurigakan kerana kontrak tersebut tidak diberi secara tender terbuka.

 

 

Sikap Pengguna Ingkar Arahan Menyebabkan DBKL Ambil Tindakan Kapit Tayar Kereta

Sumber: theSundaily

Dalam hal ini, kedua-dua pihak tidak boleh menuding jari sesama sendiri di mana orang ramai tidak boleh menyalahkan DBKL dalam isu tersebut kerana mereka hanyalah menjalankan tanggungjawab mereka sebagai penguatkuasa.

Sikap pengguna jalan raya yang tidak mengendahkan peraturan yang dikuatkasa oleh DBKL sudah tentunya kenderaan mereka akan dikenakan tindakan penguatkuasaan sama ada tayar kenderaan dikapit atau dikenakan kompaun.

Sumber: Harian Metro

Antara kesalahan yang sering dilakukan pengguna jalan adalah dengan meletakkan kenderaan mereka di siar kaki, persimpangan jalan, garisan kuning, laluan yang dikhaskan untuk motosikal dan sebagainya.

Pengguna jalan raya perlu tahu bahawa apa yang dilakukan DBKL itu adalah untuk mendidik warga kota supaya menjadi lebih berdisiplin.

Pasti ada sebab mengapa DBKL berbuat demikian kerana tindakan segelintir pengguna inilah yang menjadi antara punca utama kepada kesesakan lalu lintas.

Mengikut rekod, sehingga 31 Mei lalu, sebanyak 2.5 juta notis kompaun kesalahan trafik masih belum dijelaskan pengguna jalan raya sehingga DBKL mengeluarkan arahan untuk menyenarai hitamkan nama pesalah kepada Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

Pun begitu, walaupun selepas ini operasi kapit tayar tidak lagi dilaksanakan oleh syarikat swasta, pengguna jalan raya perlu mengikut undang-undang sedia ada terutama sekali di kawasan ibu kota yang sememangnya padat dengan kenderaan setiap hari.

Pengguna jalan raya seharusnya tidak mementingkan diri sendiri di mana jalan raya juga merupakan hak semua orang.

Sudah tiba masanya kita mengubah sikap sebegini dan lebih bertanggungjawab dengan mengikut undang-undang serta peraturan yang telah dikuatkuasakan oleh DBKL.

KATA ORANG

KATA ANDA

Wajarkah DBKL menamatkan operasi kapit tayar yang dilakukan pihak swasta selama ini?
0 votes · 0 answers
Undi

MENINGGALKAN SUATU JAWAPAN