Beberapa hari lalu, tular dakwaan yang mengatakan seramai 3 juta warga China dan warga asing lain telah masuk ke dalam negara semasa gangguan sistem di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Sumber: Youtube

Sehingga ke hari ini dakwaan tersebut terus tular di media sosial. Bagaimanapun, perkara itu dinafikan Jabatan Imigresen dan Ketua Pengarahnya, Datuk Khairul Dzaimee Daud yang menegaskan proses pemeriksaan kemasukan warga asing oleh jabatan itu dilakukan secara manual dan semua pelawat asing perlu mematuhi semua syarat serta mengikut prosedur operasi standard (SOP) pemeriksaan pelawat asing.

Tidak cukup dengan itu, langkah keselamatan juga telah dipertingkat dari kebiasaan dan turut dibantu pasukan pemantau, penguatkuasa di balai ketibaan dan pelepasan antarabangsa.

 

Gangguan Sistem Perlu Disiasat

Berhubung isu tersebut, sebahagian besar rakyat Malaysia menuntut kerajaan untuk lakukan siasatan secara menyeluruh mengenai gangguan tersebut.

Sumber: Selangorkini

Meskipun tuduhan kemasukan sebanyak 3 juta warga China dan warga asing ke negara ini dilihat tidak masuk akal namun isu tersebut perlu diberikan perhatian oleh kerajaan lebih-lebih lagi ia melibatkan soal keselamatan negara.

Tidak mustahil gangguan itu disebabkan sabotaj dari pihak luar yang berjaya menceroboh premis lapangan terbang itu untuk mencetuskan gangguan terhadap sistem rangkaiannya.

Sebaliknya, ada juga desas desus mengatakan gangguan tersebut ada kena mengena dengan agenda tukar vendor pembekal sistem atau ada kena mengena dengan pertikaian Air Asia -MAB yang telah dibawa ke timbang tara.

 

Ada Unsur Niat Jahat

Gangguan sistem yang berlaku di KLIA sejak Rabu lalu tidak dinafikan berlaku disebabkan perbuatan berniat jahat.

Perkara itu disahkan Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) yang tidak menolak kemungkinan ia berkait dengan unsur tersebut malah menyerahkan perkara itu kepada pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan penuh.

Gambar sekadar hiasan

Mana tidaknya, gangguan sistem yang berlaku itu bukan sahaja turut mengakibatkan kelewatan penerbangan tetapi juga turut menjejaskan kaunter pemeriksaan masuk, sistem paparan maklumat penerbangan (FIDS) serta pengendalian bagasi.

Malah, ia turut menjejaskan sistem kad kredit di premis makanan dan minuman serta runcit dan mencetuskan situasi huru-hara dalam kalangan penumpang dan petugas.

Namun, pihak MAHB bertindak pantas dengan melakukan penggantian perkakasan rangkaiannya bagi mengelak daripada diserang dengan aktiviti serangan siber dan sebagainya.

 

Sistem Perlu Dinaik Taraf Dan Diperkukuh 

Atas gangguan yang berlaku ini, langkah penambahbaikan perlu dilakukan segera terhadap sistem Total Airport Management System (TAMS) supaya insiden sebegini tidak berulang di masa akan datang.

Dengan kecanggihan teknologi yang ada pada hari ini, memang tidak dinafikan sesuatu sistem itu boleh disabotaj dengan kepakaran dari pihak luar untuk menyebabkan kecelaruan dalam rangkaian IT KLIA.

Gambar sekadar hiasan 

Mungkin ada orang kita sendiri yang bersengkongkol dengan kumpulan yang membawa masuk orang asing ke negeri ini dengan mengambil kesempatan terhadap gangguan yang dialami itu.

Apa-apa pun, siasatan wajib perlu dilakukan dan hukuman harus diberi pada pihak yang terlibat kerana gangguan yang berlaku itu sama sekali merupakan satu kecelakaan besar kepada keselamatan negara kita.

Diharap, kejadian seperti ini tidak berulang lagi pada masa hadapan kerana lapangan terbang adalah tanggapan pertama pelancong ke atas sesebuah negara. Jika sistem rangkaian utama pun boleh terganggu, nampak sangat negara kita masih lagi lemah dalam pengurusan sistem yang merupakan aspek terpenting pertahanan negara.  

KATA ORANG

KATA ANDA

Adakah ini ada kena mengena dengan agenda tukar vendor pembekal sistem atau ada kena mengena dengan pertikaian Air Asia -MAB yang telah dibawa ke timbang tara?
4 votes · 4 answers
Undi

MENINGGALKAN SUATU JAWAPAN