Selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) yang lalu, isu mengenai manifesto yang dibuat oleh Pakatan Harapan (PH) ternyata menjadi bahan bualan masyarakat dan juga pemimpin politik masa kini.

Dalam manifesto tersebut, kerajaan PH mengumumkan 10 janji besar meliputi subsidi petrol di bawah 1,300 cc dan motosikal di bawah 125cc, caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) suri rumah, menyama rata gaji minimum, penangguhan bayaran balik pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Negara (PTPTN), pengembangan Skim Peduli Sihat, pemansuhan GST, menyiasat skandal 1Malaysia Development Bhd (1MDB), kajian semula projek mega, penghapusan hutang ke atas peneroka FELDA dan penghapusan tol.

Walaupun kerajaan baru ini mengambil masa yang sukar untuk menunaikan 10 janji besar mereka dalam tempoh masa 100 hari, namun sebahagian besar daripadanya telah berjaya dilaksana seperti yang dimahukan rakyat.

Bagaimanapun sehingga kini terdapat banyak desakan daripada rakyat dan juga beberapa ahli politik yang tetap mahukan kerajaan melunaskan segala janji yang termaktub di dalam manifesto tanpa memikirkan masalah kewangan yang kini merupakan masalah utama negara yang perlu diselesaikan.

 

Manifesto yang Pakatan Harapan Sudah Tunaikan

Sumber: Keadilan

Daripada 10 janji yang terkandung di dalam manifesto tersebut, lima daripadanya sudah berjaya dilaksana kerajaan termasuk Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST). GST dilaksanakan kerajaan BN sebelum ini berkuat kuasa 1 April 2015 dikenakan pada kadar 6 peratus dan akan digantikan dengan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) berkuat kuasa 1 September 2018.

Fasa pertama Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) bagi suri rumah dilaksanakan pada 15 Ogos 2018 bagi menyediakan jaringan keselamatan sosial kepada kaum wanita.

Pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) memberi kelonggaran kepada 433,000 peminjam yang disenarai hitam oleh kerajaan terdahulu kerana tidak melangsaikan pinjaman mereka, manakala bayaran balik bagi mereka yang berpendapatan RM4,000 ke bawah turut ditangguhkan.

Harga bahan api tidak lagi diapungkan secara mingguan. Harga RON95 ditetapkan pada harga bersubsidi setiap liter dan RON97 diapungkan secara apungan terurus berdasarkan harga minyak dunia.

Projek mega seperti ECRL, MRT3 dan HSR disemak semula dengan kos pelaksanaan MRT3 dikurangkan hampir separuh. ECRL dan HSR sedang dirunding semula dan daya maju kedua-dua projek ini turut diteliti.

 

Lima Lagi Manifesto Tidak Dapat Dilaksana

Dalam pada itu, lima lagi manifesto masih belum dipenuhi atau sedang diusahakan oleh PH antaranya mengembalikan hak Sabah dan Sarawak seperti yang termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 termasuk royalti petroleum kepada kedua-dua negeri.

Gaji minimum tidak boleh dilaksanakan segera, malah akan dilaksanakan secara berperingkat.

Hutang peneroka Felda belum berkurangan atau dihapuskan seperti yang dijanjikan tetapi usaha sedang dilakukan untuk menghapuskan bahagian tertentu hutang berkenaan.

Suruhanjaya diraja untuk menyiasat kerugian yang ditanggung Felda, FGV dan 1MDB tidak akan dilaksanakan oleh kerana kes berkenaan kini menjadi kes mahkamah.

Skim penjagaan kesihatan mirip Skim Peduli Sihat di Selangor yang dijanjikan kepada kumpulan B40 di seluruh negara belum diperkenalkan.

Selain itu, baru-baru ini, kenyataan yang dibuat oleh Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkenaan lebuh raya tanpa tol tidak mungkin diwujudkan sekaligus telah mengundang rasa tidak puas hati rakyat terhadap kerajaan Pakatan Harapan.

Kenyataan yang dibuat Dr Mahathir itu kebanyakannya dikutuk oleh parti pembangkang dan tidak terkecuali juga rakyat Malaysia.

Dalam perkara itu, Dr Mahathir menegaskan manifesto tersebut sebenarnya dibuat dengan memikirkan bahawa PH tidak akan menjadi kerajaan. Namun, segalanya bertukar apabila PH kini menjadi kerajaan dan manifesto tersebut dilihat menjadi beban besar buat mereka untuk dilunaskan.

Adakah ini bermakna manifesto yang dicanang kerajaan PH sebelum PRU-14 hanya untuk sedapkan hati dan meraih undi rakyat sahaja?

 

Penjelasan dari Anwar Ibrahim

Baru-baru ini, Ketua Umum Keadilan, Datuk Seri Anwar Ibrahim memohon maaf kerana beberapa janji dalam manifesto PH terpaksa ditangguhkan buat masa ini sehingga kewangan negara kembali kukuh.

Tambah beliau, ketika manifesto berkenaan dibuat, PH tidak menjangkakan hutang negara mencecah sehingga RM1 trilion.

Malah, hari ini, Anwar Ibrahim yang sudah mengangkat sumpah di Parlimen menjawab pelbagai kritikan terhadap manifesto PH.

Sumber: Berita Harian

Jelas Anwar, manifesto HARAPAN didraf dengan pertimbangan mendalam meskipun beberapa janji yang dimasukkan pernah dibuat di era Pakatan Rakyat.

Tambah Anwar lagi, kerajaan kini perlu berdepan dengan situasi dan kekangan ekonomi semasa dalam mendraf Belanjawan 2019 dan disebabkan itu beberapa manifesto dilihat sukar dilaksana dalam masa terdekat.

Malah, sebelum ini juga beberapa bekas ahli politik seperti Tan Sri Rafidah Aziz juga pernah menyelar pemimpin PH yang dilihat gagal mengotakan janji dan dibelenggu manifesto.

Selain Rafidah Aziz, bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin dan beberapa ahli politik yang lain juga pernah mengkritik manifesto PH dengan rata-ratanya menggelarkan manifesto PH sebagai kitab suci.

KATA ORANG

@LiewChinTong You guys build graveyards bury all the trust and promises of pru 14 manifesto and the now you are scraping the bottom of the floor and devising words that sort of throws the responsibility to the people how convenient. BN or PH choice for this election is nauseating

KATA ANDA

Wajarkah kerajaan PH tidak dapat laksana beberapa janji di dalam manifesto memandangkan kewangan negara tidak stabil kini?
1 vote · 1 answer
Undi

MENINGGALKAN SUATU JAWAPAN