Merancang keluarga iaitu dengan menjarakkan kehamilan mahupun menentukan berapa bilangan anak yang ingin dilahirkan merupakan keperluan bagi mengelak dari pelbagai risiko yang tidak diingini sama ada melibatkan nyawa mahupun aspek kewangan.

Pelbagai kaedah merancang keluarga ada disediakan di klinik-klinik mahupun hospital bagi membantu pasangan yang kurang pandai merancang kelahiran secara semulajadi dan salah satunya dikenali sebagai kaedah mengikat peranakan.

Mengikat peranakan ataupun Bilateral Tubal Ligation (BTL) adalah proses pemandulan yang dilakukan oleh doktor sama ada dengan memotong mahupun mengikat saluran tiub fallopian dari bersambung dengan rahim.

Proses ini adalah untuk menghalang persenyawaan daripada  berlaku sehingga menyebabkan kehamilan. Dan peratus keberkesanan kaedah ini bagi mengelak kehamilan adalah sebanyak 99%.

Namun begitu, ada pelbagai aspek yang perlu diambil kita sebelum anda bersetuju untuk melakukan prosedur ini kerana mustahil untuk tiub tersebut disambung semula selepas dipotong.

 

Perlu Atau Tidak?

Ada sesetengah wanita membuat keputusan untuk melakukan prosedure BTL kerana diatas saranan doktor dan ada juga kerana kehendak diri sendiri dan pasangan.

Dan kebanyakannya adalah kerana sudah tidak mahu hamil lagi.

Wanita yang melahirkan anak secara caesarean sebanyak 3 kali berturut-turut selalunya  akan dinasihatkan  doktor untuk mengikat rahim mereka bagi mengelak pelbagai risiko kehamilan.

Ada yang sampai rahim pecah malah ada yang terkorban ketika melahirkan kerana berlaku pendarahan yang terlalu banyak.

Selain itu, faktor kesihatan mahupun  terlalu subur juga menjadi punca mengapa wanita disarankan untuk membuat BTL.

Ada wanita yang begitu beruntung kerana tahap kesuburannya sangat tinggi sehinggakan tiap-tiap tahun mampu untuk mengandung dan melahirkan anak.

Jika mampu untuk membesarkan anak yang ramai tidak mengapa, namun jika status kewangan anda dan suami masih belum kukuh ada wajarnya untuk anda  merancang kelahiran dengan betul dan mengikuti  nasihat doktor.

Tak mahu la nanti sampai keperluan dan kebajikan anak-anak terabai pula.

 

Suami Hilang Nikmat Bila Bersama?

Pasti banyak pertanyaan yang berlegar-legar di minda wanita yang  ingin membuat BTL kerana risau akan kesan yang akan mereka dapat kelak.

Dan salah satunya ialah persoalan tentang  adakah prosedur BTL akan membuatkan bahagian intim tersebut seperti ‘mati’ dan tidak akan dapat memuaskan para suami lagi.

Menurut penjelasan seorang jururawat yang dikenali sebagai Bel Nawhen, itu adalah mitos semata-mata dan keputusan untuk mengikat rahim sama sekali tidak akan menggangu hubungan seksual suami dan isteri.

Malah, mereka dapat menikmati hubungan seksual tersebut dengan lebih lagi kerana tidak perlu khuatir akan risiko terhamil dan  sebagainya.

 

Hukum BTL Mengikut Syarak

Bagi wanita, keputusan untuk mengikat mahupun memotong rahim bukanlah satu keputusan  yang mudah untuk dilakukan.

Siapa yang tidak mahu anak ramai bukan, selain dapat memeriahkan suasana kekeluargaan, anak-anaklah yang akan menjadi harta untuk kita gunakan apabila sudah tua kelak.

Merekalah yang akan menjaga kebajikan kita malah mereka juga yang akan mendoakan kita apabila kita sudah tiada lagi.

Namun, adakalanya kita perlu mendengar nasihat orang yang lebih arif agar dapat menyelamatkan nyawa kita sendiri.

Namun, bagi masyarakat Islam apakah hukum melakukan prosedur ini? Adakah ia diterima agama dan  diharuskan?

Mengikut penjelasan Syeikh Dr. Yusuf Al-Qaradhawi di dalam Fatawa Mu’asyirahnya (jilid 2, halaman 680) “Perbuatan tersebut tidak harus kerana mengandungi tindakan mengubah ciptaan Allah SWT. Ia adalah perbuatan yang dipengaruhi oleh Syaitan dan dihiasi oleh Syaitan. Dikecualikan jika terdapat darurat yang kemuncak, seperti kelahiran anak akan mendatangkan bahaya kepada Ibu dan tidak ada jalan lain lagi untuk menghalang kelahiran melainkan dengan cara tersebut (yakni mengikat saluran peranakan itu). Hukum darurat tersebut hanya bersifat individu dan merupakan kes terpencil yang dilakukan mengikut kadar perlu. Tidak harus hukum darurat tersebut diambil menjadi satu prinsip umum untuk semua keadaan”.

Melalui penjelasan ini, dapat kita rumuskan bahawa ianya haram kerana dianggap mengubah sesuatu kejadian Tuhan.

Namun jika ianya perlu bagi menyelamatkan nyawa dan mengelak pelbagai risiko yang tidak diingini ia dibenarkan oleh syarak.

KATA ORANG

KATA ANDA

Jika diberi pilihan, mahukah anda melakukan kaedah ini bagi mengelak kehamilan?
3 votes · 3 answers
Undi

MENINGGALKAN SUATU JAWAPAN