Pakatan Harapan (PH) dalam Belanjawan Alternatif untuk Malaysia pada pembentangan Bajet 2018 lalu mencadangkan untuk memberi cuti bersalin 120 hari dengan paras gaji sama yang setara dengan kakitangan lelaki.

Minggu lalu, Persatuan Wanita Inspirasi Negara (WIN) meminta untuk dilaksanakan segera.

Ada netizen yang bersetuju dengan cadangan tersebut dengan alasan dapat memacu produktiviti dan tahap kesihatan wanita sejurus mereka kembali bekerja.

Namun tidak kurang juga yang membantah dengan pelbagai alasan diberikan seperti akan terbeban dengan kerja yang ditinggalkan oleh pekerja yang bercuti tersebut.

Apa Relevan Cuti 120 Hari?

Sebelum ini bagi penjawat awam, tempoh maksimum cuti bersalin bagi setiap kelahiran adalah 90 hari.

Manakala pekerja swasta pula, mereka diberi tempoh 60 hari cuti mengikut Akta Kerja 1955.

Sumber: Mama’s Chiropractic

Menurut Presiden Persatuan Wanita Inspirasi Negara (WIN), Norhimah Aziz, penambahan tempoh cuti ini dapat memberi manfaat terhadap kualiti kesihatan wanita dan kesejahteraan keluarga terutama dalam kalangan mereka yang baharu bergelar ibu.

Katanya, wanita boleh memberi tumpuan sepenuhnya terhadap bayi, termasuk memberi penyusuan eksklusif, selain memastikan kesihatan ibu pulih sebelum memulakan tugas dan bebas tekanan.

Selain itu, Eksekutif Institut Kewangan Swasta, Rozieta Khamsi pula berkata, cadangan kerajaan itu dilihat akan memberi impak positif kepada emosi dan kesihatan mental wanita sejurus kembali ke alam kerjaya.

CUTI LAMA RESAHKAN MAJIKAN

Tahun lalu, Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF) resah dengan cadangan kerajaan mahu sektor swasta menambah cuti bersalin daripada 60 kepada 90 hari seperti dilaksanakan perkhidmatan awam.

Pengarah Eksekutif MEF, Datuk Shamsuddin Bardan, berkata keresahan itu berasas kerana penambahan cuti sebanyak 30 hari itu, akan meningkatkan kos syarikat kepada hampir 50 peratus, adalah satu peningkatan mendadak.

Apatah lagi sekiranya cadangan 120 hari cuti bersalin ini dilaksanakan.
Adakah kos syarikat terus meningkat?

Dalam pada masa sama, ia juga turut meresahkan rakan sekerja yang terpaksa menampung kerja mereka yang bercuti.

“Masa cuti berbulan tu, orang lain yang akan buat kerja, kita tak dapat elaun pun. Cukup la dua bulan. Kalau mahu berhenti kerja” kata Lina Muhd yang diambil di Facebook.

CUTI BERSALIN MALAYSIA PALING SINGKAT?

Negara maju yang lain, secara purata kebanyakannya memperuntukan cuti bersalin sekurang-kurangnya 120 hari.

United Kingdom misalnya memperuntukkan cuti bersalin sebanyak 39 minggu malah cuti itu boleh dipanjangkan sehingga ke 52 minggu.

Ada juga negara yang memberikan cuti bersalin dari sebelum waktu kelahiran misalnya Albania yang memberikan cuti sebanyak 12 bulan dan 150 hari selepas bersalin.

Begitu juga dengan Republik Czech yang memperuntukkan cuti sebelum kelahiran sebanyak enam hingga lapan minggu dan cuti sebanyak 20 minggu selepas bersalin.

KESIMPULAN

Majikan diminta tidak mengamalkan sikap diskriminasi dengan menjadikan pemberian cuti bersalin itu sebagai alasan untuk meminggirkan pekerja wanita.

Majikan dan organisasi boleh merancangkan sistem kerja untuk menguruskan kerja atau tugasan sepanjang wanita dalam cuti bersalin.

Dengan adanya kemudahan teknologi majikan boleh berhubung dengan pekerja walaupun mereka dalam tempoh bercuti sekiranya ada urusan kerja penting.

KATA ORANG

KATA ANDA 

Anda rasa?
0 votes · 0 answers
Undi

MENINGGALKAN SUATU JAWAPAN