Menurut laporan mStar, syarikat teknologi gergasi Apple mengalami penyusutan pendapatan untuk pertama kali dalam tempoh satu dekad.

Berdasarkan kepada senario pasaran telefon pintar di China pada suku keempat 2018, jualan telefon pintar buatan Huawei mencatatkan peningkatan sebanyak 23 peratus. Manakala bagi jualan iPhone mencatatkan penurunan sebanyak 20 peratus. Dapatan ini didedahkan oleh firma penyelidikan industri IDC.

Sumber: Apple Insider

Sungguhpun jualan hujung tahun sering dianggap waktu membeli-belah yang terbaik, Apple terpaksa mengambil langkah mengurangkan tempahan komponen iPhone XS, dan iPhone XR. Perkara sama turut didedahkan Ketua Pegawai Eksekutif Apple Inc., Tim Cook yang terpaksa merendahkan unjuran jualan sukuan bulan lalu.

Jualan Merosot Keuntungan Meningkat

Apple masih mencatat rekod keuntungan yang lebih tinggi di pasaran Asia Pasifik khususnya Malaysia, meskipun mengalami penyusutan jualan.

Faktor jualan akhir tahun seperti jualan11.11 dan jualan 12.12 yang popular di Malaysia menjadi faktor peningkatan keuntungan Apple di pasaran Asia Pasifik. Namun begitu, keuntungan lebih besar tidak bermakna prestasi unit jualan lebih baik.

Faktor Penyusutan

Penyusutan jualan iPhone di China tahun lalu telah menjadi faktor utama akibat pengukuhan Dolar Amerika Syarikat (AS) menyebabkan harga pasaran telefon tersebut di negara China sangat mahal.

Malah, persekitaran makro di China dan serangan produk-produk inovatif jenama tempatan serta tiada sebarang inovasi utama yang menyokong pengguna untuk terus menukar telefon pada harga yang tinggi menjadi alasan Apple mencatat penyusutan berterusan.

Selain itu, syarikat China juga turut memainkan peranan penting melakukan ‘serangan’ terhadap iPhone. Dikhabarkan, kilang di China mendenda pekerja yang membeli iPhone, tetapi sekiranya mereka membeli produk buatan China seperti Huawei dan ZTE, kilang tersebut akan membayar pekerjanya 15% nilai telefon pintar yang dibeli.

Disebabkan itu, Apple bertindak untuk tidak lagi melaporkan jumlah unit jualan mereka di dalam laporan pendapatan.

Sumber: Coolblue

Pasaran di India Turut Terkesan

Selain China, penyusutan jualan iPhone secara ketara turut dilaporkan di India. Laporan daripada Counterpoint di Hong Kong mendapati Apple terpaksa bergelut dalam pasaran di India.

Jualan suku keempat tahun lalu mencatatkan penurunan sebanyak 25 peratus meskipun terdapat perayaan Diwali di India.

Hasil jualan iPhone di India pada tahun 2018 adalah sebanyak 1.7 juta unit berbanding 3.2 juta unit pada tahun sebelumnya.

Penyusutan Jualan Beri Kesan Domino

Menurut laporan Digi Times, Largin Precision, pembekal lensa kamera iPhone telah meanganggarkan pengurangan pendapatan mereka pada bulan November berbanding pada bulan Oktober.

Perkara suma turut dilaporkan oleh pembekal papan induk untuk iPhone iaitu Career Technology yang terpaksa memberhentikan seramai 110 orang pekerjanya disebabkan pengurangan tempahan.

Berdasarkan kepada senario semasa, Apple menjangkakan memperoleh sekitar AS$ 55 bilion (RM225 bilion) pada penghujung bulan Mac ini, dapatan yang lebih rendah berbanding anggaran AS$58.83 bilion (RM241.47 bilion).

Berkemungkinan besar, pasaran telefon pintar di dunia akan didominasi oleh syarikat-syarikat daripada China seperti Huawei, Oppo, Vivo dan Xiomi tidak lama lagi ekoran peningkatan unit jualan produk yang memberangsangkan pada tahun 2018.

KATA ORANG

KATA ANDA

Mampukah iPhone mendominasi semula pasaran antarabangsa?
10 votes · 10 answers
Undi

MENINGGALKAN SUATU JAWAPAN