Seksyen 2 Akta Kanak-kanak 2001 mentakrifkan kanak-kanak sebagai seseorang yang berumur bawah 18 tahun. Kebelakangan ini terlalu banyak isu melibatkan keselamatan dan perlindungan terhadap kanak-kanak disiarkan didada akhbar seperti kes kanak-kanak diculik, dirogol, dibunuh, didera dan sebagainya.

Jenayah rogol ataupun penderaan seksual terhadap kanak-kanak merupakan satu bentuk keganasan yang boleh beri ancaman kepada keselamatan dan hak asasi kanak-kanak.

Statistik yang dikeluarkan oleh Polis DiRaja Malaysia (PDRM) menunjukkan sebanyak 22,234 kes penderaan seksual kanak-kanak telah direkodkan dari tahun 2010 hingga tahun 2017 iaitu dengan purata kes sebanyak 3,176 kes setahun.

Jumlah  tersebut  mewakili empat  kategori  penderaan  seksual  iaitu  rogol  sebanyak  13,272  kes  diikuti cabul  sebanyak  6,014  kes,  sumbang  mahram  sebanyak  1,796  kes  dan perbuatan  luar  tabii  sebanyak  1,152  kes.

Angka-angka ini merupakan kes yang dilaporkan dan bagaimana pula dengan kes-kes penderaan seksual kanak-kanak yang tidak dilaporkan? Sudah pasti jumlahnya melebihi dari apa yang dijangka

sumber: HuffPost

Kes-Kes Penderaan Seksual Kanak-Kanak

Pada 23 Januari yang lalu, seorang koperal tentera dihadapkan ke mahkamah atas pertuduhan mencabul anak kandungnya sendiri yang baru sahaja berusia 4 tahun pada Disember lalu.

Mengikut pertuduhan, tertuduh dikatakan telah memasukkan jari ke dalam kemaluan anak kandungnya yang baru berusia empat tahun lima bulan di sebuah rumah di Bandar Baru Putra, Ipoh.

Selain itu, kes datuk yang berusia 71 tahun didakwa atas pertuduhan merogol dan mencabul dua orang cucunya sendiri pada 12 Julai 2018. Pada pertuduhan pertama, dia di dakwa melakukan persetubuhan dengan cucunya berusia enam tahun di rumahnya di Desa Chemor Permai di antara jam 7 malam hingga 7 pagi pada 3 hingga 6 jun lalu.

Manakala pertuduhan kedua pula, si datuk didakwa melalukan amang seksual fizikal ke atas seorang lagi cucu perempuannya yang berusia lima tahu dengan memasukkan jari ke dalam lubang dubur di lokasi yang sama.

Kalau dilihat, kebanyakkan kes-kes yang dilaporkan berkenaan penderaan seksual kanak-kanak iaitu rogol kebanyakkannya berlaku dalam rumah dan pelakunya sangat dekat dan dikenali oleh mangsa sendiri.

 

Mengapa Tiada Kesudahan?

Sesetengah kes yang berlaku tidak dilaporkan atau diadukan kepada pihak PDRM adalah kerana ibu mangsa berasa takut hilang punca pendapatan. Pelaku menggunakan kuasa utama sebagai ketua keluarga dan menggunakan ugutan dan bertindak dengan lebih jauh jika kes diadukan kepada pihak berkuasa.

Hal ini kerana ibu atau isteri yang tidak bekerja selalu akan berasa bersalah untuk mengadukan kes tersebut kepada pihak berkuasa kerana mereka tiada sumber pendapatan. Mereka lebih memilih langkah untuk mendiamkan diri dari memberitahu pihak berkuasa serta ahli keluarga terdekat.

Selain itu, kes tidak dilaporkan kerana mangsa tiada tempat bergantung selain daripada ayahnya sendiri. Kebanyakkan kes yang berlaku rentetan daripada kes perceraian dan si ayah telah mendapat hak penjagaan terhadap anaknya. Mangsa terus tersepit dalam dilema sehinggalah mereka mampu untuk keluar atau lari dari kerakusan nafsu si pelaku.

sumber: pemed.org

Penderaan seksual terhadap kanak-kanak turut meninggalkan kesan yang sangat mendalam kepada mangsa di mana kanak-kanak ini akan mengalami kecederaan fizikal seperti sakit atau luka pada bahagian sulit atau dubur mereka selain mengalami trauma emosi dan seksual seperti kemurungan, ketakutan dan juga kekeliruan. Punca bunuh diri juga boleh dikaitkan dengan masalah-masalah yang dihadapi oleh mangsa seperti yang dinyatakan.

 

Pendekatan Yang Perlu Diambil

Undang-undang yang sedia ada perlu diperketat dan perlu dikaji semula supaya mangsa mendapat pembelaan yang setimpal. Pihak Kerajaan Malaysia juga telah mewujudkan Akta  Kesalahan-Kesalahan Seksual terhadap Kanak-Kanak 2017 (Akta 792) serta Mahkamah Jenayah Seksual Terhadap Kanak-Kanak untuk melindungi keselamatan kanak-kanak dan membela hak kanak-kanak yang menjadi mangsa.

Akta 792 mengandungi 28 seksyen dan satu Jadual dimuatkan dalam 7 Bahagian iaitu permulaan (Bahagian I), kesalahan-kesalahan yang berhubungan dengan pornografi kanak-kanak (Bahagian II), kesalahan-keslahan yang berhubungan dengan pengantunan kanak-kanak (child grooming) (Bahagian III), kesalahan-kesalahan yang berhubungan dengan amang seksual (Bahagian IV), orang yang mempunyai hubungan amanah (Bahagian V), keupayaan dan keterangan saksi kanak-kanak (Bahagian VI) dan pelbagai (Bahagian VII).

Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM), Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan pihak berkuasa perlu memainkan peranan yang lebih agresif dalam menangani kes-kes penderaan seksual daripada terus meningkat tahun demi tahun.

Manakala tanggungjawab sosial kita sebagai masyarakat perlu ialah melaporkan kepada pihak berkuasa dengan segera dan serah sepenuhnya kepada mereka untuk menjalankan siasatan. Hal ini berikutan dengan dunia tular sekarang, di mana masing-masing hendak menjadi yang pertama menyebarkan apa yang berlaku di sekeliling mereka.

KATA ORANG

KATA ANDA

Pada pendapat anda, adakah wajar mereka yang bersalah melakukan perbuatan terkutuk ini dikenakan hukuman yang lebih berat?
1 vote · 1 answer
Undi

MENINGGALKAN SUATU JAWAPAN