Kalau bercerita tentang kopi apa yang terbayang di fikiran kita? Sudah pastinya kita terbayangkan kafe seperti Starbucks, Coffe Bean, Kopitiam dan sebagainya. Atau mungkin jenama-jenama kopi tempatan yang sering berada di pasaran, termasuklah kopi campuran bagi tujuan kesihatan.

Sumber: Twitter Delivery Store

Boleh dikatakan meminum kopi telah menjadi budaya masyarakat dunia hari ini. Untuk mengetahui kopi yang sewajarnya dihidangkan, orang Inggeris pernah menggambarkan “coffee should be black as hell, strong as death and sweet as love” yang bermaksud kopi harus sehitam neraka, sekuat kematian dan semanis cinta.

Kopi Berasal Dari Arab

Memetik laporan siranindi.com, dokumen bertulis paling tua mengenai kopi pernah dicatatkan oleh Al Razi (850-922), seorang ilmuan Islam yang juga ahli kedoktoran. Beliau menyebut suatu minuman yang ciri-cirinya mirip kopi dengan sebutan bunshum.

Pada tahun 1000 Masihi, Ibnu Sina telah meneliti tanaman mempunyai biji yang mengandungi khasiat yang mampu menyembuhkan salah satu penyakit perut. Tanaman tersebut ialah kopi kerana mempunyai ciri-ciri seperti mana berdasarkan catatan Al Razi.

Difatwakan Haram Di Mekah

Namun bagi peminat kopi, mungkin ramai yang tidak tahu disebalik aroma dan kelazatan kopi, ia pernah difatwakan haram pada suatu ketika dahulu. Dr Jefri Irwan Haris telah mengatakan bahawa pengharaman berlaku pada tahun 1511 di Mekah. Ulama di Mekah telah mengeluarkan fatwa haram meminum kopi kerana ia minuman seperti arak.

Tidak dapat dipastikan apakah yang menyebabkan kopi sehingga disamakan seperti arak, tetapi setakat pengetahuan yang ada, kandungan caffeine yang terlalu tinggi di dalam kopi sebenarnya boleh menyebabkan seseorang itu berhalusinasi. Mungkin disebabkan itu  golongan agama di Mekah mengeluarkan fatwa pengharaman kopi kerana menyamai arak.

Sumber: Kopiroasting

Pengharaman kopi tidak setakat di Mekah, tetapi merebak di kawasan lain. Pada tahun 1517, pemerintah Khalifah Uthmaniah yang pertama iaitu Sultan Salim pernah menjatuhkan hukuman kepada sesiapa yang meminum kopi di Mesir.

Pengharaman Ditarik Balik

Walau bagaimanapun, pengharaman kopi adalah bersifat sementara. Pada tahun 1524, pemerintah berikutnya iaitu Sultan Sulaiman telah mewartakan bahawa kopi telah dihalalkan. Ini kerana berdasarkan kajian yang dilakukan, kopi mampu memberikan kesegaran badan untuk melakukan ibadah pada malam hari.

Sumber: Wikipedia

Hal ini telah merancakkan semula industri berasaskan kopi dalam tamadun Islam sehinggakan kedai kopi (kafe) pertama di dunia diwujudkan di Turki pada tahun 1554 Masihi. Kopi kemudiannya terus dikembangkan secara meluas sehingga tersebar ke dunia eropah pada abad ke-17.

Adakah Pengharaman Kopi Berlaku Di Dunia Islam Sahaja?

Sebenarnya pengharaman kopi juga pernah berlaku dalam dunia Kristian di Eropah. Pada tahun 1600, Paus Klemens VIII di Rom telah mengeluarkan larangan meminum kopi bagi penganut Kristian. Ini kerana kopi merupakan budaya luar yang dapat mengancam tradisi mereka.

Sumber: Wikipedia

Beliau menetapkan bahawa kopi merupakan minuman yang mendatangkan dosa apabila dinikmati.  Walau bagaimanapun pengharaman tersebut bersifat sementara sebelum ditarik balik. Selepas penarikan tersebut, kopi kembali menjadi minuman kegemaran warga Rom.

Tarikan kopi telah mula merebak secara meluas di Eropah. Misalnya kopi Mocha yang berasal dari Yaman, berjaya dibawa masuk ke Belanda. Selepas kemerosotan dunia Islam, orang Eropah berjaya mendominasi tanaman dan pengeluaran kopi di seluruh dunia sehingga ke hari ini.

 

 

KATA ORANG

KATA ANDA

Adakah bermakna, semua kopi yang dihasilkan hari ini boleh diminum?
4 votes · 4 answers
Undi

MENINGGALKAN SUATU JAWAPAN