Kisah perkahwinan budak perempuan berusia 11 tahun dengan seorang lelaki 41 tahun yang tersebar di media sosial akhir bulan lalu telah mengundang reaksi banyak pihak.

Siasatan awal pegawai pelindung dari Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Kelantan mendapati perkahwinan itu dijalankan di Golok, Thailand dan ibu bapa kanak-kanak itu juga merupakan warganegara Thailand.

Peraih getah, Che Abdul Karim yang berasal dari Gua Musang itu pula dikatakan telah mempunyai dua orang isteri dan budak perempuan tersebut merupakan isteri ketiga beliau.

Kahwin Kerana Simpati Atau Pedofilia?

Sumber: mStar

Bapa kanak-kanak perempuan itu ada menyatakan bahawa Che Abdul Karim kasihan kepada keluarga mereka yang hidup susah dan berjanji untuk memberi keselesaan kepada anaknya selepas berkahwin.

Che Abdul Karim berkata mereka bernikah di Thailand atas dasar suka sama suka dan mengaku bercinta sejak 4 tahun lalu.

Sedangkan beliau pernah menyatakan bahawa kenal budak perempuan tersebut ketika budak itu dan ibunya bekerja di kedai isteri pertama Che Abdul Karim.

Turut menjadi persoalannya, bagaimana kanak-kanak yang ketika itu berusia 7 tahun boleh bercinta dengan lelaki berumur 37 tahun ketika itu?

Apa yang kanak-kanak tersebut tahu mengenai cinta atau tanggungjawab untuk menjadi isteri dengan umur yang terlalu muda dan tidak matang (juga masih belum baligh)?

Adakah Che Abdul Karim seorang pedofilia? Sekiranya beliau berniat untuk membantu, kenapa beliau tidak hanya memberi wang atau keperluan yang diperlukan kepada kanak-kanak tersebut?

Isteri kedua Che Abdul Karim juga ada mendedahkan bahawa suaminya itu hanya memberi nafkah RM50-RM100 seminggu untuk 4 orang anak mereka.

Apa Itu Pedofilia? 

Sumber: mStar

Pedofilia ialah sejenis gangguan psikologi di mana individu dewasa atau atau remaja yang lebih tua tertarik mempunyai minat seks yang utama atau eksklusif terhadap kanak-kanak belum baligh berusia 13 tahun atau lebih muda.

Orang yang mempunyai pedofilia melakukan seks dengan kanak-kanak atau menggunakan kanak-kanak untuk seks.

Statistik Polis Diraja Malaysia (PDRM) merekodkan sebanyak 12,025 kes seksual terhadap kanak-kanak berlaku di negara ini sehingga Oktober 2016.

Malaysia juga pernah digemparkan dengan penjenayah pedofilia warga Britain yang melakukan jenayah seksual terhadap 200 kanak-kanak yang berusia enam hingga 12 tahun dan kebanyakkan mangsa merupakan golongan gelandangan dan tidak berkemampuan di sekitar Kuala Lumpur.

 

Adakah Kahwin Bawah Umur Satu Jenayah? 

Timbalan Perdana Menteri yang juga menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) mengatakan perkahwinan pasangan itu tidak sah dari segi undang-undang dan perlu dipisahkan memandangkan perkahwinan mereka tidak mendapat kelulusan mahkamah untuk bapa kanak-kanak itu mewakili anaknya dan menjadi isteri kepada orang yang lebih tua serta masih di bawah umur.

Di bawah Enakmen Keluarga Islam yang dikuatkuasa di semua negeri, usia minimum bagi lelaki adalah 18 tahun manakala perempuan adalah 16 tahun. Sekiranya mereka dibawah umur, perkahwinan hanya dibenarkan jika ada kebenaran mahkamah dan persetujuan ibu bapa mereka.

Sementara itu, polis Kelantan menolak kemungkinan terdapat unsur jenayah dalam kes tersebut dan mendapati tiada sebarang unsur paksaan, ugutan, rayuan atau pedofilia.

Mufti Perlis, Prof Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin pula berpendapat bapa yang menikahkan anak bawah umur kerana miskin tidak layak menjadi wali.

Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata, kes perkahwinan bawah umur masih lagi disiasat dalam pelbagai aspek membabitkan beberapa agensi kerajaan.

Katanya, kerajaan tegas menentang perkahwinan kanak-kanak dan pihaknya sedang mengambil langkah yang perlu untuk menaikkan usia minimum perkahwinan kepada 18 tahun.

KATA ORANG 

KATA ANDA

Anda rasa?
1 vote · 1 answer
Undi

MENINGGALKAN SUATU JAWAPAN