Prestasi sukan badminton negara yang dilihat tidak berubah terus menimbulkan tanda tanya di kalangan peminat badminton. Ini kerana pelbagai perubahan telah dilakukan, bermula dengan penstrukturan sistem kejurulatihan, pemantapan bahagian teknikal Persatuan Badminton Malaysia (BAM) dan kewujudan akademi badminton.

Sumber: Harian Metro

Prestasi Menghampakan

Namun begitu, prestasi pemain badminton negara dilihat masih ditakuk lama. Tidak banyak perubahan yang dapat dilihat. Terbaru, tiada seorang pemain negara pun yang beraksi di peringkat akhir di Kejohanan Badminton Terbuka Malaysia. Pencapaian terbaik yang dapat dilakukan ialah menerusi gandingan beregu campuran negara yang beraksi di peringkat separuh akhir.

Ternyata, pemain negara masih gagal untuk bersaing secara efektif di setiap kejohanan. Jika dibandingkan dengan prestasi pencapaian pemain negara hari ini dengan prestasi pemain pada 10 hingga 15 tahun yang lalu ternyata sangat jauh berbeza.

Berdasarkan ranking 20 pemain terbaik dunia, hanya beberapa orang sahaja pemain negara yang tersenarai berbanding negara-negara lain. Perkara ini sangat mengecewakan.

Sumber: Badminton Planet

Pemain Utama Mula Meninggalkan BAM

Malah, satu demi satu pemain utama negara mula mengorak langkah meninggalkan kem badminton negara dengan menyertai pasukan-pasukan profesional. Bermula dengan Zulfadhli, Liew Daren, Iskandar Zulkarnain, Goh V Shem Tan Wee Kiong dan pasangan Chan Peng Soon dan Goh Liu Ying. Semestinya ada yang tidak kena dengan pengurusan BAM hari ini.

Perkara ini pernah diperkatakan oleh bekas pemain perseorang utama negara, Ong Ewe Hock. Ketika diminta mengulas oleh Harian Metro, beliau berpandangan pengurusan BAM perlu diganti dengan mereka yang pakar dalam sukan tersebut.

Ia memandangkan prestasi skuad badminton negara yang mengecewakan pada kejohanan Terbuka Malaysia yang lalu. Bagi beliau, tidak timbul isu pemain atau jurulatih yang tidak bagus sebaliknya pengurusan.

Jurulatih Terpaksa Berhijrah Ke Luar Negara

Ini memandangkan masih terdapat lagi pegawai yang sudah 20 tahun masih kekal berada dalam BAM. Beliau turut mempersoalkan sekiranya BAM bagus, mengapa ramai bekas pemain negara yang menjadi jurulatih berhijrah ke luar negara dan tidak kekal membimbing pasukan negara?

Malah, tidak ada tempat untuk mereka menyumbang sehingga terpaksa berkhidmat ke luar negara. Dalam masa yang sama beliau mahu semua pihak membuka mata melihat bagaimana negara China berani melantik bekas juara beregu campuran Sukan Olimpik Athens dan Sydney, Zhang Jun sebagai Presiden Persatuan Badminton China. Sehingga kini China masih kebal menjadi kuasa badminton dunia.

Sumber: Kosmo

Perubahan Yang Dilakukan BAM

Sejak menyandang jawatan Presiden BAM pada tahun 2017, Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria telah melakukan perubahan-perubahan drastik.

Antara langkah terbesar yang dilakukan beliau ialah memanggil semula Datuk Misbun Sidek untuk kembali meneruskan khidmat kejurulatihan skuad badminton negara.

Sumber: Badminton Planet

Melantik Misbun Ketua Jurulatih Perseorangan

Dalam masa yang sama, beliau memberi peluang kepada lagenda badminton itu menstruktur semula format latihan yang diingini dengan melantiknya sebagai Ketua Jurulatih Perseorangan Negara.

Namun begitu, pelbagai masalah yang melanda badan induk sukan tersebut terus diperkatakan. Misalnya pada Ogos tahun lalu, Jawatankuasa Kejurulatihan dan Latihan (C&T), Datuk Ng Chin Chai dikritik Norza.

Sumber: The Star

Wujud Permainan Politik Di Kalangan Pegawai

Ia berikutan amalan pilih kasih kepada pemain dan memaparkan permainan politik yang tidak sihat. Ia memandangkan terdapat pemain yang gagal menyerlah disenaraikan dalam kejohanan. Isu ini diperkukuhkan lagi dengan kebimbangan yang disuarakan oleh jurulatih dan beberapa pihak lain.

Maka secara jelas, pengurusan BAM wajar dirombak kembali dengan memilih mereka yang benar-benar berkelayakan menguruskan persatuan. Tidak perlu lagi wujud percaturan dan permainan politik dalam kalangan pegawai dalam persatuan sukan negara.

Tiada guna sekiranya kita mempunyai barisan jurulatih terhebat namun gagal melahirkan pemain-pemain handalan dunia kerana masalah pengurusan.

KATA ORANG

KATA ANDA

Wajarkah BAM distruktur semula?
2 votes · 2 answers
Undi

MENINGGALKAN SUATU JAWAPAN