Baru-baru ini, satu lagi kejadian tragis dilaporkan menimpa seorang bayi perempuan berusia 11 bulan dipercayai akibat didera oleh suami kepada si pengasuh sehingga bayi berkenaan mati.

Bayi malang, Nur Muazara Ulfa Mohammad Zainal yang meninggal dunia pada Jumaat lalu dilaporkan tenat akibat didera secara fizikal dan seksual sebelum dihantar ke hospital oleh kedua ibu bapanya.

Akibat kesan lebam dan tenat yang dialami bayi tersebut, pemeriksaan pihak hospital mendapati bayi itu diseksa secara fizikal berdasarkan terdapat kesan objek tumpul di bahagian kepala dengan tempurung kepala bayi itu pecah selain kesan lebam pada bahagian atas kepala.

Selain itu, bayi tersebut turut sama diseksa secara seksual selepas terdapat kesan koyakan pada hymen dan dubur bayi itu.

Walau bagaimanapun, hingga ke hari ini, kejadian yang menimpa keluarga bayi tersebut terus menjadi perbualan hangat netizen di media sosial sekaligus mengundang rasa simpati di mana rata-rata di antara mereka menuntut supaya si pelaku dikenakan hukuman setimpal malah tidak kurang juga yang menuntut supaya kerajaan tidak memansuhkan hukuman mati mandatori seperti cadangan yang mahu dilaksanakan sebelum ini.

 

Netizen Desak Pesalah Dikenakan Hukuman Mati

Sumber: Berita Harian

Melihat kepada kejadian tragis yang menimpa bayi malang ini, rata-rata netizen di media sosial melihat pelaksanaan hukuman mati mandatori bagi kesemua kesalahan untuk dimansuhkan di Malaysia sebagai tidak wajar.

Ada diantara mereka berpendapat, setiap perbuatan tidak berperikemanusiaan yang menimpa seseorang individu sehingga mengakibatkan individu tersebut mati, wajar dikenakan hukuman setimpal seperti hukuman mati agar ia memberi pengajaran kepada kepada semua pihak.

Selain itu, ada juga di antara mereka menuntut kerajaan supaya mempertimbangkan semula hasrat memansuhkan hukuman mati bagi menangani kes-kes seumpamanya daripada berulang.

Sehingga kini, walaupun pelaksanaan memansuhkan hukuman mati belum lagi diputuskan kerajaan namun netizen mendesak supaya kerajaan mempertimbangkan semula hasrat tersebut memandangkan ramai penjenayah masa kini dilihat sanggup melakukan tindakan kejam yang tidak berperikemanusiaan walaupun pelaksanaan itu belum lagi dilaksanakan lagi.

 

Tidak Adil Jika Hapuskan Hukuman Mati

Sumber: Berita Harian

Dalam kes sebegini, bukan ibu kepada si mangsa juga sahaja yang menuntut agar hukuman berat dijatuhkan kepada si pelaku malah keluarga Allahyarham Datuk Sosilawati Lawiya, Datuk Anthony Kevin Morais dan Wong Jing Kui turut membantah sekeras-kerasnya cadangan memansuhkan hukuman mati ke atas si pelaku.

Ramai yang mengatakan tindakan memansuhkan hukuman mati sebagai tidak adil malah si pelaku wajar dikenakan hukuman mati atas kesalahan sama yang dilakukan mereka.

Walaupun sebelum ini kerajaan menyatakan bahawa pelaksanaan hukuman mati yang diguna pakai sehingga kini dilihat tidak memberi kesan terhadap pengurangan kadar jenayah namun netizen khuatir ianya akan memberi kesan buruk pada masa akan datang apabila masyarakat tidak akan takut kepada undang-undang.

Malah, sekiranya kerajaan tetap komited mahu memansuhkan hukuman mati, selepas ini pasti ramai yang tidak takut untuk melakukan jenayah kerana mereka tahu hukuman mati tidak akan dijatuhkan ke atas mereka di mana mereka hanya akan dikenakan hukuman penjara minimum 30 tahun sahaja untuk diganti dengan hukuman mati.

Dalam perkara ini, walaupun tindakan kerajaan itu dilihat menjadi hak asasi manusia dan lebih ke arah kemanusiaan, namun pelaksanaan itu wajar dipertimbangkan semula bagi menegakkan keadilan terhadap keluarga mangsa dan seluruh masyarakat.

 

Apa Langkah Malaysia Setakat Ini?

Sumber: Kosmo

Pemansuhan hukuman mati di Malaysia bukan satu idea baru malah sebelum ini isu tersebut sebenarnya sudah lama disuarakan oleh beberapa badan bukan kerajaan (NGO), badan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam), Persatuan Kebangsaan Hak Asasi Manusia (Hakam), Majlis Peguam, Lawyers for Liberty dan Amnesty International.

