Beberapa pemimpin Parti Tindakan Demokratik (DAP) sejak kebelakangan ini mula memberikan kenyataan-kenyataan keterlaluan berkaitan isu politik dan agama. Kenyataan-kenyataan mereka bukan sahaja ditentang oleh parti pembangkang seperti Pas dan UMNO, dalam masa yang sama juga nada kurang senang dinyatakan oleh rakan-rakan  komponen parti Pakatan Harapan (PH).

Sumber: Malay Mail

Bagi Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), Wan Saiful Wan Jan, beliau mengkritik politik melampau DAP yang melabelkan pihak tertentu sebagai Taliban atau ekstremis.

Ia susulan tuduhan yang disampaikan oleh Timbalan Setiausaha Agung DAP, Nga Kor Ming yang berkata kemenangan UMNO dan Pas bakal menjadikan Malaysia diperintah Taliban seperti di Afghanistan.

Sumber: Abuleman

Gabungan UMNO-Pas Tidak Ada Kaitan Dengan Taliban

Bagi Wan Saiful, sebagai seorang bekas ahli Pas  kerjasama kedua parti pembangkang antara Pas dan UMNO hanyalah bersifat politik dan tidak wajar menggambarkan secara melampau kerjasama antara kedua-dua parti pembangkang tersebut.

Dalam masa yang sama politik seharusnya tidak membabitkan unsur ekstrimisme, malah di Malaysia tidak sampai ke tahap itu.

Sumber: Roketkini

Perkara sama turut diulas oleh Setiausaha Publisiti DAP Johor, Sheikh Omar Ali. Beliau berpandangan, sebagai parti yang sudah menjadi kerajaan, parti perlu meneliti dalam membuat ulasan mengenai sebarang isu, terutama isu semasa yang membabitkan dasar, politik dan rakyat. Bagi beliau, DAP hari ini bukan mewakili kaum Cina tetapi sudah mula diterima oleh semua kaum.

Disebabkan Politik Perkauman UMNO-Pas Layak Jadi Pembangkang

Sungguhpun Pas dan UMNO kerap memomokkan DAP sebagai ejen komunis, tindakan sama tidak wajar dilakukan oleh DAP dengan menuduh parti lain sebagai ekstrimis. Harus diingat, disebabkan sentimen itu UMNO dan Pas menjadi pembangkang.

Dalam politik hari ini, khususnya sebagai parti pemerintah, kematangan harus diutamakan dan keluar daripada perangkap pemikiran cetek dan jahil. Justeru, dengan hujah ekstrim tidak membawa DAP ke mana-mana.

Walaupun teguran telah dilakukan khususnya oleh pemimpin DAP sendiri, namun DAP seakan tidak serik. Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Mengkibol, Chew Chong Sin sebelum ini mengaitkan kes pembunuhan di dua buah masjid di Christchurch, New Zealand dengan kerjasama antara Pas dan UMNO.

Sungguhpun beliau telah menarik balik kenyataan, namun tindakan beliau mempolitikkan isu terbabit seakan biadap kerana tidak menghormati keluarga mangsa nahas yang masih bersedih.

Sudah Tiba Masa Berubah

Sebagai sebuah parti yang menjunjung tinggi perlembagaan serta menjadikan demokrasi sebagai asas perjuangan, DAP seharusnya mengambil pendekatan yang lebih sederhana dalam setiap pandangan. Kini, sudah tiba masanya, sikap-sikap negatif dalam pimpinan diubah. Berubahlah, ke arah yang lebih baik yang mampu membawa perubahan kepada parti.

Dalam menghadapi era Malaysia Baharu, ungkapan dan kenyataan yang lebih rasional wajar ditonjolkan oleh semua parti khususnya parti-parti komponen dalam PH. Kenyataan-kenyataan yang tidak matang dan picisan hanya akan dipandang rendah oleh rakyat. Sikap profesionalisme sebagai parti pemerintah akan dipersoalkan.

Sumber: Malaysia Today

Fokus Kepada Isu Rakyat

Justeru, sebagai parti kerajaan, tumpuan sepenuhnya wajar dilakukan terhadap pelaksanaan agenda pembaharuan kepada rakyat, melaksanakan manifesto seperti yang dijanjikan, bukan melayan dan mengikut pembawaan politik yang dimainkan oleh pihak lawan.

Sekiranya DAP terus membuat kenyataan keterlaluan berkenaan isu politik dan agama, mereka bukan hanya akan ditolak oleh orang Melayu tetapi akan kekal dituduh sebagai parti cauvinis.  Dalam masa yang sama, mereka juga akan menjejaskan sokongan besar kepada parti komponen PH yang sangat bergantung kepada undi Melayu.

KATA ORANG

KATA ANDA

Adakah anda bersetuju dengan kenyataan ini?
3 votes · 3 answers
Undi

MENINGGALKAN SUATU JAWAPAN