Cahaya mata merupakan penyeri dan pengikat kasih sayang dalam sesebuah rumah tangga. Pastinya setiap yang berkahwin ingin mempunyai anak di dalam hidup mereka.

Namun, selepas mempunyai seorang anak, para ibu disarankan untuk menjarakkan kehamilan mereka walaupun dikatakan mempunyai anak ramai merupakan satu rezeki.

Tetapi, menjarakkan kehamilan pada zaman ini adalah perlu demi kebaikkan kesihatan ibu dan kandungan.

Dalam isu ini , ada ibu yang ambil berat malah tidak kurang juga yang bersikap sambal lewa apabila doktor atau jururawat membincangkan isu merancang kehamilan ini.

 

Kenapa Penting Jarakkan Kehamilan?

Kepentingan jarak kehamilan perlu dititikberatkan bagi memastikan kesihatan ibu dari segi emosi dan jasmani kembali kepada asal selepas proses kelahiran terdahulu.

Ibu perlu memahami jarak kehamilan yang disarankan itu penting dan perlu diambil perhatian bagi mengelakkan risiko tidak diingini bukan saja kepada ibu, tetapi bayi yang dikandung.

Menurut Pakar Fertiliti Metro IVF Dr Salini Suhaila Nasir, jarak kehamilan yang disarankan pakar perubatan seluruh dunia adalah lebih 18 bulan, tetapi tidak lebih daripada 60 bulan atau lima tahun.

Dari segi perubatan, jarak kehamilan yang disarankan itu adalah untuk mengelakkan risiko kelahiran pramatang. Ini kerana jika jarak kehamilan terlalu dekat, misalnya kurang enam bulan daripada kelahiran terdahulu, risiko melahirkan bayi pramatang meningkat kepada 48 peratus.

Untuk pengetahuan, proses pemulihan rahim mengambil masa enam bulan kerana pemulihan sel dan otot di sekitarnya berlaku secara berperingkat.

Ia boleh menjadi punca kepada pembesaran bayi yang terbantut ataupun kelahiran bayi tidak cukup berat jika hamil dalam jarak yang dekat. Ini kerana ibu itu sendiri nutrisi dan kesihatan badan belum sempurna.

Selain itu, jarak kehamilan juga memberi masa kepada ibu dan anak untuk ikatan yang lebih erat di samping menjaga keharmonian hubungan dengan suami.

 

Cara Untuk Jarakkan Kehamilan

Di zaman moden ini banyak cara yang boleh dilakukan atau digunakan para ibu untuk merancang kehamilan bagi menjarakkan tempoh untuk hamil semula.

Antaranya adalah kaedah kontraseptif dengan menggunakan alat pencegah kehamilan. Banyak di kalangan ibu dimomokkan dengan mitos mengenai alat pencegah kehamilan. Ramai berpendapat alat tersebut merbahaya, namun tiada bukti yang mengesahkan.

Menurut Setiausaha Persatuan Hak Kesihatan Wanita (RRAAM), Dr Subatra Raj dalam artikelnya berkata, akses kepada alat-alat perancang kehamilan sangat perlu untuk memastikan hak kesihatan seksual dan kesihatan reproduktif (SRHR) negara.

Jenis-jenis kaedah perancangan keluarga yang popular:

  1. Suntikan hormon

– Hormon sintetik berfungsi mencegah ovulasi. Lendir serviks lebih pekat dan menyukarkan pergerakan sperma serta dinding rahim menjadi nipis hingga tidak sesuai untuk pelekatan janin.

– Berkesan selama 12 minggu (tiga bulan). Suntikan susulan harus diberikan setiap 12 minggu untuk memastikan ia tetap berkesan.

 

  1. Pil perancang

– Terdapat dua jenis pil iaitu pil kombinasi estrogen atau progesterone dimakan selama 21 hari dan kedua pil progestrone dimakan selama 28 hari dan berterusan. Jika terupa mengambil pil risiko untuk mengandung adalah tinggi.

 

 

  1. Alat IUCD

– Intra Uterine Contraceptive Device atau dipanggil IUCD diperbuat daripada bahan khas yang mempunyai benang. Ia dimasukkan ke dalam rahim melalui faraj dan dikeluarkan apabila genap tiga tahun.

– Berfungsi menghalang sperma daripada memasuki rahim dan mencegah pelekatan janin pada dinding rahim.

 

  1. Bilateral tubal ligation

– Kaedah kekal untuk menghalang proses berlakunya persenyawaan antara benih telur dan sperma. Menggunakan benang atau klip untuk mengikat dan menyekat tiub fallopian. Ia menghalang proses persenyawaan.

  1. Implan

– Sejenis rod plastik berbentuk batang mancis yang terdiri dari hormon progestin sintetik.

– Dimasukkan bawah kulit selalunya pada bahagian lengan.

– Hormon yang dikeluarkan akan bertindak menghalang kesuburan dan ovulasi tidak berlaku. Tempoh maksimumnya selama tiga tahun.

Wanita dan pasangan memerlukan maklumat yang tepat untuk membuat pilihan yang terbaik, sama ada untuk diri sendiri atau rumahtangga.

 

Hukum Merancang Kehamilan

Ramai pasangan juga berasa was-was untuk melakukan kaedah merancang kehamilan terutamanya dari segi hukum di dalam Islam. Ini kerana mereka berpendapat seolah-olah menolak kehamilan itu seperti menolak rezeki yang ingin diberikan Allah kepada mereka.

Walaubagaimanapun, menurut  pensyarah Fiqh Kepenggunaan Semasa Jabatan Syariah, Fakulti Pengajian Islam Universiti Kebangsaan Malaysia, Dr Mohd Izhar Ariff Mohd Kashim dalam satu jawapan berhubung perkara ini, beliau menyatakan hukum merancang kehamilan terbahagi kepada tiga iaitu harus, makruh dan haram.

Pertama,  harus merancang keluarga jika ia dilakukan bagi memelihara kesihatan setelah mendapat nasihat daripada doktor pakar sakit puan. Perbuatan merancang keluarga ini telah lama diamalkan sahabat Nabi SAW menerusi kaedah ‘azal.

Namun katanya, merancang keluarga mestilah mendapat keizinan daripada pasangan masing-masing. Jika tidak, hukumnya boleh berubah daripada harus kepada haram kerana ia termasuk dikira menzalimi pasangan atau tidak taat kepada arahan suami.

Kedua, makruh berbuat demikian sekiranya ia hanya sekadar suka-suka di samping risau terhadap rezeki pasangan dan anak pada masa hadapan. Ketiga, haram merancang keluarga jika ia dilakukan hanya kerana takut miskin.

Niat sedemikian termasuk dalam larangan Allah SWT melalui firman-Nya dalam surah al-Isra’, ayat 31, yang menegaskan bahawa Dia yang memberikan rezeki kepada setiap hamba-Nya dan perbuatan membunuh adalah jenayah besar.

Perbuatan itu juga boleh menjadi haram jika isteri tidak mendapat izin daripada suami dan begitulah sebaliknya. Oleh demikian, pasangan mestilah berbincang terlebih dahulu sebelum membuat sebarang keputusan.

 

 

KATA ORANG

KATA ANDA

Adakah anda menggunakan kaedah kontraseptif atau semulajadi untuk merancang kehamilan?
0 votes · 0 answers
Undi

MENINGGALKAN SUATU JAWAPAN