Syarikat pengendali KL Monorail, Prasarana Malaysia Bhd (Prasarana) telah menaiktaraf perkhidmatan mereka dengan memulakan operasi tiga daripada lima set tren empat gerabak setelah selesai menjalani penyelenggaraan dan tukar ganti komponen baru-baru ini.

sumber: backpacking malaysia

Penggunaan tren KL Monorail dengan enam set tren dua gerabak yang hanya mampu menampung 31,000 penumpang sehari sebelum ini begitu sinonim dengan gelaran ‘tin sardin’ bergerak dan sentiasa mengalami masalah.

 

Berakhirnya Satu Penantian

Perkhidmatan KL Monorail yang teruk, pendingin hawa yang bermasalah, padat pada waktu puncak dan lain-lain lagi masalah dihadapi oleh pengguna sehingga mereka merasakan tren KL Monorail seperti keadaan KTM yang lama.

Namun, penantian pengguna yang mengharapkan penambahbaikan sistem tren KL Monorail ini berakhir apabila tiga tren empat gerabak telah memulakan operasinya pada 16 Ogos yang lalu.

sumber: AskRapidKL

 

Selama tiga bulan, pengguna terpaksa menghadapi masalah seperti kepadatan dan terpaksa menunggu kerja-kerja penyelenggaraan dan penggantian komponen yang rosak untuk set tren empat gerabak sejak bulan Mei yang lalu selesai.

Manakala untuk dua lagi set tren empat gerabak akan mula beroperasi sepenuhnya selepas selesai proses penggantian komponen yang rosak dan dijangka akan beroperasi pada November ini.

 

Tambah Gerabak Pun Tak Guna Juga

Penggunaan tiga set tren empat gerabak ini dilihat masih tidak memberikan kesan kepada sesetengah pengguna. Masalah utama yang sering kali dirunguti oleh pengguna ialah masalah kepadatan.

Bagi mereka, jika menambah gerabak dari dua kepada empat tetapi pengguna masih perlu menunggu hampir 20 minit juga tidak ada gunanya.

Penggunaan tren dua gerabak masih lagi relevan seperti biasa dengan meningkatkan kekerapan sahaja sudah mampu menyelesaikan masalah kepadatan pengguna dalam satu-satu masa.

sumber: the sun daily

Hal ini juga perlu diambil kira dengan peningkatan jumlah pengguna tiket transit My 100 yang mencecah 110,000. Secara tidak langsung ia akan menyumbang kepada masalah kepadatan yang tidak berkesudahan walaupun sudah membuat penambahbaikan.

 

Sebenarnya Kekerapan Sudah Ditingkatkan

Walaupun begitu, pihak Prasarana juga akan menambah lagi tujuh tren empat gerabak untuk meningkatkan kelancaran sistem tren selepas selesai tempoh penilaian prestasi operasi semua tren empat gerabak yang sedia ada ini selama enam bulan.

 

Sungguhpun ada yang mempertikaikan tentang kekerapan tren ini untuk mengambil penumpang, admin bagi akaun Twitter AskRapidKL telah menjawab persoalan ini.

Jelasnya, kekerapan tren akan berada pada 6.5 minit hingga 8.5 minit bagi setiap tren dan bergantung kepada situasi.

Dengan meningkatkan kekerapan ini juga pihak KL Monorail dapat mengurangkan pemulangan wang kepada pengguna disebabkan kelewatan tren yang melebihi 15 minit.

 

Bimbang Dengan Keselamatan

Sebelum ini, Ketua Pegawai Eksekutif Rapid Rail, Datuk Zohari Sulaiman sendiri menyatakan bahawa perkhidmatan tren empat gerabak berisiko untuk digunakan dan boleh mengancam keselamatan pengguna.

 

Perkara ini turut menarik perhatian pengguna yang tertanya-tanya dan gusar dengan keselamatan tren empat gerabak yang sebelum ini ditangguhkan penggunaanya.

Walau apa pun, tren empat gerabak ini akan mengalami proses penilaian setelah menjalani proses baik pulih dan pengguna mengharapkan tren yang dibaik pulih ini selamat digunakan dan mampu mengurangkan kesesakan pada waktu puncak.

 

 

 

KATA ORANG

KATA ANDA

Pada pandangan anda, adakah masalah kesesakan dan kepadatan di dalam tren akan berkurangan dengan menggunakan semula tren empat gerabak ini?
3 votes · 3 answers
Undi

MENINGGALKAN SUATU JAWAPAN