Dewan Rakyat sekali lagi menimbulkan kekecohan apabila ahli Parlimen pembangkang bertindak keluar dewan kerana tidak berpuas hati dengan keputusan Timbalan Speaker Dewan Rakyat, Datuk Rashid Hasnon susulan desakan agar Ahli Parlimen Jelutong, RSN Rayer memohon maaf kepada Ahli Parlimen Cameron Highlands kerana menyebabkan Datuk Sivarrajh Chandran dilarang memasuki persidangan dewan selama dua hari.

Dalam kekecohan semalam, ahli Parlimen pembangkang dilihat berpakat beramai-ramai sebagai bantahan terhadap keputusan Rashid yang menghalau Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman (BN UMNO-Pasir Salak) dan Datuk Seri Bung Moktar Radin (BN UMNO-Kinabatangan) dari Dewan.

Tindakan keluar beramai-ramai dari dewan itu bukan sahaja menyebabkan sesi penggulungan Rang Undang-undang Kewangan 2018 tergendala malah menimbulkan pertikaman lidah selama lebih 15 minit terutama apabila Tajuddin dan Bung Moktar enggan berdiam dengan pendirian mereka.

Akibat dari itu, Timbalan Speaker kemudian mengarahkan dua ahli parlimen terbabit keluar dewan malah kebanyakan ahli parlimen pembangkang kemudiannya bertindak keluar dewan sebagai tanda protes.

Kedua-dua ahli Parlimen itu kemudiannya digantung daripada memasuki dewan rakyat selama sehari oleh Timbalan Speaker.

 

Punca Kekecohan berlaku

Sumber: Kini TV

Punca kekecohan tersebut timbul sejak Speaker Dewan Rakyat Mohamad Ariff Md Yusof mengarahkan Sivarrajh untuk meninggalkan persidangan pada 5 Disember lalu selepas statusnya menjadi tanda tanya susulan keputusan mahkamah baru-baru ini.

Ia berikutan, Mahkamah Pilihan Raya pada 30 November lalu membatalkan keputusan Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) bagi kerusi Parlimen Cameron Highlands, Pahang dan mengarahkan supaya pilihan raya diadakan semula.

Hakim Azizah Nawawi berkata, calon DAP M Manogaran telah berjaya membuktikan terdapat amalan rasuah yang menyaksikan kemenangan Sivaraajh sebagai ahli Parlimen Cameron Highlands yang juga naib presiden MIC.

Perkara tersebut dipersoal RSN Rayer (PH-Jelutong) yang memaklumkan bahawa mahkamah telah memutuskan kerusi Cameron Highlands dilapangkan kerana pada pilihan raya umum lalu terdapat unsur rasuah yang mana keputusan itu masih kekal dan dewan juga tidak dimaklumkan apa-apa keputusan baharu.

Dalam pada itu, Rayer turut mempersoal atas dasar apa Sivarrajh boleh masuk dan duduk di kerusi Cameron Highland memandangkan mahkamah membuat keputusan untuk mengosongkan kerusi tersebut.

Oleh yang demikian, apa yang dipersoal oleh Rayer itu bagaimanapun telah menarik perhatian Speaker Dewan Rakyat yang bertanya kepada Sivarraajh sama ada keputusan mahkamah berkenaan disekalikan dengan perintah penggantungan sementara?

Sivarraajh kemudiannya berkata, beliau tidak pasti sama ada beliau boleh hadir ke Dewan Rakyat atau sebaliknya.

Atas jawapan yang belum ditentukan jelas itu, Mohamad Ariff kemudian mengarahkan supaya Sivarraajh meninggalkan Dewan Rakyat buat sementara sehingga beliau mendapatkan nasihat peguam pakar.

 

Adakah Tindakan Keluar Dewan Dianggap Kurang Ajar?

Sumber: Kini TV

Setiap kali timbul isu yang tidak menyenangkan, Dewan Rakyat pasti tidak asing lagi dengan senario ahli Parlimen meninggalkan dewan yang boleh mengaibkan imej Parlimen.

Mana tidaknya, sekiranya Speaker mahupun Timbalan Speaker Dewan Rakyat hanya mengarahkan beberapa ahli Parlimen sahaja untuk keluar dari Dewan, namun lain pula jadinya apabila ahli Parlimen yang lain turut sama berpakat meninggalkan dewan itu.

Malah, sikap segelintir ahli Parlimen yang meninggalkan dewan secara beramai-ramai ini jelas memperlihatkan bahawa mereka telah melanggar peraturan mesyuarat.

Sebelum ini juga, Ahli Parlimen Jelutong, RSN Rayer, dilihat komited untuk mencelah setiap ucapan dari pembangkang sehinggakan isu yang dibangkitkan tidak sampai disebabkan masa terbuang kerana gangguan yang dicipta itu.

Bagaimanapun, ahli Parlimen pembangkang sebelum ini juga pernah memberi amaran kepada Rayer yang mana walaupun beliau kini sudah bergelar Ahli Yang Berhormat, beliau tidak boleh menghina pihak lain di dalam Dewan Rakyat.

 

Ahli Parlimen Perlu Jaga Adab Ketika Berbahas

Sumber: Berita Harian

Selepas kerajaan Pakatan Harapan (PH) berjaya menjadi kerajaan, kita kerap kali ditonjolkan dengan kedangkalan moral dan akhlak serta tutur kata yang kurang sopan dari kebanyakan Ahli Parlimen ketika berhujah di Dewan Rakyat.

Malah, lebih memalukan, ada ahli Parlimen yang berani menggunakan kata-kata yang kurang sopan ketika sesi perbahasan di Dewan Rakyat tanpa rasa segan silu.

Adakah mereka tidak tahu bahawa rakyat juga sedang memerhatikan setiap gelagat yang ditonjolkan itu yang mana prinsip kesopanan dan kesusilaan sepatutnya perlu diamalkan oleh setiap ahli Parlimen.

Dalam hal ini, tidak kira sama ada ahli Parlimen itu datang dari pihak kerajaan mahupun pembangkang, mereka tidak wajar menggunakan Dewan Rakyat sebagai medan perkelahian dengan menggunakan kata-kata kesat hanya untuk meraih publisiti murahan.

Setiap perbahasan seharusnya berjalan penuh harmoni, disertai fakta konkrit berkisar soal pembangunan negara dan kebajikan rakyat, bukan tempat melabel musuh politik dengan kata cacian mahupun makian kerana apa yang rakyat mahukan adalah amalan demokrasi matang dalam kalangan ahli Parlimen.

KATA ORANG

KATA ANDA

Adakah tindakan beberapa ahli Parlimen yang meninggalkan Dewan boleh dianggap sebagai satu tindakan yang tidak matang?
2 votes · 2 answers
Undi

MENINGGALKAN SUATU JAWAPAN