Kompleks Sukan Negara Bukit Jalil (KSNBJ) sememangnya terkenal dengan penganjuran pelbagai acara sukan baik di peringkat tempatan mahupun antarabangsa.

Malah, kompleks sukan tersebut juga kerap kali menjadi tumpuan ramai apabila ia menjadi lokasi utama penganjuran temasya serantau Sukan SEA 2017 Kuala Lumpur (KL2017) dan Sukan Para Asean 2017.

Sumber: Malay Mail

Bukan itu sahaja, selepas diubah suai untuk menganjurkan acara sukan KL2017, KSNBJ yang kini dikenali sebagai KL Sports City juga turut dicalonkan sebagai Projek Terbaik dalam Anugerah Pembangunan dan Reka Bentuk Perniagaan Stadium 2018.

Namun, disebalik keindahan kompleks sukan tersebut, dikatakan terdapat beberapa isu keselamatan yang perlu diteliti pihak Kementerian Belia dan Sukan (KBS) sebelum membuat keputusan untuk menutup sementara stadium berkenaan.

 

Mengapa Kompleks Sukan Negara Mahu Ditutup?

Sumber: Utusan

Pasti ramai di antara kita tertanya-tanya mengapa kompleks sukan tersebut dikatakan mahu ditutup sementara berikutan ada isu terhadap keselamatannya.

Pengesyoran untuk menutup sementara kompleks sukan tersebut adalah berikutan Laporan Ketua Audit Negara 2017 Siri 2 baru-baru yang mendedahkan sebanyak 2,365 kecacatan kerja dilaporkan pada KSNBJ bermula Nov 2017 sehingga Mac tahun ini sejak kompleks itu dinaiktaraf bagi penganjuran Sukan Sea dan Para Asean 2017 lalu.

Sumber: Astro Gempak

Dalam masa yang sama, Pusat Akuatik Nasional turut menunjukan kecacatan paling tinggi sebanyak 804, diikuti Stadium Putra yang kini dikenali sebagai Axiata Arena (751) di mana komponen elektrikal menunjukkan kecacatan tertinggi dengan 45.4 peratus (1,073) kecacatan daripada jumlah keseluruhan.

Walaupun telah melebihi 90 hari selepas projek itu dilaksana di bawah kaedah Perkongsian Awam-Swasta (PPP) secara pertukaran tanah, laporan tersebut turut menyatakan sebanyak 98.4 peratus (2,328) daripada kecacatan itu belum diambil tindakan.

Banyak persoalan mungkin akan timbul sekiranya kompleks sukan tersebut ditutup sementara yang mana ianya akan mengambil tempoh lama untuk dibaiki dan mana-mana acara sukan yang bakal diadakan di situ juga akan dipindah ke lokasi lain untuk memberi laluan terhadap kerja-kerja pembaikian.

 

Kompleks Sukan Perlu Jamin Keselamatan Atlet Serta Orang Awam

Sejak pembukaan kompleks sukan ini pada tahun 1998, sebarang insiden buruk belum pernah lagi dilaporkan malah jika ada pun ia hanyalah kecacatan kecil sahaja.

Malah, kompleks sukan ini juga merupakan antara stadium sukan yang terbesar di dunia dan menyediakan tempat duduk berbumbung untuk memberi keselesaan dan perlindungan kepada lebih 100,200 penonton daripada cuaca buruk.

Dalam hal ini, apa sahaja isu yang melibatkan SOP keselamatan melibatkan pengurusan kompleks sukan perlu diberi perhatian oleh pihak berwajib kerana umum kita tahu kompleks sukan adalah tempat di mana atlet akan berlatih bersukan serta tempat berkumpulnya orang awam bagi satu acara sukan.

Jadi, sekiranya terdapat kerosakan walaupun kecil, pihak berwajib tidak boleh membiarkan perkara tersebut menjadi lebih melarat hingga boleh memberi impak buruk terhadap imej kompleks sukan ini.

Asal menonton acara sukan, kawasan di sekitar kompleks sukan pasti akan dipenuhi dengan sampah sarap mahupun puntung rokok yang dibuang di merata tempat biarpun kawasan stadium kini telah diwartakan sebagai kawasan larangan merokok.

Sumber: Lobak Merah

Seperti yang berlaku baru-baru ini, masih ada lagi penonton dilihat selamba melanggar peraturan itu ketika menyaksikan perlawanan separuh akhir pertama Piala AFF Suzuki 2018 di KSNBJ.

Akibat dari itu, ramai netizen di media sosial mengusulkan cadangan kepada Syed Saddiq agar mengenakan tindakan yang sewajarnya terhadap perokok yang ingkar dengan larangan merokok terbabit.

Malah, ada yang mengesyorkan supaya mana-mana individu yang merokok, wajah mereka akan dipaparkan di skrin besar bagi mengelakkan orang ramai mengulangi kesalahan yang sama.

Jadi, sekiranya pihak KBS mengambil inisiatif untuk membaik pulih semula mana-mana kerosakan yang terdapat di sekitar kompleks sukan ini, masyarakat dinasihat untuk sama-sama menjaga dan menggunakan fasiliti yang disediakan dengan baik tanpa merosakkannya kerana setiap pembaikian yang dijalankan itu sememangnya memerlukan kos yang tinggi dari kerajaan.

 

Syed Saddiq Jamin Kompleks Sukan Masih Dalam Keadaan Baik

Sumber: The Star

Berdasarkan Laporan Ketua Audit Negara 2017 Siri 2, Syed Saddiq hari ini berkata, KBS telah memutuskan bahawa KSNBJ tidak perlu ditutup sementara kerana ia masih dalam keadaan baik dan selamat digunakan untuk menganjurkan sebarang acara dan aktiviti

Beliau juga memberi jaminan bahawa keselamatan awam akan menjadi keutamaan di mana pihaknya tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang gagal mematuhi prosedur keselamatan.

Orang awam juga tidak perlu risau akan kawasan persekitaran KSNBJ kerana ia adalah selamat.

Malah, kementerian itu juga akan bekerjasama rapat dengan Jabatan Audit Negara untuk mengambil langkah-langkah pembetulan yang telah dicadangkan ke atas KSNBJ.

KATA ORANG

KATA ANDA

Berdasarkan laporan yang dikeluarkan Ketua Audit Negara 2017 Siri 2, adakah wajar sekiranya Kompleks Sukan Negara Ditutup Sementara bagi kerja baik pulih?
1 vote · 1 answer
Undi

MENINGGALKAN SUATU JAWAPAN