Selepas kemeriahan tayangan filem Avengers: End Game beberapa bulan yang lepas, kini muncul sebuah filem yang boleh dikatakan hangat ditonton iaitu Joker.

sumber: dna india

Filem Joker lakonan Joaquin Phoenix dilaporkan media telah berjaya mengutip jualan sepanjang bulan Oktober sebanyak AS$ 234 juta (RM 979 juta) walaupun mengalami sedikit kontroversi dan telah mengatasi jualan filem Venom yang hanya mengutip RM332 juta.

Namun, filem Joker ini bukanlah filem yang sarat dengan aksi seperti yang dibayangkan tetapi ia memiliki tempo pembinaan plot yang sangat perlahan dengan paparan psikologi yang suram.  

 

Kisah Seorang Bernama Arthur Fleck

Mengambil sumber maklumat daripada laman kakimuvee.net, filem Joker ini secara keseluruhannya menceritakan tentang seorang lelaki yang bernama Arthur Fleck yang merupakan seorang pesakit neurologi yang bercita-cita untuk menjadi seorang pelawak pentas.

sumber: dc comics

Dia yang membesar dengan pengalaman kisah silam yang tidak begitu baik seperti orang lain telah menyebabkan dia berubah menjadi seorang yang sangat agresif dan menggelarkan dirinya sebagai Joker.

Namun, Arthur bukanlah individu yang bercita-cita untuk menjadi seorang penjahat yang ingin menguasai kota Gotham, sebaliknya dia berubah hanya disebabkan oleh kekejaman masyarakat sekelilingnya yang menindas golongan sepertinya.

 

Penyakit Pseudobulbar Affect

Jika anda sudah menonton filem ini, pasti akan timbul perasaan sedih di mana Arthur sering disisihkan masyarakat sekelilingnya dan dianggap sebagai pelik dan juga gila. Penyakit yang dihidapinya itu membuatkan Arthur sentiasa ketawa walaupun dia tidak berniat untuk berbuat demikian. 

 

 

Apa yang dikatakan dengan penyakit Pseudobulbar Affect (PBA)? Mengambil maklumat daripada laman hellosehat.com, seseorang yang mengalami gangguan PBA ini biasanya secara tiba-tiba akan menangis dan ketawa secara tidak terkawal dan berlaku lebih lama berbanding ketawa dan menangis mereka yang normal.

 

 

Bukan itu sahaja, riak wajah mereka yang mengalami PBA secara biasanya tidak sesuai dengan emosinya. Menurut National Stroke Association, lebih dari satu juta orang memiliki penyakit PBA dan ia berbeza dengan gejala depresi mahupun bipolar.

Mereka yang mengalami PBA akan membuatkan diri mereka berasa cemas atau malu di khalayak umum. Di dalam filem Joker, apabila Arthur mengalami PBA di depan orang ramai ia telah menimbulkan salah faham sehingga orang sekelilingnya berasa tidak begitu selesa.

 

Joaquin Berjaya Menjiwai Watak

Sesebuah filem itu dikatakan berjaya apabila pelakonnya atau watak utama berjaya menghayati watak yang diberikan. Bagi watak Joker, mendiang Heath Ledger dikatakan sentiasa diingati kerana berjaya memberi kesan kepada peminat berbanding Jared Leto.

sumber: entertainment tonight

Dalam filem Joker ini, Joaquin Phoenix telah sedaya upaya menghayati watak Joker dan sanggup membuat transformasi pada tubuh badannya serta membuat kajian dengan menonton serta menghayati apa sebenarnya yang dialami oleh pesakit neurologi.

Secara kesimpulannya, filem Joker ini memberi satu mesej bahawa mereka seperti Arthur ini perlu dibantu oleh masyarakat tidak kira dari segi psikologi mahupun fisiologi, sebaliknya bukan menyisihkan dan mempermainkan mereka.

KATA ORANG

KATA ANDA

Apa kata anda?
3 votes · 3 answers
Undi

MENINGGALKAN SUATU JAWAPAN