Sangat sukar bagi seorang perokok untuk mempertimbangkan keputusan berhenti merokok, lebih-lebih lagi secara drastik. Jika ditanya, ramai kalangan perokok tegar mengumpamakan sebatang rokok sebagai ‘nyawa’.
Tidak lengkap rasanya kehidupan seharian mereka tanpa rokok, malah ada yang lesu memulakan kegiatan seharian tanpa menghisap rokok.
Terbaru, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata harga rokok akan dinaikkan pada bulan depan. Ia susulan pelaksanaan cukai jualan dan perkhidmatan (SST) mulai September lalu.
Kenaikan ini terikat di bawah 8A Peraturan-peraturan Kawalan Hasil Tembakau 2004.
Di bawah SST, 10% dikenakan untuk cukai jualan, manakala 6% bagi cukai perkhidmatan.
Pada 30 Ogos 2018, syarikat pembekal tembakau, JT International Bhd (JTI Malaysia) mengumumkan harga rokok bagi semua jenama akan meningkat selepas penguatkuasaan SST pada 1 September lalu.
Jun lalu, harga jualan runcit hasil tembakau, termasuk rokok dikekalkan walaupun GST ditetapkan pada kadar sifar.
Kali terakhir syarikat pengeluar rokok menaikkan harga jualan runcit rokok ialah November 2015, susulan kenaikan eksais rokok, selain mengambil kira kesan GST serta tekanan kos inflasi.
Tetapi berkesankah kenaikan harga itu bagi menjadikan rokok sebagai satu barangan mahal sehingga tidak mampu dibeli?
Rokok Haram Lebih Banyak Dipasaran
Adakah kenaikan harga rokok ini akan membuatkan si perokok ini berhenti merokok? Adakah ia cara yang paling berkesan bagi perokok?
Pelbagai reaksi pandangan diutarakan selepas Menteri Kesihatan mengumumkan tindakan tersebut.
Ini termasuk dua badan pemikir yang memberi amaran bahawa kenaikan harga tembakau akan menyuburkan lagi pasaran gelap untuk rokok.
i) Ketua eksekutif Pusat Galen untuk Dasar Kesihatan dan Sosial, Azrul Mohd Khalib.
Menurutnya kenaikan harga hanya akan mendorong perokok tegar beralih kepada rokok haram yang lebih murah.
Katanya, peningkatan harga boleh menyebabkan perokok muda dan “sensitif-harga” berfikir untuk berhenti merokok, tetapi perokok ketagih hanya akan beralih kepada rokok lebih murah, seperti rokok haram.
Berdasarkan kajian tahun lepas oleh Nielsen Malaysia, pasaran gelap mewakili 60% daripada rokok yang diniagakan di Malaysia pada Disember 2016.
ii) Ketua pegawai eksekutif Institut Demokrasi dan Hal-ehwal Ekonomi (Ideas), Ali Salman.
Beliau berkata, pertumbuhan pasaran gelap rokok menyebabkan kerajaan kehilangan hasil berjumlah berbilion ringgit.
Beliau turut menambah bahawa cukai lebih tinggi tidak berkesan mengurangkan tabiat merokok.
Kerajaan Hilang Pendapatan Akibat Rokok Seludup
British American Tobacco (Malaysia) Bhd (BAT) menganggarkan kerajaan kehilangan antara RM4 bilion hingga RM5 bilion pendapatan cukai setahun daripada rokok seludup.
Jumlah pengeluaran BAT adalah kira-kira 200 juta bungkus setahun dan perlu membayar cukai sebanyak RM1.7 bilion. Rokok seludup yang dijual berjumlah 625 juta bungkus setiap tahun.
Bagaimana kerajaan ingin berdiri di landasan kewangan yang kukuh, jika kerajaan hilang pendapatan yang tinggi setiap tahun.
Cadangan Selain Menaikkan Harga Rokok
Kerajaan sepatutnya mengkaji dengan lebih mendalam sebelum bertindak menaikkan harga rokok. Bukan menyokong perokok untuk terus merokok, tetapi kita lihat kenaikan ini tidak memberi apa-apa kesan kepada mereka.
