Ketika hampir seminggu umat Islam di Malaysia menyambut hari raya, ada sesetengah negeri, kemeriahan hari raya mungkin sudah berlalu pergi seiring dengan berakhirnya tempoh cuti persekolahan dan cuti hari raya.

Sumber: Malaysian Review

Manakala di sesetengah tempat lain khususnya di sekitar Lembah Klang, kehangatannya akan terasa pada setiap hujung minggu berikutan program-program perayaan dan majlis rumah terbuka berlangsung memandangkan golongan perantau sudah kembali ke ibu kota.

Namun begitu, suasana perayaan Aidilfitri di negeri selatan tanah air tetap meriah sepanjang Syawal, tanpa mengira hari biasa atau hujung minggu. Kemeriahan perayaan bukan disebabkan keunikan golongan dirajanya atau cara berpakaiannya, tetapi lebih kepada keunikan budaya masyarakatnya.

Boleh dikatakan Johor mempunyai keunikan tersendiri dalam menyambut perayaan Aidilfitri berbanding negeri-negeri lain. Selain budaya rumah terbuka, negeri ini mempunyai budaya marhaban penduduk yang diamalkan sejak dahulu lagi.

Budaya Masyarakat Jawa

Ini kerana budaya marhaban penduduk merupakan salah satu budaya yang diamalkan oleh masyarakat Jawa. Boleh dikatakan majoriti orang Melayu di Johor merupakan keturunan Jawa dan masih mengekalkan ciri-ciri unik masyarakat Jawa sehingga ke hari ini.

Sumber: Facebook Mohd Hilmi Ramli

Budaya marhaban dilakukan dengan kunjungan oleh suatu kumpulan dari satu rumah ke satu rumah dengan mengiramakan puji-pujian kepada Allah, berselawat kepada nabi, memanjatkan doa dan memohon maaf kepada tuan rumah. Ia diselangi dengan menikmati juadah ringan yang diberikan oleh tuan rumah sebagai meraikan kehadiran tetamu. 

Budaya marhaban penduduk sebenarnya wujud di beberapa buah negeri lain seperti Selangor dan Perak bezanya ia hanya berlaku di sesetengah daerah atau kawasan sahaja yang mempunyai komuniti masyarakat Jawa. Berbeza dengan marhaban di Johor yang dilakukan secara meluas di serata negeri.

Sumber: Youtube

Pelbagai Jenis Program Marhaban

Sekiranya anda berada di kawasan desa yang majoritinya masyarakat Jawa, mungkin anda dapat merasai program marhaban yang dianjurkan oleh penduduk. Untuk marhaban sahaja terdapat lima hingga lapan program yang dianjurkan iaitu marhaban pemuda, marhaban wanita, marhaban kampung, marhaban antara kampung, marhaban guru-guru dan sebagainya. Tidak hairan sekiranya program ini berjalan selama sebulan.

Secara kebiasaan, setiap program marhaban akan disusun dari segi tarikh dan waktu sama ada siang atau pun malam bagi memastikan setiap program marhaban yang dianjurkan tidak bertindan. Dalam masa yang sama ia juga bergantung kepada kesediaan pihak tuan rumah untuk menerima kunjungan rombongan marhaban.

Cabaran Utama

Malangnya hari ini, tidak ramai golongan muda yang berani tampil menggerakkan program-program marhaban. Mereka lebih suka mengikut daripada menggerakkan program. Hal ini menyebabkan khidmat golongan tua terus diperlukan khususnya untuk mengalunkan lagi-lagu marhaban yang pelbagai jenis.

Sumber: Facebook Muafakat Bangsa Johor

Adalah diharapkan agar program marhaban seumpama ini terus diamal dan dipertahankan oleh golongan muda bagi memastikan perayaan Aidilfitri terus disambut secara meriah. Malang sekiranya budaya baik seperti ini pupus ditelan zaman.

Yang pasti program ini merupakan salah satu tradisi bagi berkenal-kenalan dan merapatkan hubungan silaturahim antara penduduk setempat. Ini memandangkan kesibukan waktu kerja dan menguruskan keluarga telah membataskan perhubungan sesama masyarakat.

KATA ORANG

KATA ANDA

Pada pandangan anda apakah yang menyebabkan budaya marhaban unik?
1 vote · 1 answer
Undi

MENINGGALKAN SUATU JAWAPAN