Mungkin ramai dalam kalangan kita tidak mengetahui kisah-kisah hidup rakyat Malaysia yang hilang hak sebagai warganegara. Ada yang beranggapan mereka hidup dalam keadaan mewah dalam sebuah negara yang maju.

Ada yang beranggapan mereka sudah menjadi orang berjaya, dan ada juga yang beranggapan mereka sudah menjadi orang yang hebat di luar sana. Tetapi benarkah dakwaan itu?

Sumber: CNA

Kewarganegaraan individu boleh hilang sama ada secara automatik, permohonan, perundangan atau pun perlucutan.

Pun begitu, kes-kes kehilangan hak warganegara kebanyakannya berlaku disebabkan individu itu tidak lagi berminat untuk menjadi rakyat Malaysia dengan memilih negara-negara lain sebagai alternatif kehidupan yang baharu.

 

Negara-Negara Maju Menjadi Pilihan

Kebiasaannya mereka akan memilih negara-negara yang mempunyai taraf hidup yang lebih tinggi dari Malaysia seperti United Kingdom (UK), Amerika Syarikat (AS), Australia, negara-negara Eropah dan sebagainya.

Jaminan hidup yang lebih baik dan prospek kerjaya yang lebih hebat menyebabkan ramai yang sanggup menggadaikan kesetiaan mereka terhadap tanah air.

Malangnya, tindakan mereka tidak semuanya bernasib baik. Sekiranya negara tersebut tidak menerima kerakyatan mereka, apa lagi yang boleh dilakukan.

Terpaksa menjadi penduduk tanpa warganegara yang sah sehingga ke akhir hayat! Begitulah nasib yang dilalui oleh ‘bekas’ rakyat Malaysia yang gagal mendapatkan kerakyatan UK.

 

Gugur Kerakyatan Mohon Pasport BOC

Menerusi artikel independent.co.uk, seorang bekas rakyat Malaysia bernama Adam Kee (nama lain) telah ‘tersadai’ di UK sejak beberapa tahun yang lalu. Ini kerana beliau telah mengambil keputusan untuk melepaskan kewarganegaraan di Pejabat Pesuruhjaya Tinggi Malaysia sejak tahun 2005.

Sumber: Berita Harian

Adam bersama ratusan lagi bekas rakyat Malaysia lain mengguna pakai pasport BOC (seorang warganegara Inggeris yang tidak bertaraf Inggeris di Britain). BOC merupakan pasport peninggalan dari zaman penjajahan British yang akan menjadikan seseorang individu menjadi warganegara British.

Malangnya, kes mereka tidak dapat diselesaikan oleh pihak berkuasa di UK. Mungkin disebabkan faktor penggubalan dasar telah menyebabkan pasport BOC yang mereka miliki tidak lagi disahkan. Hal ini menyebabkan Adam dan ramai lagi mangsa menjadi penduduk UK tanpa warganegara sehingga ke hari ini.

 

Apabila BOC Tidak Lagi Sah

Kesannya, cubaan Adam untuk kembali ke Malaysia telah dihalang oleh pihak berkuasa ekoran dia bukan lagi warganegara Malaysia sejak tahun 2005. Kegagalan dia mendaftarkan diri di imigresen Malaysia menyebabkan dia diarahkan untuk mengambil penerbangan semula ke UK, dan kos ini telah menelan belanja yang begitu banyak.

Setibanya di UK dia ditahan pula oleh pihak berkuasa UK, seterusnya diletakkan di pusat tahanan sebelum mengikuti beberapa prosedur lain. Malangnya kerajaan UK tetap enggan memberikan apa-apa bentuk status penduduk menyebabkan dia tidak dapat bekerja dan memandu secara sah. Kesannya, dia terpaksa melakukan apa-apa kerja sekadar untuk meneruskan kelangsungan hidup.

Begitu juga dengan nasib bekas rakyat Malaysia, Yan Kit, 42 dan Telford, 38 yang hilang status kewarganegaraan. Bukan sahaja hilang pekerjaan, bahkan terpaksa melapor diri setiap bulan kepada pihak berkuasa UK. Untuk meneruskan hidup, mereka terpaksa melakukan apa sahaja kerja sekadar cukup makan.

 

Mimpi Ngeri Yang Perlu Dijadikan Iktibar

Maka tujuan asal untuk mendapatkan taraf hidup yang lebih baik telah bertukar menjadi kehidupan yang lebih melarat. Sudah pasti keputusan yang mereka lakukan dengan menggugurkan kewarganegaraan Malaysia sebagai satu langkah yang sangat menyesal, sehinggakan ada yang mahu kembali semula ke tanah air. Tetapi apakan daya, segalanya telah terlambat.

Sumber: Channel 4

Untuk memohon kewarganegaraan negara asing bukanlah suatu tugas yang mudah dan ia merupakan langkah yang berisiko sekiranya tidak berjaya. Menurut expatica.com, proses permohonan warganegara UK bagi mereka yang bukan daripada negara kesatuan Eropah akan menjadi lebih sukar.

Maka, sehebat mana pun kita, kesetiaan kepada negara perlu terus dikekalkan. Justeru kisah-kisah kehilangan hak warganegara perlu diambil iktibar oleh semua pihak. Seharusnya kejayaan yang berjaya dicipta perlu digunakan untuk berbakti kepada tanah air.

 

KATA ORANG

KATA ANDA

Kenapa mereka begitu mudah mahu lepaskan warganegara?
7 votes · 7 answers
Undi

MENINGGALKAN SUATU JAWAPAN