Malah, pelaksanaan untuk memansuhkan hukuman mati seperti yang mahu dilaksana oleh Kerajaan Pakatan Harapan (PH) juga merupakan antara salah satu janji yang terdapat di dalam manifesto mereka pada Pilihanraya Umum ke-14 (PRU-14) yang lalu.

Pada mulanya, PH merancang untuk memansuhkan semua yang berkaitan hukuman itu tetapi kemudian mengumumkan ia akan digantikan dengan hukuman penjara selama 30 tahun.

Sebelum ini, pada 2011, Nazri Abdul Aziz yang merupakan menteri undang-undang ketika itu pernah meluluskan beberapa resolusi yang memperuntukkan kerajaan untuk memansuhkan hukuman mati mandatori, terutama bagi Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952, serta mengisytiharkan moratorium untuk menggantung hukuman gantung terhadap banduan sementara undang-undang itu disemak.

Setelah itu, tahun lalu, kerajaan Barisan Nasional (BN) membentangkan pindaan bagi membuang hukuman mati bawah seksyen itu yang memberikan mahkamah kuasa penuh untuk menjatuhkannya hukuman mati atau tidak kepada pesalah yang mana pindaan tersebut juga telahpun diluluskan Dewan Rakyat pada 30 November 2017.

 

Bolehkah Hukuman Mati Mengurangkan Jenayah?

Ada beberapa pihak menyuarakan pandangan mereka dengan mengatakan hukuman mati yang dikekalkan dilihat mampu mengurangkan kadar jenayah namun sejauh mana keberkesanannya itu?

Memetik daripada statistik yang dikeluarkan dari Pejabat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengenai Dadah dan Jenayah, kes bunuh di Filipina menunjukkan sedikit penurunan selepas pemansuhan hukuman mati di negara itu dilaksana pada tahun 2006.

Bagaimanapun, bagi tempoh dua tahun sehingga 2011, kes bunuh di negara itu didapati telah meningkat.

Malah, di Kemboja, situasi sama berlaku di mana mereka berjaya menurunkan kes bunuh setelah memansuhkan hukuman mati pada 1989 malah dilihat kes bunuh juga telah menurun secara progresif antara 2003 hingga 2011.

Lain pula di Thailand, tindakan negara itu yang mengekalkan pelaksanaan hukuman mati dilihat berjaya menurunkan kes bunuh antara 2003 hingga 2015 tanpa perlu memansuhkannya

Pun begitu, sehingga kini, tidak ada bukti yang jelas menunjukkan sama ada kadar jenayah yang berkait dengan hukuman mati akan berjaya diturunkan setelah kerajaan mengambil keputusan untuk memansuhkannya.

 

Berapa Jumlah Hukuman Mati di Malaysia?

Sumber: CARI Infonet

Menurut Jabatan Penjara Malaysia, terdapat 1,279 banduan sedang menunggu hukuman mati setakat 11 Oktober 2018 yang mana ia merangkumi 710 warga Malaysia, 569 warga asing, dan 1,136 lelaki dan 143 perempuan.

Daripada jumlah itu, 932 daripada mereka telah dijatuhkan hukuman mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952, manakala 317 lagi dijatuhkan atas kesalahan membunuh.

Selain itu, seramai 366 banduan juga dikatakan sedang membuat rayuan di mana 355 daripada mereka sedang menunggu pengampunan yang mungkin diberikan oleh Yang di-Pertuan Agong.

Berdasarkan jawapan parlimen, dalam tempoh 1960 hingga 2011, sejumlah 51.7 peratus yang dijatuhkan hukuman itu atas kesalahan penyeludupan dadah dan 17.7 peratus atas kesalahan bunuh.

Manakala, bagi hukuman gantung, sejumlah 33 banduan telah digantung sejak 2010 hingga 2018.

 

Berapa Negara Yang Telah Memansuhkan Hukuman Mati?

Berdasarkan sumber dari Amnesty International, sejumlah 142 negara dikatakan telah memansuhkan hukuman mati atau mengumumkan moratorium terhadap hukuman itu manakala 56 negara lain masih mengekalkannya.

Dalam 142 negara itu, sejumlah 106 telah memansuhkan hukuman tersebut secara keseluruhannya, tujuh negara lagi hanya memansuhkan sebahagian manakala 29 lagi telah menangguhkan hukuman.

Melihat kepada jumlah itu, Malaysia juga antara 56 negara yang masih belum memansuhkan hukuman mati sama seperti negara China, Jordan, Singapura, Mesir, Indonesia, Vietnam dan Thailand.

KATA ORANG

KATA ANDA

Wajarkah kerajaan menimbang semula pelaksanaan hukuman mati ke atas pembunuh?
0 votes · 0 answers
Undi

MENINGGALKAN SUATU JAWAPAN