Ketua UMNO Bahagian Puchong yang juga merupakan bekas ketua pembangkang Selangor, Mohamed Satim Diman membuat suatu kenyataan yang menimbulkan kontroversi baru-baru ini.

Sumber: Malaysiakini

Dalam satu Ceramah Umum Barisan Nasional (BN) sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) Semenyih, Satim memberikan gambaran bahawa kematian satu demi satu wakil rakyat daripada Pakatan Harapan (PH) merupakan isyarat dari Tuhan (Allah). Beliau menambah, Allah telah memberikan amaran sejak Sungai Kandis supaya rakyat memilih parti pemerintah yang tepat, namun rakyat masih tidak memahami isyarat tuhan.

Berdasarkan rekod PRK, sebanyak enam PRK diadakan setakat ini dengan empat daripadanya disebabkan kematian wakil rakyat di kawasan tersebut. Malah, semua wakil rakyat yang meninggal dunia tersebut ialah wakil rakyat dari PH.

Sumber: Projek MM

Tindakan Terdesak Mendapatkan Undi

Kempen yang digunakan Satim pada ketika ini dengan memainkan nama tuhan dan kematian merupakan kempen terdesak dalam usaha mendapatkan sebanyak mungkin pengundi Melayu di Semenyih. Dianggarkan sebanyak 60 peratus pengundi di Semenyih terdiri dari kalangan orang Melayu.

Tindakan yang dilakukan oleh Satim merupakan satu tindakan yang tidak bertanggungjawab dan biadap, malah tidak mencerminkan dirinya sebagai pemimpin dan juga bekas Ketua Pembangkang Selangor.

Maka timbul persoalan, adakah Satim tidak memahami konsep qada dan qadar yang terkandung dalam rukun iman? Adakah cara politik yang dimainkan oleh UMNO sebegini mampu meningkatkan sokongan orang Melayu secara keseluruhannya?

Sumber: Facebook Malaysiakini

Tidak Jaga Perasaan Ahli Keluarga

Rata-rata netizen turut melahirkan kemarahan terhadap Satim kerana tidak menjaga sensitiviti keluarga empat Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Selangor yang telah kehilangan insan tersayang. Kenyataan yang disampaikan amat tidak wajar serta tidak beretika.

Dalam pada itu, Setiausaha Politik kepada Menteri Besar Selangor, Borhan Aman Shah kesal dengan kenyataan yang dibuat oleh Satim. Beliau turut menggesa Satim untuk melakukan permohonan maaf maaf kepada anggota keluarga empat wakil rakyat tersebut serta menarik balik kenyataan beliau sebelum ini.

Sumber: Youtube

Azmin Juga Terlibat

Untuk rekod, ini bukanlah kali pertama ucapan dan sindiran tentang kematian dipermainkan dalam PRK. Sebelum ini, Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali sendiri pernah mengeluarkan kenyataan yang agak keras terhadap Dato’ Seri Najib Razak. Dalam ucapan Azmin di Semenyih pada 17 Februari lalu, beliau berkata Almarhum Tun Razak boleh bangun dari kubur untuk cekik Najib.

Kenyataan itu dibuat susulan kegagalan pengurusan Felda semasa zaman pentadbiran BN yang memberi kesan mendalam kepada peneroka sehingga ke hari ini. Tindakan tersebut sangat memalukan memandangkan beliau merupakan seorang menteri dalam kabinet kerajaan Persekutuan hari ini.

Justeru, setiap pihak sama ada dari pihak kerajaan, pembangkang atau bebas perlu lebih berhati-hati dalam mengeluarkan kenyataan agar tidak mengguris hati pelbagai pihak khususnya yang melibatkan kematian.

Dalam politik perlu ada etika, dan setiap etika perlu dipatuhi sebagai panduan yang jelas agar tidak menimbulkan bibit-bibit kebencian serta perpecahan dalam kalangan masyarakat.

KATA ORANG

KATA ANDA

Adakah wajar mereka yang mempersenda kematian semasa PRK dikenakan undang-undang oleh SPR?
0 votes · 0 answers
Undi

MENINGGALKAN SUATU JAWAPAN