Sumber: Harian Metro

Ramai yang tidak menyangka pendapatan pengayuh beca mampu mencecah RM3,000 sebulan menyamai pendapatan bulanan eksekutif muda lepasan ijazah sarjana muda sektor awam mahupun sektor swasta.

Faizal Shamsuri yang berusia 15 tahun anak ketiga daripada empat beradik merupakan salah seorang pengayuh beca di Bandar Hilir berkata, pendapatan purata bulanannya sebanyak RM3,000.

Tetapi beliau terpaksa mengerah kudrat, berpanas dan berhujan dari jam 9 pagi sehingga jam 6 petang pada setiap hari bagi membawa pelancong bersiar-siar sekitar Bandar Hilir dan lokasi pelancongan terkenal.

Beliau yang telah bekerja sebagai pengayuh basikal selama setahun berpuas hati dengan pekerjaan tersebut kerana mendekatkan dirinya kepada pelancong dan memperkenalkan tempat-tempat sejarah yang menjadi tarikan pelancong khususnya warga asing.

Kadar Upah Lumayan

Kadar upah untuk membawa pelancong adalah sekitar RM25 hingga RM50 bergantung kepada jarak, laluan yang dipilih pelancong dan masa. Kadar upah telah ditetapkan oleh Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) untuk menyeragamkan tambang beca supaya tidak ada pihak yang mengambil kesempatan. Jika dilihat kadar upah yang dikenakan adalah sangat lumayan dan berbaloi dengan keringat yang dikerahkan.

Galakkan Kerajaan Negeri Melaka

Sejak tahun 2009, kerajaan Melaka telah mempromosikan beca sebagai kenderaan pelancongan di sekitar bandar raya tersebut. Malah, penarik beca juga telah dijadikan sebagai duta kecil bagi mempromosikan tempat-tempat menarik dan bersejarah di Melaka.

Dengan kesesakan lalu lintas di Melaka, sudah tentu ia menarik tumpuan pelancong untuk menikmati pengangkutan tradisional ini. Terdapat juga beca yang perkhidmatannya digunakan untuk mengangkut sayur-sayuran ke pasar berdekatan namun jumlahnya tidaklah banyak.

Sumber: Astro Awani

Perlu Kekalkan Identiti Tempatan

Terdapat juga kekesalan bagi segelintar penarik beca di Melaka tentang identiti beca masa kini yang kebanyakannya dihiasi dengan watak kartun, manakala lagu-lagu Barat kerap dimainkan sehingga dilihat tidak berasaskan identiti tempatan.

Bagi memastikan identiti tempatan dikekalkan, Kerajaan Negeri Melaka menerusi Ketua Menterinya Azly Zahari mewajibkan semua pengayuh beca di Melaka memasang lagu irama Dondang Sayang dan bukannya memainkan lahu kontemporari atau moden.

Tindakan mewajibkan memasang lagu irama Dondang Sayang wajar dipuji bertujuan untuk mengekalkan citra tempatan, begitu juga dengan hiasan setiap beca perlu memaparkan ciri-ciri tempatan.

Bukan Lagi Pekerjaan Kelas Bawahan

Pekerjaan ini bukan lagi dilihat sebagai pekerjaan kelas bawahan kerana terdapat pemegang diploma dan ijazah daripada institut pengajian tinggi (IPT) berminat menceburi kerja ini.

Malah, pemilihan calon pengayuh beca di Melaka tidak lagi dibuat sewenang-wenangnya kerana terdapat temuduga bagi melahirkan pengayuh yang berdisiplin, bersopan-santun dan berhemah.

Dengan pendapatan yang sangat lumayan sudah tentu membuka mata masyarakat bahawa kerja mengayuh beca bukan lagi pekerjaan kelas bawahan dan perlu diberi perhatian.

KATA ORANG

KATA ANDA

Wajarkah mengekalkan identiti beca tempatan?
1 vote · 1 answer
Vote

MENINGGALKAN SUATU JAWAPAN