Kelahiran pramatang adalah kelahiran janin yang kurang daripada 37 minggu. Ada pelbagai punca yang boleh menyebabkan seseorang bayi itu lahir sebelum usia matang yang ditetapkan.

Dan pastinya, bayi yang lahir awal mempunyai pelbagai kemungkinan untuk mengalami masalah kesihatan samada sejurus selepas kelahiran mahupun ketika membesar.

Menurut data daripada Organisasi Kesihatan Dunia (WHO), kelahiran bayi pramatang antara penyebab utama kematian bagi kanak-kanak yang berusia di bawah umur 5 tahun.

Usia kandungan yang selamat untuk dilahirkan selalunya adalah selepas 37minggu. Memang benar tiada ibu yang mahu melahirkan bayi mereka dengan risiko, namun jika ianya perlu dilakukan demi menyelamatkan nyawa si ibu dan anak pastinya si ibu perlu redha menerima ketentuan takdir.

 

Adakah Kelahiran Pra Matang Kerana Faktor Umur? 

Seperti yang dilalui selebriti popular Abby Abadi dan suaminya, zuriat keempat buat Abby terpaksa dilahirkan pramatang kerana komplikasi darah tinggi yang dihidapi pelakon tersebut.

Atas nasihat doktor, bayi tersebut terpaksa dilahirkan ketika berusia 24 minggu dengan berat 540gm kerana jika dibiarkan boleh membahayakan nyawa kedua-dua mereka.

Dan terbaru, bayinya dikatakan sedang berada di bawah jagaan rapi di wad NICU. Abby dan suami sempat memohon doa orang ramai untuk zuriat yang lama dinantikan ini selepas keguguran dan kematian bayi semasa di dalam kandungan yang pernah dilalui sebelum ini.

Pastinya ramai yang mendoakan kesihatan Abby dan anaknya, malah Memey dan Norman juga dikatakan sentiasa menyokong kedua-dua pasangan ini sehinggakan Memey  sudi memberikan susu badannya sebagai bekalan untuk si bayi.

Namun ada juga peminat yang tertanya, adakah kerana usia Abby  yang sudah melebihi 38 tahun menjadi punca kandungannya lebih terdedah kepada risiko?

Mengikut perkongsian yang pernah dibuat oleh Abby sebelum ini, keguguran dan kematian bayi di dalam kandungan yang pernah dialami sebelum ini adalah kerana masalah darah tinggi yang dihidapi ketika hamil.

 

Punca Kelahiran Pramatang

Mengikut Organisasi Kesihatan Dunia (WHO), 12.3 daripda 100 bayi yang lahir di dunia adalah bayi pramatang.

Kelahiran pramatang boleh berpunca dari masalah yang dihidapi oleh si ibu mahupun janin itu sendiri.

Bagi wanita hamil, ada 4 perkara utama yang perlu diberi perhatian lebih ketika mereka sedang hamil.

Antaranya ialah tekanan darah tinggi, pre-eklampsia, kencing manis dan pembekuan darah. Masalah-masalah ini ada pendorong utama untuk kelahiran pramatang malah ia boleh membahayakan nyawa ibu hamil itu sendiri.

Selain itu, risiko lain yang boleh menyumbang kepada kelahiran pramatang ialah jika si ibu pernah melahirkan bayi pramatang sebelum ini, air ketuban pecah awal dan juga usia ibu melebihi 38 tahun.

 

Bagaimana Nak Elak Kelahiran Pramatang?

Ramai yang mengambil mudah soal mengandung, yang hanya difikirkan ialah cara cepat untuk hamil kerana tidak sabar ingin menimang cahaya mata.

Namun ramai yang lupa  untuk memastikan tahap kesihatan mereka berada di tahap yang terbaik sebelum mencuba untuk hamil.

Adalah disarankan untuk membuat temujanji dengan doktor bagi memastikan anda cukup sihat untuk memulakan proses mendapatkan anak.

Selain itu, jika anda merupakan perokok aktif, adalah lebih baik untuk anda berhenti merokok mahupun sebarang pengambilan tembakau agar tidak memberi kesan kepada kandungan dari segi perkembangan fizikal mahupun dalamannya janin.

 

Komplikasi Bayi Lahir Pramatang

Mana-mana ibu mahupun doktor yang merawat pasti akan mencuba sedaya upaya untuk mengelak kelahiran pramatang.

Ini kerana kebanyakan kelahiran pramatang akan diringi dengan pelbagai komplikasi terhadap bayi yang mungkin akan mengakibatkan kematian.

Malah, bayi yang lahir pramatang terdedah kepada risiko perkembangan fizikal, minda dan saraf yang perlahan berbanding bayi yang lahir selepas tempoh matang kandungan.

Dr. Epton menjelaskan, “Ramai bayi lahir tidak cukup umur gagal berkembang dengan kadar yang sama seperti bayi yang sihat. Masalah ini akan berlarutan dari fasa bayi sehingga fasa awal kanak-kanak.”

Apa-apa pun, jika anda ditakdirkan untuk melahirkan bayi pramatang, pastikan anda mengikut nasihat doktor dalam mendapatkan rawatan yang sewajarnya untuk bayi anda.

KATA ORANG

KATA ANDA

Pernahkah anda mengalami keguguran?
8 votes · 8 answers
Undi

MENINGGALKAN SUATU JAWAPAN