Seperti yang kita sedia maklum, Indonesia merupakan sebuah negara kepulauan yang terpadat di dunia. Memiliki jumlah penduduk sekitar 230 juta, Indonesia menjadi negara muslim terbesar di dunia. Bahasa Melayu (dinamakan bahasa Indonesia kini) telah diangkat menjadi bahasa penyatuan kepulauan-kepulauan di Indonesia dalam siri perjuangan menuntut kemerdekaan daripada Belanda.

Sumber: Suara.com

Buktinya, ia telah dipahat dalam perjuangan Sumpah Pemuda pada 28 Oktober 1928. Antara bait yang terkandung dalam Sumpah Pemuda ialah “ Kami putra dan putri Indonesia, menjunjung bahasa persatuan, bahasa Indonesia”. Jelas sekali martabat bahasa Melayu iaitu bahasa Indonesia telah diangkat tinggi oleh masyarakat Indonesia sebagai bahasa utama.

Mungkin ramai yang tertanya-tanya kenapa bahasa Jawa tidak menjadi bahasa utama negara tersebut, sedangkan 80 peratus penduduk Indonesia merupakan masyarakat Jawa.

 

Menjadi Bahasa Lingua Franca Nusantara

Antara sebab utama ialah kerana bahasa Melayu sudah menjadi bahasa pertututuran meluas di seluruh kepulauan nusantara sejak beratus-ratus tahun lamanya. Berbanding bahasa Jawa, bahasa ini lebih mudah difahami dan dipelajari. Malah, ia telah dipersetujui oleh tokoh-tokoh pemimpin tempatan dalam usaha menyatupadukan masyarakat tanpa perbezaan kewilayahan.

Sekiranya bahasa Jawa dijadikan bahasa Indonesia, sudah pasti ia akan memberi masalah kepada etnik-etnik yang lain untuk memahaminya memandangkan sistem bahasa Jawa yang agak rumit. Bahasa Jawa mempunyai tiga tingkat bahasa iaitu ngoko, kromo dan kromo inggil dengan setiap satu tingkat bahasa tersebut sangat berbeza pengistilahan yang digunakannya.

Sumber: Liputan 6

Malah, Presiden Soekarno sendiri tidak bersetuju bahasa Jawa digunakan sebagai bahasa persatuan Indonesia pada tahun 1927 sebelum ikrar pemuda memandangkan ia sukar untuk dipelajari oleh mereka yang berada di luar kepulauan Jawa.

Terdapat golongan yang ingin memperjuangkan bahasa Jawa sebagai bahasa rasmi Indonesia namun suara tersebut ditolak oleh kebanyakan masyarakat Jawa yang lebih mengutamakan bahasa Melayu kerana penduduk Indonesia bukan hanya orang Jawa sahaja.

 

Bahasa Intelektual Dan Bahasa Penulisan

Semenjak dari zaman kerajaan Sriwijaya, Melaka, dan Johor, bahasa Melayu telah digunakan secara meluas dalam penulisan-penulisan sastera, intelektual, agama dan kebudayaan. Malah, ia menjadi bahasa rasmi dalam urusan antara kerajaan-kerajaan nusantara iaitu sekitar abad ke-14.

Sungguhpun kehadiran penjajah Barat di kepulauan-kepulauan nusantara berlaku selepas kejatuhan Melaka, penyebaran ilmu-ilmu agama Islam menerusi kitab-kitab dalam tulisan bahasa Melayu tidak merencatkan status bahasa tersebut sebagai bahasa perhubungan yang penting sehinggalah Indonesia mencapai kemerdekaan.

Bukan itu sahaja, semangat nasionalisme Indonesia Raya yang digerakkan oleh Soekarno dan tokoh-tokoh nasionalis dizahirkan menerusi penulisan-penulisan dan sastera Melayu yang berjaya menggugat Belanda selaku penjajah setempat. Jelas keintelektualan bahasa Melayu telah membuktikan ia mampu membangkitkan semangat penentangan yang meluas di seluruh kepulauan Indonesia.  

 

Bahasa Yang Ringkas

Memetik blog azzambarrapujangga.blogspot, sistem aturan bahasa Melayu, baik kosa kata, tatabahasa atau cara berbahasa mempunyai sistem yang lebih praktis dan sederhana sehingga lebih mudah dipelajari. Ia berbeza dengan Bahasa Jawa yang lebih rumit dengan kosa kata dan struktur berlainan.

Sumber: Ilmu Pengetahuan Umum

Dengan penyerapan istilah-istilah Arab, British, Belanda, Portugis dan sebagainya telah menyebabkan bahasa ini lebih moden penggunaan frasa ayatnya. Secara tidak langsung membuktikan bahasa Melayu turut berevolusi dari semasa ke semasa agar penggunaanya sentiasa relevan sehingga ke hari ini.

Pun begitu, masih ada juga yang tertanya-tanya, mengapa masyarakat Indonesia tidak menyebutnya bahasa Melayu, tetapi menyebutnya bahasa Indonesia?

 

Istilah ‘Indonesia’ Untuk Nasionalisme Pemersatuan

Pada asalnya, bahasa Melayu moden merupakan bahasa pertuturan utama masyarakat di kepulauan nusantara. Namun begitu, bagi masyarakat Indonesia yang ingin menuntut kemerdekaan pada ketika itu, mereka mendefinisikan nama bahasa Melayu tersebut kepada bahasa Indonesia sebagai satu bentuk pemersatuan kewilayahan yang membangkitkan semangat nasionalisme menentang Belanda.

Meskipun hari ini terdapat banyak perbezaan istilah antara bahasa Indonesia di Indonesia dengan bahasa Melayu yang digunapakai Malaysia, dan Brunei, namun ia tetap mengakui bahawa mereka tetap merupakan bahasa yang sama.

Sumber: Badan Bahasa

Kedua-dua bahasa ini dirangkumkan dalam suatu badan iaitu Majlis Bahasa Brunei-Indonesia-Malaysia (MABBIM) yang ditubuhkan untuk merancang dan memantau perkembangan bahasa tersebut.

KATA ORANG

KATA ANDA

Adakah anda rasa bahasa Indonesia dan bahasa Melayu itu berbeza?
16 votes · 16 answers
Undi

MENINGGALKAN SUATU JAWAPAN