Bukan harga rokok tidak pernah naik, ramai yang merungut kenaikkan harga tersebut tidak wajar, perlu dihapuskan, tetapi mereka tetap membeli walau harga melambung.
Sewajarnya pihak Kementerian Kesihatan buat pengukuhan dan peluasan program kerajaan bertujuan memberi sokongan kepada perokok yang mahu berhenti merokok, dan program berkenaan menunjukkan hasil yang baik.
Kerajaan seharusnnya juga membuat penyelesaian berdasarkan-pasaran seperti menjual rokok di dalam bungkusan kecil.
Harga rokok dalam bungkusan kecil yang lebih murah boleh menggalakkan perokok membelinya berbanding rokok haram dalam bungkusan besar. Dengan cara itu, mereka juga akan mengurangkan tabiat merokok.
Disamping itu, kempen kesedaran bahaya rokok dan penguatkuasaan di sempadan negara bagi mengekang kemasukan rokok seludup, perlu dipertingkatkan dan diperkasakan.
Kempen kesedaran bahaya rokok perlu diperbanyakkan supaya orang ramai sedar bahayanya rokok kepada kesihatan, selain mengetatkan penguatkuasaan undang-undang merokok di tempat awam.
Persatuan Pengguna Subang dan Shah Alam, Selangor mengalu-alukan kenaikan harga itu, tetapi berkata langkah tersebut perlu disertakan dengan pemantauan dan penguatkuasaan lebih baik terhadap pasaran gelap rokok.
Perokok Tidak Peduli Harga Rokok Dan Kesihatan
Masalah pro-kontra rokok bukanlah perkara baru yang perlu diperdebatkan lagi. Semua orang tahu keburukan merokok dan kesannya pada kesihatan kita.
Statistik menunjukkan rakyat Malaysia yang merokok sekitar 3.1 juta orang pada tahun 2006 melibatkan kira-kira 23.7 bilion batang rokok setahun. Jumlah perokok dijangka meningkat kepada 3.8 juta pada pada 2015 dan lebih empat juta perokok menjelang 2020.
Berdasarkan kajian, dalam sebatang rokok ada kira-kira 4,000 jenis bahan beracun yang disedut ke dalam tubuh ketika seseorang itu merokok. Antara kandungan asap rokok yang memudaratkan dan membahayakan ialah tar, nikotin dan karbon monoksida.
Bayangkan sekiranya perokok menghisap 20 batang rokok sehari, dalam masa 30 tahun dia menghisap kira-kira 200 ribu batang rokok.
Fikirkan berapa banyak unsur racun yang dibawa masuk di dalam badan yang bila-bila masa saja boleh menyebabkan penyakit bahaya.
KATA ORANG
Harga rokok akan naik adalah berita baik untuk semua pihak. Perokok lebih kuat motivasi untuk berhenti. Orang awam akan hidup lebih harmoni. Penyeludup rokok haram dapat banyak permintaan sana sini....
— Ir Lukman Al Hakim (@hjlukman) October 17, 2018
Harga rokok naik banyak mana pun, Perokok akan tetap merokok. #happyedgeday
— Azwari Zainal Abidin (@arwithutarid) October 17, 2018
Bln dpn rokok naik harga.. Dah lah hak merokok sambil ngeteh di mamak dirampas, kini nak dinaikkan pula..
— Orenji オレンジ (@OrenjiRenOren) October 16, 2018
Tahukah Menteri perokok antara penyumbang terbesar cukai negara?? Cukai rokok je dah 52% (separuh harga rokok)
Jgn terkejut tetibe ada demo 'Merokok Hak Kami'..
Harga rokok naik..kat mamak xleh lepak isap rokok..kebykkn tmpt awam xle rokok..tk nmpk lg ke? Dah dah la isap rokok tu benti laa..kalo tk paham gak benti lah jadi manusia..hohoho
— 📞 (@ajambenuden) October 16, 2018