Semalam, negara kita digemparkan lagi dengan insiden yang membabitkan sebuah ambulans terbalik dalam nahas dengan sebuah kenderaan pacuan empat roda (SUV) di persimpangan lampu isyarat Jalan Green,  Kuching.

Apa yang lebih menyayat hati, ambulans tersebut sedang membawa seorang wanita yang sarat mengandung sembilan bulan ke Hospital Umum Sarawak (HUS) selepas mengadu sakit mahu melahirkan anak selain mengalami tekanan darah tinggi.

Insiden tersebut bagaimanapun telah mengakibatkan wanita terbabit berada dalam keadaan kritikal akibat perlanggaran manakala pemandu ambulans turut cedera di tangan kanan akibat terkena serpihan kaca.

Sejak semalam, netizen di media sosial dilihat tidak putus-putus mendoakan kesejahteraan wanita serta pemandu ambulans agar berada dalam keadaan selamat.

Tidak kurang juga, ada yang menuntut supaya pihak berkuasa mengenakan tindakan undang-undang terhadap kenderaan pacuan empat roda tersebut kerana merempuh ambulans berkenaan walaupun siren kecemasan sudah dipasang.

 

Di Mana Silapnya?

Berdasarkan rakaman kamera litar tertutup di lokasi kejadian, kenderaan SUV yang dipandu warga emas itu enggan memberi laluan kepada ambulans.

Malah, memandu laju tanpa mempedulikan siren kecemasan yang dibunyikan sebelum melanggar bahagian belakang ambulans yang dilihat cuba untuk mengelak.

Sumber: Utusan Online

Difahamkan, pemandu warga emas itu juga dikatakan cuba mengejar lampu isyarat hijau dengan kelajuan kira-kira 50 hingga 60 kilometer sejam namun gagal melepasi ambulans terbabit walaupun sedar bunyi siren kecemasan itu semakin dekat.

Dalam hal ini, jelas sekali menunjukkan bahawa insiden tersebut berlaku di atas kecuaian pemandu warga emas terbabit yang gagal mematuhi peraturan jalan raya serta tidak memberi laluan kepada ambulans tersebut.  

 

Orang Ramai Perlu Peka Keadaan Sekeliling

Setiap orang dari kita pasti pernah berhadapan dengan situasi yang mana terserempak dengan kenderaan ambulans sama ada dalam perjalanan ke tempat kerja, atau sebaliknya.

Mungkin ketika sedang asyik mendengar radio, kita mungkin akan leka dengan keadaan sekeliling sehingga tidak sedar akan kehadiran ambulans.

Sumber: Info Sebenar

Sebagai pemandu berhemah, kita seharusnya ‘alert’ dengan keadaan sekeliling dengan melihat kepada cermin di bahagian depan , kiri dan kanan bagi mengelak sebarang kejadian seperti ini daripada berlaku.

Bukan itu sahaja, sekiranya kita lihat kenderaan ambulans lalu berdekatan, kita terlebih dahulu perlu memberi laluan kepada mereka supaya boleh bergerak dengan lancar dan membawa pesakit ke pusat rawatan dalam kadar yang segera.

Dengan memberi laluan kepada ambulans, anda mampu menyelamatkan nyawa pesakit di dalamnya yang mungkin sedang berada dalam keadaan kritikal.

Sumber: blogku pendapatku

Dalam hal ini, adalah menjadi satu kesalahan bagi seseorang itu yang melanggar lampu isyarat dalam (Peraturan 17 Tanda Lalulintas (saiz, warna and jenis) Peraturan 1959) yang mana individu tersebut boleh dilkenakan kompaun sebanyak RM 300.

Bukan itu sahaja, orang ramai yang tidak memberi laluan kepada kenderaan ambulans, polis, kastam, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) juga dikenakan kadar kompaun sebanyak RM300.

Jadi, walau di mana jua anda berada, anda dinasihat untuk sentiasa peka dengan keadaan sekeliling serta mengikut peraturan jalan raya yang telah ditetapkan oleh pihak berkuasa.

Disebabkan tindakan anda yang terburu-buru di atas jalan raya itulah yang menyebabkan nyawa mereka yang tidak bersalah berada di dalam bahaya.   

KATA ORANG

KATA ANDA

Pada pandangan anda, wajarkah mana-mana individu tidak kira muda atau berusia yang melanggar peraturan jalan raya sehingga memberi ancaman terhadap nyawa orang lain perlu dikenakan tindakan undang-undang dengan menarik lesen kenderaan mereka?
1 vote · 1 answer
Undi

MENINGGALKAN SUATU JAWAPAN