Sejak 2015, Jabatan Kehakiman Syariah Negeri Selangor (JAKESS) mempermudahkan proses perceraian daripada 90 hari (3 bulan) kepada enam jam melalui kaunter ‘fast track’ bagi mengatasi isu kerenah birokrasi penyelesaian kes cerai di negeri ini.

Sumber: Mingguan Wanita

Bagaimanapun baru-baru ini, isu perceraian serta kaunter ‘fast track’ itu kembali hangat pada sesi persidangan di Dewan Rakyat apabila Anggota Parlimen Jelebu, Datuk Jalaludin Alias pada sesi pertanyaan lisan mendakwa kewujudan kaunter itu dikatakan penyebab utama kadar perceraian menjadi tinggi di Selangor.

Malah, kaunter tersebut juga seolah-olah ‘memudahkan’ lagi urusan perceraian buat pasangan Islam yang mana kadar perceraian dilihat semakin membimbangkan saban tahun.

Apa yang diperkatakan oleh Jalaludin itu telah menyebabkan ramai pihak mempersoal proses serta kewujudan kaunter terbabit yang tidak dinafikan menyumbang peratusan tinggi terhadap perceraian masa kini. 

 

JAKESS Tampil Beri Penjelasan

Meskipun ramai yang mengatakan kewujudan kaunter perceraian segera dikatakan punca kadar cerai tinggi, namun Jabatan Kehakiman Selangor (JAKESS) tampil memberi penjelasan bahawa kaedah proses perceraian ‘fast track’ yang diperkenalkan pihaknya itu bukan untuk menyelesaikan kes cerai sewenang-wenangnya.

Malah, sistem yang diperkenalkannya itu sebenarnya perlu melalui pelbagai fasa termasuk jalan penyelesaian bagi konflik rumah tangga dihadapi setiap pasangan bermasalah.

Katanya, pemfailan kes di Mahkamah Syariah hanya dibuat selepas usaha menerusi kaedah runding cara itu gagal menyelamatkan perkahwinan pasangan terbabit.

 

Ada Syarat Yang Perlu Diikuti

Dalam masa yang sama, JAKESS berkata kaedah yang diperkenalkan itu bagaimanapun perlu memenuhi syarat ditetapkan termasuklah dokumen lengkap, suami isteri hadir di mahkamah dan wujud persetujuan antara suami isteri untuk bercerai secara baik serta harmoni.

Sumber: Free Malaysia Today

Bukan itu sahaja, isteri dalam keadaan suci dan tidak berlaku persetubuhan dalam tempoh suci itu, dan mahkamah berpuas hati bahawa sudah berlaku pecah belah (shiqaq) dalam perkahwinan yang tidak dapat dipulihkan.

Malah, proses perceraian yang hanya mengambil masa enam jam itu  juga dibuat berlandaskan hukum syarak dan undang-undang mengikut SOP Mahkamah Syariah dan Hakim Syarie.

 

Kes Perceraian Meningkat Tiada Kaitan Dengan ‘Fast Track’

Menurut JAKESS, kaedah terbabit bukanlah untuk menggalakkan masyarakat Islam bercerai sehingga menyumbang kadar kes tinggi di Selangor.

Sumber: Utusan Malaysia

Sebaliknya, kadar perceraian tinggi tercatat disebabkan jumlah penduduk yang ramai di Selangor berbanding negeri lain di seluruh Malaysia.

Jika dilihat dari segi statistik kes perceraian di negeri Selangor, kes perceraian pada tahun 2017 mencatatkan sebanyak 8,794 kes bagi pasangan Islam dan 2,068 kes untuk bukan Islam di Selangor manakala 4,441 kes perceraian antara pasangan Islam dan 1,526 bagi bukan Islam di Johor.

Hasil carian dari Perangkaan Demografi bagi suku tahun pertama 2019, penduduk di negeri Selangor sama sekali mencatatkan komposisi penduduk tertinggi seramai 6.54 juta orang diikuti negeri Johor dan Sabah.

 

Ada Baik Dan Buruknya 

Memang ramai yang menganggap kaedah ini lebih banyak keburukan berbanding kebaikan. Dari segi keburukannya, mungkin selepas ini banyak pasangan muda akan mengambil mudah isu perceraian tanpa memikirkan secara mendalam sebelum membuat keputusan memandangkan kaedah ‘fast track’ ini bakal memudahkan proses perceraian mereka. 

Jangan terkejut, ada orang yang bercerai lebih dari 30 tahun tetapi masih belum selesai kes harta sepencarian di Mahkamah Syariah. 

Jadi, dengan adanya kaedah ini ia sekurang-kurangnya dapat menjamin hak isteri yang sudah diceraikan yang mana segala nafkah serta hak penjagaan dapat dilakukan dengan segera tanpa perlu menunggu kira-kira tiga bulan atau 90 hari untuk diselesaikan daripada terus bergantung tidak bertali. 

KATA ORANG

KATA ANDA

Adakah kewujudan kaunter perceraian segera dikatakan punca yang menyebabkan kadar perceraian tinggi?
3 votes · 3 answers
Undi

MENINGGALKAN SUATU JAWAPAN